Penggiat tarian Melayu veteran, Cik Som Said, diperkenalkan kepada tarian Zapin menerusi filem-filem Melayu ketika membesar.

Minatnya terhadap seni itu hanya berkembang sehingga beliau kini diiktiraf sebagai salah seorang tokoh budaya terkemuka yang memartabatkan Zapin di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Antara sumbangan beliau termasuk mencipta koreografi tersohor, Zapin Telok Blangah, yang telah dipersembahkan di lebih 100 bandar di seluruh dunia, manakala usaha dampingan beliau telah membawa seni Zapin ke lebih 300 sekolah menerusi Program Pendidikan Seni di Singapura.

Sudah tentu, tokoh berusia 75 tahun ini amat teruja apabila usaha gigih berdekad oleh penggiat budaya seperti dirinya kini membuahkan hasil menerusi pencalonan bersama pelbagai negara bagi menyenaraikan Zapin dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) Kemanusiaan, yang diusahakan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Senarai tersebut mengiktiraf pelbagai amalan, pengetahuan dan kemahiran warisan seluruh dunia, selain meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memeliharanya.

Singapura, Brunei, Indonesia dan Malaysia mencalonkan tarian zapin untuk disertakan dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) Kemanusiaan, yang diusahakan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Singapura, Brunei, Indonesia dan Malaysia mencalonkan tarian zapin untuk disertakan dalam Senarai Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) Kemanusiaan, yang diusahakan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Sri Warisan Som Said Performing Arts telah menerima Anugerah Pengusaha Warisan Budaya Tidak Ketara pada 2020.

Pengiktirafan tersebut diberikan atas usaha berterusan dalam memelihara serta memartabatkan tarian Melayu tradisional, dengan Zapin sebagai sebahagian daripada elemen yang penting.

Ketika ditemui media di Taman Warisan Melayu pada 24 September, Cik Som Said, berkata pencalonan tersebut amat bertepatan dengan usaha karyawan dalam memartabatkan Zapin di Singapura dan peringkat antarabangsa.

“Kami sudah mengangkat nama Zapin menerusi festival antarabangsa dan membawa seni itu ke luar negara, supaya lebih ramai orang mengenali genre Zapin yang lain,” katanya.

Beliau, yang merupakan pengasas Sri Warisan Som Said Performing Arts, menambah bahawa seni Zapin penting dipelihara kerana ia menerap beberapa nilai yang penting.

“Apabila kita lihat falsafah Zapin, ia sebenarnya mengenai persahabatan, kebersamaan, peradaban dan segala perkara yang membentuk anak Melayu kita dengan baik,” tambahnya.

Nilai-nilai seperti itu, termasuk rentak dan tujuan melakukan seni kekal walaupun gaya tarian Zapin berbeza di setiap negara.

Jika pencalonan ini diterima, Som Said percaya pengiktirafan tersebut akan membuka lebih banyak peluang untuk terus mengukuhkan identiti dan kesedaran terhadap Zapin.

Pengasas Sri Warisan Som Said Performing Arts, Cik Som Said di Taman Warisan Melayu pada 24 September, sempena Lembaga Warisan Negara (NHB) mengumumkan bahawa Singapura akan menyertai Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia dalam pencalonan bersama tarian tradisional zapin untuk disertakan dalam senarai itu.
Pengasas Sri Warisan Som Said Performing Arts, Cik Som Said di Taman Warisan Melayu pada 24 September, sempena Lembaga Warisan Negara (NHB) mengumumkan bahawa Singapura akan menyertai Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia dalam pencalonan bersama tarian tradisional zapin untuk disertakan dalam senarai itu. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Maestro tari, Encik Osman Abdul Hamid, berusia 64 tahun, berkongsi sentimen tersebut sambil menambah bahawa pencalonan tersebut menyemarakkan semangat untuk terus menabur bakti kepada memperkasakan seni Zapin.

Beliau, yang merupakan Pengarah Artistik Era Dance Theatre, turut pernah diiktirafkan dengan Anugerah Pengusaha Warisan Budaya Tidak Ketara pada 2023.

Beliau percaya bahawa pencalonan Unesco mampu mengukuhkan usaha menarik lebih ramai anak muda untuk menceburi seni itu.

“Saya rasa pencalonan ini dapat memperkasakan lagi seni Zapin yang mahu kita galakkan dalam generasi muda, di samping mengukuhkan usaha memelihara seni ini,” kata beliau, yang juga penerima Pingat Kebudayaan pada 2023.

Itu menyusuli usaha berterusan karyawan untuk terus menarik minat generasi muda terhadap seni itu, jelas Encik Osman.

Bagi Encik Osman, beliau cuba menyubur minat terhadap Zapin dengan menghasilkan beberapa karya yang mengikut peredaran zaman dan cita rasa masyarakat yang kian berubah dalam usaha mengembangkan seni itu.

Ini termasuk menghasilkan koreografi yang lebih bertenaga dan kontemporari, yang diilhamkan daripada kenangan memanjat pokok dan bermain di sungai semasa kecil.

Pengarah Artistik Era Dance Theatre, Encik Osman Abdul Hamid, di Taman Warisan Melayu pada 24 September, sempena Lembaga Warisan Negara (NHB) mengumumkan bahawa Singapura akan menyertai Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia dalam pencalonan bersama tarian tradisional zapin untuk disertakan dalam senarai itu.
Pengarah Artistik Era Dance Theatre, Encik Osman Abdul Hamid, di Taman Warisan Melayu pada 24 September, sempena Lembaga Warisan Negara (NHB) mengumumkan bahawa Singapura akan menyertai Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia dalam pencalonan bersama tarian tradisional zapin untuk disertakan dalam senarai itu. - Berita Harian

Dalam kenyataan oleh NHB pada 24 September, Encik Osman berkata:

“Zapin bukan sekadar tarian, ia merupakan warisan berhidup yang membawa sejarah, nilai dan memori kolektif masyarakat kita.

“Menceburi bidang tarian Melayu selama lebih empat dekad, saya menyaksikan sendiri bagaimana keanggunan dan disiplin langkah tarian ini mencerminkan nilai hormat-menghormati, kerendahan hati dan kebersamaan.

“Hari ini, Zapin terus dipergiatkan dan dipersembahkan secara meluas di kumpulan tarian, sekolah mahupun pertubuhan masyarakat.

“Saya amat bangga apabila melihat penari muda bukan sahaja mempelajari pergerakannya, malah meneroka struktur, muzik dan makna budayanya dengan lebih mendalam.

“Saya berharap pencalonan ini akan memberi inspirasi kepada mereka untuk memiliki serta memelihara seni Zapin, seterusnya membawa semangat ini kepada generasi akan datang.”

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti