Bukan sekali, tetapi sampai tiga kali beliau gagal dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).
Walaupun Allahyarham Idris Mohd Yusof, yang semasa hayatnya dikenali sebagai pengarah muzik Pancaragam Pasukan Polis Singapura (SPF) akhirnya dimasukkan juga ke peringkat sekolah menengah, perjalanannya tersekat setakat Menengah 2 sahaja.
Namun hasil kerja keras dan sikap terbukanya untuk sentiasa meningkatkan diri, terutama kerana mahu memberi kehidupan yang lebih baik kepada keluarganya, Allahyarham Idris mengatur langkah demi langkah membina kerjaya ke tahap yang membanggakan.
Daripada setakat “mata-mata” dalam pasukan polis, beliau kemudian diberi peluang menimba ilmu sehingga ke Australia dan United Kingdom sebelum bersara dengan pangkat Superintenden.
Kepakaran muziknya juga menjadi buruan negara-negara Timur Tengah dan beliau mempamerkan kepakarannya di pelbagai persembahan muzik merata dunia.
Riwayat Allahyarham Idris, yang meninggal dunia pada 27 Mac 2021 akibat sakit jantung, dikongsi balunya, Cikgu Zaharah Jantan, menerusi memoir bertajuk, ‘Aku, Idris dan Muzik’.
Buku itu akan dilancarkan di Persada Budaya, Wisma Geylang Serai pada 17 Ogos, 1.30 petang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg