Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Bahasa, Budaya & Warisan Kita

Kilauan emas... dalam bahasa

Dec 17, 2023 | 05:30 AM



Satu laporan baru-baru ini menyatakan bahawa bank pusat Singapura merupakan pembeli emas ketiga terbesar di dunia bagi sembilan bulan pertama 2023.


Penguasa Kewangan Singapura (MAS) membeli empat tan emas di bursa emas terkawal pada suku ketiga 2023, menjadikan pembeliannya bagi 2023 setakat ini berjumlah 75 tan emas, menurut laporan Majlis Emas Sedunia (WGC).


Baru-baru ini, Berita Harian/Minggu menerbitkan pakej laporan mengenai pelaburan dalam emas – memetik beberapa pakar yang menyatakan emas kekal sebagai pelaburan yang selamat dengan trend pelaburan emas terus meningkat akibat ketidakstabilan sejagat seperti pandemik Covid-19 dan perang Ukraine.


Maknanya, terdapat peluang keemasan melabur dalam emas.


Emas memang dilihat sebagai sangat berharga. Ramai wanita, dari zaman nenek moyang kita, memiliki emas dalam bentuk barang kemas dengan sebahagian menjadikannya sebagai aset yang boleh dijadikan cagaran pinjaman di kedai pajak gadai apabila terdesak.


Lebih daripada sudut pelaburan dan simpanan, emas juga dijadikan nilai ukuran.

Dalam bidang sukan misalnya, pingat emas melambangkan kehebatan. Baru-baru ini dilaporkan Singapura berjaya meraih 11 pingat emas, lima perak dan lima gangsa dalam Kejohanan Pencak Silat Asia; dan meraih 31 emas, tujuh perak dan tiga gangsa dalam Pencak Silat Terbuka Timur Tengah yang diadakan buat kali pertama.


Lantunan suara yang merdu juga dikaitkan dengan emas. Misalnya, peminat kumpulan Ungu teruja dengan suara emas Pasha, atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Said, selaku vokalis Ungu dalam konsert Rhythms of Passion: Ungu Live in Concert, di Teater The Star pada 13 November lalu.


Dan usia lanjut juga ada nilai dan dikaitkan dengan emas. Orang tua disifatkan sebagai warga emas. Baru-baru ini sahaja terdapat banyak berita berkaitan warga emas, antaranya: Apartmen Penjagaan Masyarakat baru bagi warga emas dilancar di Bedok Disember; Khidmat jagaan warga emas diperkemas, diurus bawah satu bumbung di bawah inisiatif Ease 2.0; Tiga warga emas uzur tinggal satu flat dalam keadaan tidak terurus; Pertapis anjur acara pertingkat kesihatan warga emas.


Banyak lagi perkara yang dikaitkan dengan emas, yang pada dasarnya merupakan logam kekuningan yang berharga – menjadi barang kemas seperti cincin, gelang, rantai dan anting-anting berharga, di samping sebagai sandaran dalam ekonomi dan pelaburan.

NILAI DALAM BAHASA

Emas memang dekat dengan Melayu dalam banyak aspek dan ada tempat istimewa dalam bahasa dan budaya.

Emas adalah barang kemas yang umumnya digemari di kalangan wanita Melayu, menjadi lambang dan kebanggaan sebahagian mereka.

Maka itu, dalam majlis seperti majlis kahwin, kita lazim melihat wanita yang berhias dengan rantai, gelang dan cincin emas.

Malah, dahulu ada juga orang yang memasang gigi emas.


Lantaran dekatnya emas dengan masyarakat Melayu, terdapat banyak ungkapan, istilah, peribahasa, pantun berkaitan emas.

Antara ungkapan terkenal ialah mengaitkannya dengan masa – masa itu emas, menggambarkan tingginya nilai masa yang tidak harus dibazirkan.


Ia juga dirakam dalam ungkapan berbentuk pantun klasik terkenal mengenai hutang: pisang emas dibawa belayar, letak sebiji di dalam peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.


Baru-baru ini, terdapat laporan menafikan kononnya terdapat layanan istimewa atau pilih kasih terhadap dua peserta All Stars Gegar Vaganza kelahiran Singapura, Hady Mirza dan Aliff Aziz, dengan istilah anak emas, bermakna kesayangan, kerana ketua juri, Datuk Ramli MS, juga lahir di Singapura.


Perayaan ulang tahun tertentu juga disebut dengan emas. Sambutan jubli emas persatuan misalnya bermakna sambutan ulang tahun ke-50 persatuan.


