Satu sesi perkongsian anjuran Kelab Membaca Ilham Pustaka, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) telah berlangsung semasa Pesta Buku Melayu Singapura 2025.
Sesi perkongsian ini telah menampilkan dua sarjana dari negara-negara jiran.
Sesi dimulakan dengan perkongsian yang bertajuk ‘Muslim Burmat: Arkitek Sastera, Sejarawan Budaya dan Penggerak Naratif Warisan Brunei Darussalam’ oleh pensyarah muda Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam, Dr Muhammad Najib Noorashid.
Perkongsian kedua, berjudul ‘Kepentingan Memulihara Manuskrip Melayu dan Menerbitkannya Sebagai Karya Agung Melayu’ pula disampaikan Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia, Profesor Roosfa Hashim.
Sesi ini telah dimudahcarakan oleh Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Azhar Ibrahim, selaku moderator bagi dua ceramah tersebut.
Seiring dengan hangatnya semangat perbukuan sewaktu berlangsungnya Pesta Buku Melayu Singapura, begitu juga dengan semangatnya merancakkan wacana kesusasteraan di tanah air kita.
Justeru, wacana kesusasteraan yang dibawa Kelab Membaca Ilham Pustaka kali ini bukan sahaja mencakupi landskap sastera Singapura, malah telah merangkulkan sekali landskap kesusasteraan Asia Tenggara yang lebih besar, khususnya dari Brunei Darussalam dan Malaysia.
Ini merupakan kali pertama Kelab Membaca Ilham Pustaka dapat menggandingkan tiga sarjana dari tiga negara berbeza dalam satu sesi bersama.
Dengan usaha baik ini, masyarakat akan lebih terdedah sekaligus dapat menghargai warna-warni sastera dalam rumpun kita yang lebih luas.
Dr Muhammad Najib memulakan pembentangannya dengan berkongsi betapa Muslim Burmat sangat diiktiraf di Brunei Darussalam sebagai seorang sasterawan yang sungguh hebat.
Seorang novelis yang prolifik dan tidak segan untuk bergelut dengan isu-isu kemasyarakatan di Brunei Darussalam dalam penulisannya.
Atas perjuangan dan cita ini, Muslim Burmat telah meninggalkan legasinya sebagai penulis yang tajam minda dan penanya, justeru, pantas untuk diangkat sebaris dengan sasterawan-sasterawan besar dari rumpun Melayu ini.
Muslim Burmat sebagai penulis yang hayatnya benar-benar berputar pada ranah kesusasteraan dan persuratan, menghasilkan karya-karya yang begitu lumayan.
Dengan penelitian terhadap enam karya berbeza, Dr Najib menyenaraikan aspek yang disinggung oleh Muslim Burmat dalam penulisannya iaitu politik, nasionalisme, ekonomi, kepercayaan, nuansa budaya dan cabaran masyarakat.
Setiap aspek yang disinggung Muslim Burmat adalah bukti kesungguhannya dalam berdepan dengan gejolak kehidupan masyarakat Brunei Darussalam dalam lapangan yang berbeza dan merentas zaman, baik dalam hal keagamaan mahupun kenegaraan.
Justeru, dengan karya-karya ini, Dr Najib melihat ketokohan Muslim Burmat daripada tiga lensa yang berbeza.
Pertama, Dr Najib menggelar Muslim Burmat sebagai seorang Arkitek Sastera yang telah menggabungkan tradisi, budaya dan inovasi dan menghubungkannya dengan konteks sosial melalui kesusasteraan.
Kedua, Muslim Burmat turut diiktiraf sebagai seorang Sejarawan Budaya yang giat mendalami sekaligus menzahirkan catatan budaya dan kemasyarakatan yang meliputi amalan dan kepercayaan masyarakat dalam kalangan warga Brunei Darussalam.
Terakhir sekali, Dr Najib mengangkat Muslim Burmat sebagai Penggerak Naratif Warisan, yakni seorang pemikir yang melahirkan dan menggerakkan penceritaan warisan kebudayaan bagi generasi mendatang.
Lantaran itu, sebagai sastera yang memberatkan elemen kemasyarakatan serta isu-isu yang berdenyut dalam konteks sosiosejarah Brunei Darussalam, Dr Najib membuat pertimbangan penting dalam mendukung karya-karya Muslim Burmat sebagai sastera yang berperanan dalam Global Selatan.
Sementelahan karya-karya Muslim Burmat ini banyak menggendong hal-hal kemanusiaan, maka karya-karya beliau telah terbukti dapat menawarkan kekayaan sejarah dan makna budaya yang selaras dengan nilai karya Global Selatan.
Perkongsian kedua Profesor Roosfa mencerahkan soal kepentingan untuk memulihara manuskrip Melayu serta menerbitkannya sebagai karya agung Melayu.
Profesor Roosfa merupakan Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia
Ditubuhkan pada 30 Ogos 1996, Yayasan Karyawan ialah badan yang memberi fokus terhadap mengkaji dan menerbitkan Karya Agung Melayu dan Karya Agung Dunia dalam bahasa Melayu.
Karya atau manuskrip yang dipilih itu lazimnya merupakan karya agung kesusasteraan tradisional Melayu yang tertulis dalam bahasa serumpun seperti karya dari Aceh, Jawa, Bugis, Minangkabau dan banyak lagi.
Karya-karya ini dan juga karya-karya agung dari seantero dunia dikaji dan diterjemahkan kepada bahasa Melayu bagi tujuan penerbitan dan bacaan masyarakat.
Profesor Roosfa telah berkongsi proses dan asas-asas yang mendasari penerbitan karya agung Melayu.
Pertama sekali, untuk mengiktiraf sesebuah karya sebagai karya agung, usia karya itu harus 100 tahun atau ke atas.
Demi memastikan karya yang diterbitkan dapat dinikmati para pembaca dengan baiknya, teks asal karya itu disertakan sekali dengan terjemahan.
Ini mengizinkan para pembaca dan penyelidik untuk memahami teks itu dengan bahasa Melayu yang mudah sambil mengekalkan konteks budaya asal bagi pemahaman yang lebih menyeluruh.
Bukan itu sahaja, setiap perincian seperti pilihan kertas, kulit buku dan tulang buku turut diberi perhatian agar hasil penerbitannya berkualiti tinggi dan sebagai tanda bahawa manuskrip-manuskrip ini dipulihara dengan sebaiknya.
Setakat ini, Yayasan Karyawan telah berjaya menerbitkan sebanyak 35 karya agung Melayu.
Dengan usaha konsisten yang dipacu Yayasan Karyawan, mereka bukan sahaja telah menawarkan akses bacaan kepada manuskrip sastera yang lama, malah, mereka telah memudahkan pengkajian bagi para pembaca dan penyelidik untuk mendalami sastera klasik.
Usaha ini juga secara tidak langsung mencerminkan kesedaran tentang kepentingan dan ketinggian nilai karya-karya agung Melayu.
Sastera klasik yang dikumpul, dikaji dan diterbitkan ini melambangkan kehebatan daya cipta pengarang Melayu silam, menyuluhkan idealisme serta nilai yang mendasari masyarakat Melayu tradisional dan tentu sekali mengandungi visi dan falsafah yang sungguh terkait rapat dengan bangsa Melayu.
Dengan dua perkongsian oleh dua sarjana dari negara jiran, kita menjadi lebih celik akan wacana dan usaha kesusasteraan yang diperjuangkan oleh negara berbeza di rantau ini.
Justeru, ke hadapan, amat wajar bagi kita untuk menyambut baik dan saling mendorong setiap usaha dan wacana yang berpucuk dari negara jiran agar dapat kita mengembangkan lagi korpus dan pengetahuan kita sekaligus menyebarluaskan ranah kesusasteraan dalam kehidupan masyarakat.
Penulis seorang mahasiswa jurusan Pengajian Melayu di Universiti Malaya. Beliau telah dilantik sebagai Sahabat Sastera 2023 oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dan bergiat aktif dalam bidang penulisan kreatif.
“
Dengan dua perkongsian oleh dua sarjana dari negara jiran, kita menjadi lebih celik akan wacana dan usaha kesusasteraan yang diperjuangkan oleh negara berbeza di rantau ini. Justeru, ke hadapan, amat wajar bagi kita untuk menyambut baik dan saling mendorong setiap usaha dan wacana yang berpucuk dari negara jiran agar dapat kita mengembangkan lagi korpus dan pengetahuan kita sekaligus menyebarluaskan ranah kesusasteraan dalam kehidupan masyarakat.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg