Sekian lama seni pantun menjadi lambang kebijaksanaan, kehalusan budi serta warisan budaya masyarakat Melayu.

Dalam era moden yang semakin mencabar, usaha memelihara dan mengangkat martabat pantun memerlukan komitmen daripada pelbagai pihak.

Atas semangat inilah, Festival Pantun Asean 2026 telah dianjurkan sebagai wadah yang menghimpunkan para pemantun, penulis dan pencinta sastera dari seluruh rantau Asia Tenggara.

Festival Pantun Asean 2026 merupakan pertandingan penulisan pantun yang dianjurkan oleh SIP Publishing, sebuah syarikat penerbitan yang berpangkalan di Indonesia dan giat memperkasa dunia literasi, penerbitan serta pembangunan kesusasteraan di peringkat serantau.

Melalui penerbitan antologi, pertandingan penulisan, bengkel kreatif serta pelbagai program kebudayaan, SIP Publishing memainkan peranan penting dalam menghubungkan penulis dan penggiat sastera di rantau Asean.

Sebelum dikenali sebagai Festival Pantun Asean, pertandingan itu dahulunya dikenali sebagai Festival Pantun Nusantara, sebuah acara dwitahunan yang menghimpunkan pemantun dari negara serumpun.

Penjenamaan semula pertandingan itu melambangkan aspirasi penganjur untuk memperluaskan penyertaan serta mengukuhkan hubungan budaya dan kesusasteraan dalam kalangan negara Asean melalui seni pantun.

Bagi edisi 2026, peserta diberi cabaran untuk menghasilkan pantun bertema, ‘Persahabatan’.

Sambutan yang diterima amat luar biasa apabila pertandingan itu berjaya menghimpunkan lebih 3,000 penyertaan daripada penulis, penyair, budayawan, pendidik, pemantun dan pencinta sastera dari seluruh rantau Asean.

Lebih membanggakan, pertandingan itu turut disertai oleh ramai tokoh sastera, penulis terkenal serta pemantun berpengalaman dari Indonesia, Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura dan negara Asean yang lain.

Ia menjadikan Festival Pantun Asean antara pertandingan penulisan pantun paling berprestij di rantau ini.

Proses pemilihan karya pula dilaksanakan secara amat teliti melalui beberapa peringkat penjurian.

Daripada lebih 3,000 penyertaan yang diterima, hanya lebih 1,000 pantun dipilih untuk diterbitkan dalam Antologi Festival Pantun Asean 2026.

Daripada jumlah tersebut, hanya 200 karya terbaik disenarai pendek sebagai pantun pilihan festival.

Kesemua karya itu kemudian melalui proses penilaian akhir sebelum hanya 15 pantun terbaik secara keseluruhan dipilih dan disusun mengikut kedudukan daripada tempat ke-15 sehingga Juara 1.

Keputusan pertandingan ditentukan oleh panel hakim, yang terdiri daripada tokoh pantun dan sasterawan terkemuka dari Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, sekali gus memberikan nilai kredibiliti yang tinggi kepada pertandingan tersebut.

Pemenang Juara 1 menerima hadiah wang tunai 2,000,000 rupiah ($142), sijil kemenangan, pingat, plak penghargaan serta penerbitan karya dalam antologi rasmi festival.

Dalam pertandingan berprestij itulah, Shahril Samri, pengasas Pantunism, berjaya mencatat sejarah apabila pantunnya yang berjudul Mulia diumumkan sebagai Juara 1 Festival Pantun Asean 2026.

Kemenangan tersebut meletakkan beliau sebagai pemenang keseluruhan selepas melalui persaingan yang melibatkan ribuan karya dari seluruh rantau Asia Tenggara.

Shahril bukan sahaja dikenali sebagai seorang pemantun, malah merupakan pendidik prasekolah sepenuh masa yang sentiasa percaya bahawa kecintaan terhadap bahasa, sastera dan budaya perlu dipupuk sejak usia kanak-kanak lagi.

Falsafah itu diterapkan bukan sahaja di dalam bilik darjah, malah melalui pelbagai inisiatif masyarakat yang dipeloporinya.

Sebagai pengasas Pantunism, beliau aktif memperjuangkan seni pantun melalui bengkel, pertandingan, forum, persembahan pentas, penceritaan, sesi perkongsian serta pelbagai program kemasyarakatan yang bertujuan memastikan pantun terus hidup sebagai warisan budaya yang dinamik dan relevan.

Selain itu, setiap Isnin, Shahril turut berganding bersama penyampai Mediacorp Warna 942, Suriani Kassim, menerusi segmen khas pantun yang mengajak pendengar menghasilkan, berkongsi dan memperhalusi kemahiran berpantun secara mingguan.

Segmen interaktif tersebut menjadi wadah yang menggalakkan masyarakat daripada pelbagai lapisan usia untuk terus berkarya dan menjadikan pantun sebahagian daripada kehidupan harian mereka.

Mengulas mengenai kemenangan tersebut, Shahril menyifatkan kejayaan itu bukanlah miliknya seorang.

“Pantun bukan sekadar puisi tradisional. Pantun ialah identiti, warisan dan jambatan yang menghubungkan masyarakat serumpun.

“Kemenangan ini saya dedikasikan kepada semua guru, mentor, rakan-rakan pemantun, penggiat bahasa dan sastera serta seluruh masyarakat yang tidak pernah jemu memperjuangkan kelangsungan pantun di Singapura.

“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk terus berkarya dan membawa nama Singapura ke pentas antarabangsa,” ujar Shahril.

Kemenangan ini turut membawa makna yang besar kepada perkembangan dunia pantun Singapura.

Sudah agak lama Singapura tidak melahirkan seorang pemantun yang berjaya meraih gelaran juara keseluruhan dalam pertandingan penulisan pantun bertaraf serantau.

Justeru, kejayaan ini membuktikan bahawa Singapura masih mampu melahirkan bakat yang berdaya saing serta diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Lebih daripada sebuah kemenangan, pencapaian itu merupakan lambang bahawa seni pantun masih mempunyai tempat yang istimewa dalam masyarakat moden.

Dengan adanya penglibatan generasi muda, para pendidik, institusi kebudayaan dan masyarakat sastera, pantun diyakini akan terus berkembang sebagai khazanah bangsa yang merentasi sempadan negara dan zaman.

Semoga kejayaan itu menjadi titik permulaan kepada lebih banyak penyertaan dan pencapaian dari Singapura pada masa hadapan, sekali gus memastikan pantun terus hidup sebagai lambang kebijaksanaan, keindahan bahasa dan persahabatan dalam kalangan masyarakat Asean.

Pantun Juara 1 Festival Pantun Asean 2026

Mulia

Mekar bidara di tepi muara,
Jadi hiasan sampai ke kolam;
Susun aksara tutur bicara,
Bersifat ihsan melafaz salam.

Jadi hiasan sampai ke kolam,
Indahnya awan meneduh haiwan;
Bersifat ihsan melafaz salam,
Dahulu lawan kini berkawan.

Indahnya awan meneduh haiwan,
Bebas berlari tiadanya jerat;
Dahulu lawan kini berkawan,
Semakin hari menjadi erat.

Bebas berlari tiadanya jerat,
Mentari naik suasana ceria;
Semakin hari menjadi erat,
Tauladan baik lagikan mulia.

Shahril Samri (Pantunism)