Suatu ketika dahulu, ada program duga akal di televisyen. Soalan menawarkan ganjaran besar bagi soalan yang sukar disebut sebagai soalan cepu emas.

PELBAGAI ISTILAH

Banyak lagi emas dalam pelbagai istilah dan makna.

Masa itu emas bermakna masa amat bernilai dan tidak harus dibazir.


Peluang keemasan bermakna peluang besar, mungkin sekali sahaja, yang menawarkan manfaat besar.


Pisang emas ialah sejenis pisang yang umumnya kecil, kuning dan manis.


Ikan mas atau ikan emas ialah ikan kecil dengan sisip perang keemasan.


Warna keemasan ia warna yang keperang-perangan.


Sulam emas ada kain yang disulam menggunakan benang emas dalam reka lakaran timbul seperti yang terlibat pada kelambu Kaabah.


Dakwat, selain biru, merah dan hitam, terdapat juga dakwat emas.


But emas ialah anugerah berbentuk kasut bola bersalut warna emas bagi pemain bola sepak paling cemerlang.


Dulu, pernah juga ada pertandingan Piala Emas Raja-Raja.


Hati emas disifatkan kepada orang yang berhati mulia.


Suara emas menggambarkan suara yang amat enak didengar.


Anak emas adalah gambaran anak atau orang kesayangan.


Cincin emas ialah cincin daripada emas. Pernah ada lagu popular dalam zaman pop yeh yeh – cincin emas – dinyanyikan oleh penyanyi A. Rahman Onn.


Zaman gemilang disebut dengan zaman/era keemasan atau golden era.


Pernah terdapat kisah dongeng mengenai batil emas atau pot of gold di hujung pelangi.


Kemudian ada pula kawasan yang dinamakan golden triangle atau kawasan segi tiga emas – tempat penghasilan dadah di antara Kemboja, Thailand dan Myanmar.


Emas tempawan adalah emas yang ditempa; dan juga gelaran atau panggilan pada perempuan yang cantik atau dikasihi;


Emas putih ialah emas yang berwarna putih kerana ada kandungan nikel, disebut juga sebagai platinum;


Emas hitam ialah black gold. Galian minyak, lantaran nilai yang tinggi, disebut juga sebagai emas hitam.


Emas mentah ialah emas yang belum diproses dan bersihkan.


Emas muda ialah emas yang kuning pucat dan rendah mutunya;


Emas tua ialah emas betul yang tidak tidak bercampur.


EKONOMI

Dari segi ekonomi, emas memang antara pelaburan yang menarik dan mantap. Ia dianggap lebih selamat. Risiko turun naik harga tidak sebesar risiko dalam pelaburan saham.

Terdapat beberapa istilah berkaitan emas dalam ekonomi.

Antaranya piawai emas (gold standard); jongkong emas (gold bullion); rizab emas (gold reserve), lombong emas, emas tulen, tukang emas (goldsmith); dan kedai emas.


ASPEK AGAMA

Satu daripada rukun Islam ialah zakat. Emas adalah antara harta yang wajib dibayar zakat.

Laman Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menjelaskan bahawa emas yang berbentuk bungkal yang disimpan/dilaburkan di bank dan emas perhiasan yang disimpan tanpa niat untuk dipakai diwajibkan zakat apabila berat emas mencapai kadar haul dan nisab iaitu 86 gram. Zakat dikira atas 2.5% dari jumlah berat emas dari emas bungkal / emas perhiasan.

Emas perhiasan yang niat dipakai diwajibkan zakat apabila berat sebentuk emas perhiasan mencapai kadar haul dan uruf iaitu 860 gram. Zakat dikira atas 2.5% dari jumlah berat emas dari sebentuk emas perhiasan tersebut.

Maskahwin pula adalah mahar, iaitu pemberian wajib – berupa wang, barang berharga dan malah Al-Quran oleh pengantin lelaki kepada pe­ngantin perempuan semasa upacara akad nikah.


Lelaki Muslim dilarang memakai emas dan pakaian sutera. Antara lain, hadis riwayat Imam Tirmidzi menyatakan “Memakai sutera dan emas diharamkan bagi kaum laki-laki umatku, tapi halal bagi kaum wanitanya.”

Terdapat beberapa ayat Al-Quran mengenai emas, termasuk ayat menjelaskan tentang emas sebagai perhiasan dalam syurga.

PERIBAHASA

Sejajar dengan pengamatan masyarakat Melayu dalam keadaan sekeliling dalam kehidupan termasuk soal emas, terdapat banyak peribahasa berkaitan emas. Antaranya:

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri bermakna bagaimanapun mewah dan makmurnya negeri orang, negeri sendiri juga yang lebih baik.


Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati mengingatkan bahawa budi baik orang haruslah diingat selama-lamanya, kerana budi bahasa tak dapat dibayar dengan wang.


Seperti emas yang sudah/baru tersepuh menggambarkan keelokan seseorang wanita.


Menyeberangi jambatan emas bermakna berjuang untuk mencapai kebahagiaan bagi nusa dan bangsa.


Jambatan emas bermakna jalan mencapai bahagia.


Walau disepuh emas lancung, kilat tembaga tampak juga bermakna bagaimana sekalipun diajar orang, yang biadab kelihatan juga perangainya yang kurang baik.


Mulut terdorong, emas padahnya adalah satu peringatan bahawa perkataan atau janji yang sudah diucapkan harus ditepati.


Emas berpeti, kerbau berkandang bermakna harta-benda harus disimpan baik-baik di tempatnya masing-masing supaya selamat.


Hilang pelanduk berganti kijang emas menggambarkan wanita yang bercerai daripada suaminya yang hina kemudian kahwin dengan seorang lelaki yang mulia.


Kerana emas memas, kerana padi menjadi menggambarkan orang kaya dapat mencapai apa saja maksud hatinya.


Kerana cenderawasih, merak mas (emas) dilepaskan bermakna sesudah mendapat kekasih baru, kekasih lama dilepaskan.


Kijang jika ditambat dengan rantai emas sekalipun, bila terlepas ke hutan juga larinya bermakna orang dagang, biar bagaimana senangnya di negeri asing, ingat juga ia akan negeri asalnya.


Bodoh-bodoh sepat, tak makan pancing emas bermakna biarpun bodoh, dapat juga memilih mana yang baik dan mana yang buruk.


Jikalau kita duduk di atas ciau emas sekalipun, namun hati tiada senang juga bermakna jika hati tiada suka, bagaimana sekalipun, masih berdukacita juga. Ciau atau ciu adalah tilam tempat duduk.


Sangkar emas, tenggeran suasa ialah gambaran lelaki yang menanti isterinya dengan rumah yang bagus serta cukup alat perkakasnya.


Tak emas bungkal diasah, tak ada kayu tangga dibelah menggambarkan segala daya upaya akan dilakukan untuk menyampaikan maksudnya.


Bermimpi mendapat emas, takkan membuat pura; bermimpi mendapat padi, takkan membuat lumbung menggambarkan satu bentuk nasihat supaya membuat perdamaian dalam sesuatu perselisihan, pandanglah perselisihan itu seperti mimpi yang tak dapat diterima sebagai suatu kenyataan.


Tak kaya oleh emas pembawa (harta pemberian), tak gadis oleh kain berselang bermakna hendaklah berusaha sendiri untuk mencapai kemuliaan dalam hidup, jangan mengharapkan sangat kepada bantuan orang.


PANTUN

Terdapat banyak pantun klasik berkaitan emas. Antaranya:

Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.


Pisang emas jangan ditebang,
Batang lain banyak lagi;
Hujan emas negeri orang,
Tidak sama negeri sendiri.


Teluk Emas Tanjung Ketapang,
Tempat Uda mengail tenggiri;
Bersalut emas hebat dipandang,
Sayang bahasa ke mana pergi.


Sangat ajaib buahnya padi,
Menjadi emas berbatang suasa;
Sangatlah sakit rasanya hati,
Terkena panah penyakit cinta.


Anak merak Kampung Cina,
Singgah berhenti kepala titi;
Emas perak kebesaran dunia,
Budi bahasa tak dapat dicari.


Beras dibawa dalam negeri,
Anak udang dalam perahu;
Emas perak boleh diuji,
Hati orang siapa tahu.


Nanas dijual di pasar niaga,
Ramai orang datang membeli;
Emas perak perhiasan dunia,
Budi bahasa perhiasan diri.


Kemas rumah di waktu senja,
Anak buaya naik mencuri;
Emas intan ada harga,
Budi bahasa sukar dicari.


Putik nanas bunga cempaka,
Ketiga dengan bunga kenanga;
Tuan emas saya tembaga,
Manakan boleh duduk bersama.


Orang singgah Kuala Daik,
Beli durian dalam perahu;
Jikalau sudah emas yang baik,
Tak payah diuji orang pun tahu.


Puas sudah menanam ubi,
Nanas datang dari seberang;
Puas sudah menanam budi,
Emas juga dipandang orang.


Kalau tuan menanam ubi,
Mari tanam Kampung Seberang;
Baik-baik mencampak budi,
Emas juga dipandang orang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >