Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Kepelbagaian ‘pasang’dalam bahasa

Sep 17, 2023 | 05:32 AM



Satu perkataan yang sama – pasang – digunakan dalam beberapa laporan di akhbar Berita Minggu Ahad lalu, memberi gambaran berlainan.


Dalam laporan ‘Buat bubu, tangkap ikan bantu tambah pendapatan’, pembuat bubu perangkap ikan di pantai West Coast, Encik Hamzah Mohamad, 68 tahun, antara lain berkata sebahagian nelayan suka memasang bubu mereka di laut dalam, tetapi beliau lebih cenderung memasang bubunya di kawasan karang yang airnya cetek.


“Kalau pasang dalam, kadang-kadang bila kita nak tarik penat juga. Kalau pasang cetek, kita tarik sekejap dah sampai bot,” kata beliau.


Ruangan Gaya Hidup pula melaporkan perkembangan tiga pasangan selebriti – Syed Azmir Syed Azman, selamat melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya, Najirah Fazali; perkembangan pasangan pelakon Datin Intan Najuwa dan suaminya, Datuk Ahmad Asraf Azman; dan perkahwinan pasangan Mizz Nina, penyanyi dan aktivitis kemanusiaan, dan suaminya, Essam Muhammad, seorang rapper Amerika.


Dan dalam cerpen ‘Bagai Pinang (II)’ pula, penulis Wan Jumaiah Mohd Jubri menulis kisah pasangan bertukar jantina Fauziah dan Rahim (Fauzi dan Rahimah) daripada kumpulan ‘kembali jernih’ dengan misi mereka – menjadi dua pasang telinga dan mata, merapati jiwa-jiwa yang dilanda kekeliruan – mengajak golongan serupa kembali kepada fitrah.


Tiga laporan itu menjadi contoh betapa satu perkataan yang sama boleh memberi gambaran dan makna berlainan mengikut konteks, sekali gus memperlihatkan luasnya khazanah bahasa Melayu.

VARIASI MAKNA

Pasang, sama ada kata dasar atau berimbuhan, mempunyai pelbagai makna.


Antaranya, ia adalah penjodoh bilangan seperti sepasang pengantin, dua pasang kasut, sepasang telinga, sepasang biji mata dan sepasang kaki.


Pasang boleh bermakna perbuatan atau tindakan memasang sesuatu, seperti memasang perkakas atau perisian ke dalam sistem komputer, memasang lampu dalam bilik. Juga pelbagai pasang lain – seperti pasang paip, pasang gigi palsu, pasang kelong, pasang bidai, pasang perangkap dan sebagainya.


Pasang/pasangan juga menggambarkan dua yang berganding – pasangan mempelai, pasangan suami isteri; sepasang merpati; pasangan adik-beradik.


Ia juga boleh menggambarkan melengkapi atau satu set seperti sepasang baju kurung (bermakna set lengkap seluar/kain dan baju).


Ia juga boleh menggambarkan kesesuaian atau kesepadanan, misalnya tali lehernya sepasang dengan bajunya; atau alas meja sepasang dengan langsir.


Ia juga boleh menggambar keadaan serupa atau mirip, seperti muka Adib sepasang dengan muka abangnya, Alif (bermakna serupa).


Berpasang-pasangan dan berpasang bermakna berteman – misalnya kebanyakan tamu datang berpasang-pasangan, dan ada juga yang datang sendirian tanpa pasangan; Menteri luar itu hadir bersama pasangannya (partner) – tidak semesti suami isteri, dan tidak semestinya sama jantina.


Ia juga boleh juga memberi gambaran tersusun, misalnya sukarelawan itu menyusun kasut jemaah berpasang-pasangan supaya teratur dan tidak berselerak.


Berpasang-pasang boleh menunjukkan banyak, misalnya zakir, seorang peminat kasut sukan, memiliki berpasang-pasang kasut serupa itu dalam koleksinya.


Ia juga boleh bermakna menjodohkan – misalnya, Pak Ali suka anaknya dipasangkan dengan anak gadis Pak Sulaiman yang pemalu itu.


Memasang pula boleh bermakna menyalakan, seperti ramai memasang lampu lap-lip untuk menjadikan suasana sambutan Hari Raya lebih meriah; atau banyak rumah di kampung itu memasang pelita setiap kali bekalan elektrik terputus.


Memasang juga boleh memberi gambaran melakukan atau berbuat sesuatu, seperti memasang langsir, memasang paip air tambahan di tandas; memasang jerat, memasang jaring, pukat dan bubu, memasang enjin, memasang kipas angin, memasang peralatan tambahan pada kereta, memasang pagar (bermakna mendirikan) di sekeliling rumah dan memasang perisian komputer.


Pasang juga boleh menggambarkan perbuatan mencantumkan, seperti mencantumkan komponen yang telah siap dibina untuk membentuk struktur atau sistem seperti dalam permainan lego.


Pemasangan adalah perbuatan atau kerja memasang – misalnya kebakaran berlaku dipercayai berpunca daripada pemasangan wayar yang tidak betul oleh pemasang (orang yang memasang) lantaran cuai.


BEBERAPA ISTILAH

Pasang, apabila dipasangkan dengan perkataan lain, menjadi istilah dengan makna tersendiri.


Pasang badan bermakna menghias diri dengan memakai pakaian yang cantik.


Pasang bendera bermakna memaparkan, mengibarkan atau menaikkan bendera.


Pasang harga bermakna meletak atau menentukan harga.


Pasang kaki bermakna menugaskan, mengadakan atau menempatkan orang untuk mengintip.


Pasang mata ialah memperhatikan baik-baik.


Pasang mata-mata pula ialah mendapatkan polis atau petugas untuk menjaga atau mengawasi sesuatu.


Pasang telinga ialah mendengar dengan sungguh-sungguh dan berhati-hati, mendengar dengan tekun perbualan, percakapan atau bunyi.


Pasang telinga boleh juga boleh bermakna mencuri dengar atau memintas secara haram data yang melalui talian penghantaran.


Pasang guna-guna bermakna mengenakan guna-guna atau perbuatan ‘halus’ untuk ‘mengenakan’ atau memperlakukan seseorang.


Pasang iklan ialah memasukkan iklan dalam akhbar atau media.


Pasang jaga mendapatkan khidmat atau menempatkan/menugaskan seseorang menjadi ‘jaga’;


Pasang kancing ialah melekatkan atau mengenakan kancing;


Pasang layar ialah menaikkan layar pada perahu atau bot.


Pasang siap ialah binaan yang dibuat dengan mencantumkan bahagian-bahagian yang telah disediakan atau dibuat terlebih dahulu – seperti flat pasang siap dan perabot pasang siap (knockdown furniture).


Ada juga perabot pasang sendiri (self-assembly) dan bengkel pasang-memasang (assembly workshop).


Pasang kuasa ialah tindakan mengalirkan bekalan kuasa elektrik ke dalam sistem (power on).


Pasang pulih ialah baiki atau ‘refit’ seperti kerja pasang pulih kapal lama dengan peralatan terbaru.


Pasang semula bererti mencantumkan semula atau reassemble.


Pasang surut (keadaan turun naik), baik dari segi air laut, pasng surut hubungan dan pasang surut perniagaan.


Sakit pasang-pasang ialah sejenis penyakit angin yang menyebabkan buah zakar bengkak ekoran terkumpulnya bendalir (benda mengalir).


DALAM KONTEKS AIR PASANG

Ada bebrapa jenis pasang yang dikaitkan dengan pasang surut air. Antaranya:


Air pasang penuh menggambarkan air pasang sepenuhnya dan belum surut.


Air pasang keling air pasang besar sekali;


Air pasang besar, disebut juga sebagai perbani, adalah air pasang besar pada masa bulan muda (atau penuh);


Air pasang bah ialah air pasang yang mengakibatkan bah (tenggelam);


Air pasang anak ialah air pasang kecil.


Air pasang kering ialah air surut (timpas);


Air pasang menyurut air pasang yang sedang naik (di laut);


SUDUT AGAMA

Beberapa kitab tafsirnya menjelaskan bahawa Allah swt menciptakan semua makhluk berpasangan – manusia, haiwan, benda dan keadaan – seperti bumi dan langit; siang dan malam; terang dan gelap; bulan dan matahari; lelaki dan perempuan; jantan dan betina; positif dan negatif; dan sebagainya.


Antara ayat yang menyebut tentang ciptaan Allah secara berpasang-pasang ialah:


“Dan Kami (Allah) jadikan kamu berpasang-pasangan” (AnNaba: 8);


“Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang menciptakan pasangan lelaki dan perempuan” (An-Najm: 45);


“Dialah yang menciptakan langit dan bumi; Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkan-Nya (zuriat keturunan) kamu semua...” (Asy-Syuraa:11);


“Maha Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.” (Yaasin:36).


Ilmu sains biologi pula ada menjelaskan tentang tubuh manusia yang mempunyai 23 pasang kromosom (lelaki ditandai dengan xy dan perempuan xx) dan persenyawaan kromosom itu menghasilkan jantina.


Ahli tafsir menyatakan bahawa ciptaan secara berpasang-pasang ini antara lain menunjukkan kehebatan Allah dalam penciptaan-Nya, kerana keadaan berpasang-pasang itu mewujudkan keseimbangan dan kestabilan dan ia merupakan sunnatullah.


Begitulah antara kerencaman perkataan pasang dalam khazanah bahasa yang memberi pelbagai makna dalam pelbagai konteks dan suasana.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >