Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

BAHASA, BUDAYA & WARISAN KITA

Lancar dengan kelancaran bahasa

Jun 04, 2023 | 05:30 AM



TERDAPAT beberapa berita berhubung pelancaran yang terbit dalam akhbar ini dalam beberapa hari ini.


Satu daripadanya ialah pengumuman bahawa Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan 6,995 flat baru untuk dijual pada Selasa, dengan 1,500 daripadanya merupakan Jualan Baki Flat (SBF) di beberapa estet – mungkin menjadi berita gembira bagi golongan yang sedang merancang membeli flat.


Dalam satu berita dunia pula, Korea Utara dilaporkan gagal dalam usaha melancar roket intip tentera Amerika apabila roket dengan muatannya menjunam ke laut pada Rabu.


Satu lagi ialah iltizam Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang mahu masalah kesesakan Tambak Johor di Johor Bahru dan Linkedua, Iskandar Puteri, yang telah berlarutan sekian lama diselesaikan segera dan menekankan bahawa kerajaan negeri Johor komited memastikan trafik lancar di dua lintasan darat antara Johor dan Singapura.


Dalam tiga contoh berita itu, perkataan dasar ‘lancar’ menggambarkan keadaan yang berlainan.


Berita HDB melancarkan penjualan flat bermakna memulakan.


Berita mengenai kegagalan Korea Utara melancarkan roket bermakna melepaskan.


Sementara hasrat kerajaan Johor melancarkan laluan trafik bermakna melicinkan atau mengatasi kesesakan trafik – pergerakan cepat dan licin, tidak tersangkut-sangkut.


Perkataan lancar yang dicontohkan juga tidak terbatas pada tiga konteks di atas.


Ia boleh memberi pelbagai makna atau gambaran lain apabila digunakan dalam konteks lain.

MAKNA LAIN

Selain bermakna berjalan atau berlangsung dengan baik atau berkesan, lancar boleh bermakna petah, fasih atau baik sebutan.


Misalnya, Ahmad sudah dapat bertutur dalam bahasa Jerman dengan lancar walaupun baru enam bulan belajar bahasa itu sebelum memulakan tugas baru di negara itu.


Lancar di sini berlawanan dengan kekok atau gagap (tertahan-tahan atau tidak lancar).


Contoh lain: Danial baru berusia empat tahun tetapi sudah boleh membaca buku dengan agak lancar, berbanding kanak-kanak sebaya yang lain. Lancar di sini bermakna berupaya membaca dengan baik.


Lancar boleh juga bermakna memperkenalkan – seperti syarikat itu melancarkan (memperkenalkan) produk baru di pasaran.


Lancar boleh juga bermakna rasmi. Misalnya Bulan Bahasa Melayu dengan tema menjunjung bahasa telah dilancarkan oleh Menteri di sebuah hotel; atau program keibubapaan telah dilancarkan dengan penuh warna warni.


Ia juga boleh bermakna bergerak dengan laju – misalnya motosikal dapat bergerak lancar meninggalkan kenderaan lain yang tersekat dalam kesesakan trafik.


BEBERAPA MAKNA LAIN

Selancar atau berselancar ialah bermain lancang­ (kapal layar), atau bermain permainan meluncur di atas air dengan papan.


Lancar juga boleh bermakna lawas – misalnya lancar buang air besar atau kecil; sakit kencing tidak lancar bermakna tidak lawas.


Lancar mulut bermakna banyak bercakap, atau ‘lepas mulut’ – biasanya dalam konotasi atau erti yang kurang baik.


BERIMBUHAN

Melancar boleh bermakna merasmikan (melancar/merasmikan pameran) atau memulakan (melancarkan penjualan buku).


Melancarkan bermakna meluncurkan atau memulakan (menggerak­kan) sesuatu dengan cepat, seperti Korea Utara melancarkan (melepaskan) ujian roket nuklear; Russia melancarkan serangan ke atas Ukraine.


Memperlancar ialah tindakan atau langkah membuat sesuatu menjadi lancar; misalnya Pak Taib terkenal sebagai tukang urut yang dapat memperlancarkan pengaliran darah dengan mengurut beberapa bahagian tubuh yang kejang; para pelajar digesa banyak menderas di rumah bagi memperlancar hafalan (bermakna memahirkan bacaan).


Kelancaran adalah proses atau gambaran/sifat kecepatan/kepantasan – misalnya kelancaran kereta baru itu memecut pantas sudah terbukti.


Pelancaran adalah mengenai perbuatan melancarkan (memulakan sesuatu kempen, rancangan, gerakan dan sebagainya; misalnya pelancaran kereta elektrik itu disaksikan ramai peminat kereta.


Pelancar pula adalah alat melancarkan sesuatu objek, seperti roket.


PERIBAHASA

Terdapat beberapa peribahasa berkaitan lancar. Antaranya:


Bagai pucuk dilancarkan bermakna per­gerakan yang terlalu cepat.


Lancar kaji kerana diulang, pasar jalan kerana diturut bermakna kepandaian atau kemahiran didapat kerana selalu berlatih.


Ditelan tak sengkang bermakna semuanya berjalan dengan lancar; sementara tepung kena ragi menggambarkan pertemuan yang sangat mesra atau pekerjaan yang lancar.


Patah lidah menggambarkan keadaan tidak dapat berkata atau menjawab dengan lancar.

RUMUSAN

Perkataan yang sama, lancar, yang digunakan dalam konteks berlainan dan memberi makna berlainan ini memaparkan keanjalan penggunaan perkataan dalam bahasa Melayu.

Terdapat banyak perkataan dengan keanjalan serupa dalam bahasa Melayu yang memang boleh dipelbagaikan mengikut konteks, sekali gus memperlihatkan kehebatan dan keindahan bahasa Melayu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >