Topik diikuti
Pergi ke BHkuJejak langkah zapin di Alam Melayu
Evolusi tari dari Hadramaut mengikut budaya tempatan dan zaman, daripada medium dakwah kepada seni persembahan
Jejak langkah zapin di Alam Melayu
Pencalonan bersama itu dijangka dikemukakan kepada Unesco pada Mac 2027.
Pencalonan tersebut penting kerana bukan sahaja dapat meningkatkan keterlihatan zapin di mata dunia, malah menggalakkan usaha sama keempat-empat negara dalam memastikan zapin terus dimartabatkan, diamalkan dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Dari Arab ke Nusantara
Perkataan zapin berasal daripada bahasa Arab, zafn (sebutannya sebagai zaffin), yang bermaksud pergerakan kaki yang pantas mengikut rentak.
Istilah ini digunakan di Singapura dan Malaysia serta beberapa wilayah Indonesia, khususnya Sumatera Utara dan Kepulauan Riau.
Namun, di bahagian lain Nusantara, seni tari ini dikenali dengan sebutan berbeza-beza mengikut bahasa dan dialek setempat.
Misalnya, di Brunei, masyarakat di sana menyebutnya sebagai jipin, manakala di Kalimantan, disebut sebagai jepin.
Di Jambi, ia dikenali sebagai dana, manakala di Lampung disebut bedana.
Di Nusa Tenggara, tarian ini dikenali sebagai dana-dani.
Zapin mula diperkenalkan ke Nusantara ini melalui pedagang Arab yang datang dari Hadramaut, Yemen, sekitar abad ke-15.
Pada peringkat awal kemunculan zapin di Nusantara, tarian tersebut dipersembahkan dalam kalangan masyarakat Arab sahaja, khususnya dalam majlis keramaian yang dapat mengeratkan hubungan sesama mereka.
Namun, lama-kelamaan, tarian ini diserap dan disesuaikan oleh masyarakat Melayu mengikut budaya, adat serta cita rasa setempat.
Proses penyesuaian itu akhirnya melahirkan bentuk Zapin Melayu yang berkembang sebagai sebahagian daripada identiti budaya dan warisan masyarakat di Nusantara.
Beza Zapin Arab, Zapin Melayu
Secara umum, perkembangan zapin di Alam Melayu melahirkan dua bentuk iaitu Zapin Arab dan Zapin Melayu.
Zapin Arab merujuk kepada bentuk yang lebih dekat dengan tradisi asal masyarakat Hadramaut, manakala Zapin Melayu lahir daripada proses penyesuaian mengikut budaya, adat dan kehidupan masyarakat Melayu.
Perbezaannya dapat dilihat dengan jelas melalui gerak tari.
Zapin Arab lazimnya menampilkan gerakan yang lebih bertenaga, dengan langkah yang luas, hayunan tangan yang tinggi serta hentakan kaki yang kuat.
Sebaliknya, Zapin Melayu memperlihatkan gerakan yang lebih terkawal dan halus.
Langkahnya tidak terlalu luas, hayunan tangannya lebih sederhana dan pergerakan kaki pula dilakukan dengan lebih lembut berbanding Zapin Arab.
Kehalusan tersebut mencerminkan nilai kesopanan, ketertiban dan kesederhanaan yang menjadi sebahagian daripada sifat orang Melayu.
Dalam Ucaptama Festival Nusantara 1998 yang disampaikan Menteri Besar Johor pada ketika itu, Datuk Abdul Ghani Othman, beliau menggambarkan betapa tertibnya gerak pemain Zapin Melayu.
“Pemain (Penari) Zapin Melayu dimestikan menari di atas lantai atau balai rumah di atas hamparan tikar atau permaidani sehinggakan para pemainnya yang terdiri daripada orang lelaki, melatih diri mereka melangkah dengan sopan tanpa mengusik hamparan mahupun melentur lantai yang dipijak.”
Perbezaan antara kedua-dua bentuk zapin turut dapat dilihat pada muzik iringannya.
Zapin Arab banyak bergantung pada gambus dan marwas, manakala Zapin Melayu kemudiannya menerima penggunaan alat muzik tambahan seperti rebana, biola dan akordion, meskipun unsur melodi yang berakar daripada tradisi Arab masih dikekalkan.
Dari segi busana pula, penari lelaki Zapin Melayu lazimnya mengenakan baju Melayu Teluk Belanga lengkap dengan samping berkain dagang.
Alam sekeliling ilham ragam
Apabila zapin berkembang dalam masyarakat Melayu, gerak tarinya juga mula mengambil inspirasi daripada kehidupan harian masyarakat setempat.
Kebanyakan gerak tari mengambil ilham daripada pekerjaan orang Melayu kita dahulu iaitu sebagai petani, penoreh getah, pelaut dan nelayan.
Zapin Parit Mastar, misalnya, diilhamkan daripada gerak-geri penoreh getah yang terletak sepenuhnya pada kuak kaki untuk menggerakkan badan sambil memastikan kaki tidak bersilang; manakala Zapin Tenglu pula memaparkan pergerakan seorang nelayan yang berada di atas perahu dengan badan terhuyung-hayang ke kiri dan kanan seolah-olah mengikut arus ombak sambil tangan bergerak menyerupai perbuatan mendayung atau mengendalikan jaring.
Zapin Melayu dahulu dan sekarang
Pada zaman dahulu, zapin menjadi wadah menyampaikan pengajaran Islam menerusi lirik yang mengandungi unsur keagamaan, serta puji-pujian kepada Allah dan para rasul.
Dalam satu laporan Kosmo! terdahulu, pensyarah Fakulti Tari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Malaysia, Mohd Seth Hamzah, memberi gambaran berikut bagaimana orang dahulu main zapin.
“Setiap malam selesai pak imam membaca doa, para jemaah lelaki tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya, mereka meluangkan masa bersantai seketika di pekarangan halaman masjid. Usai pak imam yang mengetuai solat sebentar duduk di suatu sudut sambil memegang gambus sesetengah jemaah lelaki mula mengambil tempat di hadapan. Pak imam mula memetik gambus dan berqasidah dengan seni kata yang menyelitkan unsur-unsur keagamaan, budi pekerti dan puji-pujian kepada Tuhan, sementara golongan lelaki yang berdiri tadi bergerak mengikut alunan muzik.”
Pada peringkat awal perkembangannya, zapin hanya ditarikan oleh golongan lelaki, manakala wanita tidak mengambil bahagian dalam persembahan tersebut.
Bagaimanapun, sejak sekitar pertengahan abad ke-20, golongan wanita mula mempelajari zapin.
Seiring perubahan masyarakat dek pemodenan, penyertaan wanita dalam zapin semakin diterima dan hari ini tarian tersebut dipersembahkan oleh kedua-dua lelaki dan wanita dalam pelbagai acara kebudayaan.
Terus berubah ikut zaman
Fungsi zapin juga berkembang.
Jika dahulu ia berkait rapat dengan majlis penyampaian ilmu agama, hari ini zapin turut berkembang sebagai seni persembahan yang dipentaskan dalam majlis perkahwinan atau acara kebudayaan.
Dalam usaha menarik minat generasi muda, sesetengah penggiat seni turut bereksperimen dengan menggabungkan ragam zapin tradisional dengan genre tari lain seperti hip-hop dan salsa.
Evolusi zapin dari Hadramaut ke pelbagai pelosok Nusantara menunjukkan bahawa sesuatu warisan tidak semestinya kekal dalam satu bentuk untuk terus hidup.
Sebaliknya, keupayaannya menyesuaikan diri dengan bahasa, budaya dan kehidupan masyarakat setempat, malah mengikut arus pemodenan membolehkan zapin terus diamalkan dari satu generasi ke generasi berikutnya.