Memahami jiwa anak muda adalah kunci dalam memastikan puisi Melayu tradisional kekal relevan dan tidak ditelan zaman.
Menurut Pengerusi Akademi Syair Melayu Nusantara, Encik Roslan Madun, untuk memupuk sikap peduli dan sayang kepada puisi Melayu tradisional, kita tidak boleh melakukannya dengan kekerasan, malah kita harus fahami minat dan kecenderungan generasi muda.
“Apabila kita memahami jiwa anak muda, kita harus faham mereka suka dengan media sosial. Jadi kita harus menggunakannya sebagai jabatan untuk mempopularkan puisi tradisional Melayu,” jelas beliau.
Apabila teknologi terus berkembang, platform media sosial telah menjadi alat yang berkuasa dalam mengekalkan warisan budaya, dan puisi Melayu tradisional tidak terkecuali.
Encik Roslan memberi contoh mengenai lagunya Lemak Manis yang mula dikenali ramai selepas tular di media sosial. Walhal, lagu ini dahulunya tidak dihiraukan oleh ramai.
Semasa ucaptama beliau pada Ceramah Arif Budiman ke-21 yang diadakan di Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS) pada 20 Februari, beliau membuai hadirin dengan suaranya yang merdu menerusi deklamasi puisi tradisional Melayu, meliputi syair, gurindam, seloka, nazam dan lain-lain lagi.
Beliau juga membawa anak didiknya, Juara Pertandingan Dendang Syair Antarabangsa, Nur Nabihah Shukeri, untuk mendendangkan puisi tradisional Melayu bersamanya juga.
Encik Roslan juga menekankan bahawa puisi Melayu tradisional mempunyai “ fungsi penting dalam mendidik bangsa menjadi bijaksana”.
Kepentingan pengajaran puisi tradisional kepada pelajar di semua peringkat pendidikan ditekankannya bagi memastikan kesinambungan dan kemunculan generasi akan datang yang dapat mengekalkan warisan ini.
“Puisi tradisional memang patut ada tempatnya dalam pendidikan bahasa Melayu kerana ia hak mutlak orang Melayu, yang menjadi kebanggaan di alam Melayu dan mampu menjadi duta perdana di peringkat global,” kata Encik Roslan lagi.
Beliau juga berkongsi guru memainkan peranan penting dalam memupuk pemahaman lebih mendalam tentang puisi tradisional.
Guru bertindak sebagai jambatan antara masa lalu dan masa depan, memastikan pelajar bukan sahaja mempelajari aspek teknikal puisi, tetapi juga memahami kepentingan budayanya.
“Para pendidik hendaklah menitikberatkan nilai kerohanian, intelek, dan budaya puisi-puisi ini, memastikan ia dilihat bukan sahaja sebagai peninggalan sejarah tetapi sebagai bentuk seni hidup yang terus membentuk identiti Melayu,” jelas Encik Roslan.
Beliau juga menekankan pendekatan yang dipanggil ‘didik hibur’, di mana pendidik digalak untuk memastikan pelajar terhibur agar mereka dapat belajar dan menghayati apa yang diajar.
Guru-guru juga diberi peluang untuk cuba mendendangkan dan bertanya lebih lanjut mengenai puisi tradisional Melayu kepada Encik Roslan semasa acara tersebut.
Salah satu mesej terpenting yang dapat diraih daripada ucaptama beliau ialah keperluan mengimbangi tradisi dengan inovasi.
Walaupun penting untuk mengekalkan puisi Melayu tradisional, mustahak juga untuk menyesuaikannya dengan bentuk ekspresi moden.
Keseimbangan ini boleh dicapai dengan menerima teknologi dan bentuk media baru sambil tetap menghormati akar bentuk seni.
Kebangkitan platform digital memberi peluang unik untuk mempamerkan bagaimana pantun dan syair boleh dimodenkan sambil mengekalkan intipatinya.
Contohnya, pantun—dengan struktur berirama —boleh disesuaikan ke dalam format muzik, mencipta lagu-lagu menarik yang memancing minat penonton kontemporari sambil mengekalkan bentuk tradisional.
“Yang penting intipati puisi Melayu tradisional sampai kepada golongan muda. Setiap inovasi yang berlaku perlu diberitahu asal usulnya, agar mereka boleh berbalik semula kepadanya,” nasihat Encik Roslan.
Beliau juga akui kepentingan menjadikan puisi tradisional Melayu sebagai sumber ekonomi dan rezeki.
“Dengan mengadakan lebih banyak sayembara penulisan atau program-program komersial yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu, di mana peserta boleh mendapat rezeki daripadanya, ia bukan sahaja dapat menarik minat malah memastikan puisi tradisional kekal relevan, terutamanya pada zaman sekarang,” kata beliau.
Dengan memanfaatkan peralatan yang sedia ada secara kreatif, kita dapat memastikan bentuk puisi yang mencerminkan jiwa bangsa Melayu ini kekal relevan kepada khalayak moden dan terus berkembang maju pada masa hadapan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg