Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Seikat bagai sirih, serumpun bagai serai

May 4, 2025 | 5:30 AM
Singapore, Singapura, pilihan raya, election, GE2025, bahasa
Calon-calon daripada pelbagai parti berkempen semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) Singapura. Yang eloknya, demi negara dan rakyat, sang pemenang dan si kalah dalam GE2025 ‘berkelahi di hujung batang, berbaik di pangkal batang’, yang bermaksud menjadi orang berkelahi atau bertengkar yang akhirnya berbaik kembali. - Foto fail

Rakyat Singapura sudah pun membuang undi, iaitu mengundi, dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Kita harap mereka membuat keputusan tentang parti dan calon yang dipilih selepas hilang dicari, terapung direnangi, terbenam diselami, iaitu memeriksa sesuatu dengan cermat dan teliti.

Kata jauhari, sukar kaji pada orang alim, sukar wang pada orang kaya.

Maksudnya, orang berilmu tidak mudah atau cepat memutuskan sesuatu masalah atau membuat sesuatu keputusan dan orang kaya pula tidak mudah mengeluarkan wang kalau tidak mendatangkan keuntungan.

Mudah-mudahan rakyat Singapura tidak memangkah semberono atau terpengaruh oleh janji manis, iaitu janji yang hanya di mulut sahaja dan tidak tulus ikhlas, tuduhan melulu, fitnah tidak berasas dan hasutan orang luar.

Dalam pilihan raya sesebuah negara, pihak luar seperti melukut di tepi gantang, iaitu tidak diperlukan, tidak penting, kerana mereka tiada kena-mengena dengannya.

Ada orang luar menuduh calon parti yang mereka tidak berkenan bagai lembu dicucuk hidung, yang bermaksud orang yang selalu menurut kemahuan orang lain tanpa mempersoalkannya.

Anehnya, perbuatan mereka memasukkan angin, iaitu menghasut, juga sebenarnya bertujuan mempengaruhi pengundi supaya menurut kemahuan mereka sahaja, sedangkan sebagai orang luar, mereka tidak tahu sepenuhnya kejadian di sesebuah negara itu.

Pilihan raya bukan perkara enteng.

Ia bukan mengenai mengubah parti sahaja, apatah lagi mengubah secara babi buta, iaitu membuat sesuatu tanpa banyak berfikir.

Pilihan raya adalah mengenai memilih pemerintah untuk menentukan hala tuju negara bagi lima tahun selanjutnya.

Maknanya, ia mengenai nasib dan masa depan rakyat.

Oleh itu, dalam memangkah, tidak harus salah langkah, iaitu silap dalam melakukan sesuatu kerja, atau silap perhitungan. 

Kalau dari awal, apabila parti-parti membariskan calon mereka, pengundi leka dan tidak pandang jauh dilayangkan, pandang dekat ditukikkan, yang juga bermaksud memeriksa sesuatu dengan cermat dan teliti, pengundi sendiri yang akan menanggung padahnya kelak.

Jauhari mengingatkan, di hulu keruh di hilir pun tentu keruh juga, yang bermaksud kalau asalnya tidak baik maka kesudahannya pun tentu tidak baik.

Namun, GE2025 sudah berakhir.

Pilihan sudah dibuat, yang kalah dan menang sudah diketahui.

Yang akan memimpin dan dipimpin sudah diputuskan rakyat.

Kata orang tua-tua, nasi sudah menjadi bubur, iaitu sudah terlanjur, tak dapat diubah lagi.

Kata orang tua-tua, tidak guna berkelahi di ekor alahan, maksudnya memperdebatkan atau membantah perkara yang sudah selesai.

Atau bertindak seperti rumah sudah siap, pahat masih berbunyi, iaitu mengemukakan pendapat atau kritikan sesudah perkara diputuskan.

Walau apa pun yang dilaung dan dihujah semasa kempen GE2025, ahli politik dan rakyat harus terima pilihan suara ramai.

Perbezaan pendapat, selisih pandangan dan kelainan pendirian yang lantang disuarakan di tengah-tengah bahang kempen pilihan raya tidak harus menjadi berkepanjangan bagai agam, iaitu perbuatan atau perkataan yang berlarut-larut, atau tidak ada hujungnya.

Yang lebih penting sekarang ialah masa depan negara.

Parti dan calon yang terpilih menjadi pemimpin harus berpegang pada prinsip kata biarlah kota, iaitu janji hendaklah ditepati.

Mereka harus jadi mata telinga, iaitu orang yang jadi harapan dan yang selalu memberi pertolongan.

Dalam memimpin, pemimpin harus bersikap lemah diraih, pantai dititi, iaitu sikap yang bijaksana dalam mengeluarkan sesuatu perintah dan ikut hukum memiat daging, sakit di awak sakitlah di orang, yang bermaksud hendaklah berlaku adil apabila menjalankan sesuatu perintah.

Parti dan calon yang dipilih menjadi pembangkang pula tidak harus menjadi kaki bangkang, iaitu orang yang suka membantah dan membangkang sahaja.

Mereka harus menjadi pembangkang bertanggungjawab, membangkang demi kepentingan rakyat, membantah demi faedah rakyat dan tidak seperti tikus membaiki labu, yang bermaksud hendak membetulkan barang yang tiada diketahui, akhirnya semakin rosak.

Yang eloknya, demi negara dan rakyat, sang pemenang dan si kalah dalam GE2025 berkelahi di hujung batang, berbaik di pangkal batang, yang bermaksud menjadi orang berkelahi atau bertengkar yang akhirnya berbaik kembali.

Pokoknya, selepas GE2025, kini masanya untuk fokus pada hari depan, iaitu masa yang akan datang.

Ketiga-tiga pihak – pembangkang, pemimpin dan rakyat – harus seperti air dalam kolam, yang bermaksud tenang sikap dan tingkah laku, agar negara seperti air dalam talam, iaitu negara yang aman sentosa.

Memang betul pesan Perdana Menteri Lawrence Wong pada awal kempen GE2025 – dalam soal kepentingan, kedaulatan, keselamatan dan tempat Singapura di dunia, semua pihak di negara ini harus bersatu padu menunjukkan perpaduan kepada dunia luar dan tidak menunjukkan perpecahan.

Beliau mengingatkan walau apa perbezaan kita di negara ini dalam soal politik, “yang pertama dan paling utama ialah kita semua rakyat Singapura”.

Penakatan Singapura dalam dunia semakin bergolak dan kian mencabar ini juga bermakna penakatan setiap kaum di negara ini. 

Oleh itu, kita harus bertindak bagai pahat dengan penukul, yang bermaksud satu sama lain bantu-membantu.

Kita perlu seikat bagai sirih, serumpun bagai serai, iaitu bersatu padu dalam segala hal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg