SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Lebih 100 buku Melayu, dwibahasa boleh dibeli guna Pas Budaya SG

Lebih 100 buku Melayu, dwibahasa boleh dibeli guna Pas Budaya SG

Karya tempatan genre sastera kanak-kanak, cereka antara layak ditebus hingga Dis 2028
Apr 13, 2026 | 5:30 AM

Lebih 100 buku Melayu, dwibahasa boleh dibeli guna Pas Budaya SG

Pas Budaya SG, buku melayu, dwibahasa
Buku Melayu dan dwibahasa Melayu boleh dibeli menggunakan kredit Pas Budaya SG di tiga kedai buku yang mengambil bahagian iaitu Wardah Books, Popular dan Book Bar. - Foto SYED ALI SEMAIT

Lebih 100 judul buku Melayu dan dwibahasa sastera Singapura (SingLit) kini boleh dibeli menggunakan kredit Pas Budaya SG.

Judul-judul itu boleh didapati di tiga kedai buku yang mengambil bahagian iaitu Wardah Books, Popular dan Book Bar.

Buku yang layak itu mudah dikenal pasti dengan pelekat merah pada kulitnya.

Kredit Pas Budaya SG boleh digunakan untuk membeli sastera kanak-kanak, cereka, puisi, drama dan esei pendek tulisan warga atau penduduk tetap Singapura.

Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 1,500 judul buku SingLit dalam bahasa Inggeris, Melayu, Mandarin, dan Tamil yang layak ditebus melalui pas tersebut.

Bagaimanapun, senarai judul belum diterbitkan.

Oleh itu, orang ramai digalakkan menghubungi kedai buku untuk memastikan judul yang mereka inginkan tersedia dan boleh dibeli menggunakan kredit Pas Budaya SG.

Selain di Popular, Wardah Books dan Book Bar, buku tersebut juga boleh didapati di City Book Room, Union Book Co, Lingzi Warehouse Books Sale, tiga cawangan Maha Yu Yi, tiga cawangan Woods In The Books dan tiga cawangan Books Kinokuniya.

Jurucakap Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) memberitahu Berita Harian (BH), lebih banyak judul buku SingLit dan kedai buku dijangka mengambil bahagian kelak.

Kredit Pas Budaya SG $100, yang ditawarkan kepada semua warga Singapura berusia 18 tahun ke atas, boleh ditebus sehingga 31 Disember 2028.

Skim pemerintah bernilai $300 juta itu dilancarkan pada 1 September 2025 dengan tujuan memacu sektor warisan dan seni tempatan.

Ia boleh digunakan untuk menonton persembahan teater, konsert dan filem, selain menyertai bengkel dan pameran.

Sejak Mac, kredit tersebut telah diperluas penggunaannya untuk pembelian buku SingLit.

Tak kenal, maka tak cinta

Beberapa penerbit buku Melayu tempatan menyambut baik langkah membenarkan kredit Pas Budaya SG digunakan untuk membeli buku Melayu SingLit, seperti yang dimaklumkan kepada Berita Harian.

Mereka berpendapat, langkah itu mengirimkan isyarat jelas bahawa karya dan buku tempatan adalah inti pati pengalaman budaya Singapura.

Inisiatif itu bukan sahaja merangsang pembacaan dalam bahasa ibunda, malah membuka ruang untuk orang ramai mengenali penulis serta karya tempatan.

Menurut Pengasas Bersama Ungu Pen, Cik Maria Mahat, memasukkan buku Melayu SingLit dalam skim Pas Budaya SG berupaya menarik pembaca yang selama ini mungkin tidak terfikir membeli buku Melayu, untuk mencubanya.

“Dari situ, mereka dapat menyelami kisah, idea dan sudut pandang yang dipersembahkan oleh penulis dan penerbit tempatan, sekali gus menyemarakkan minat dan sambutan terhadap karya kita sendiri,” ujar beliau.

Pengarah Pustaka Nasional, Syed Ali Semait, pula menyifatkan skim Pas Budaya SG sebagai kemudahan yang memudahkan orang ramai memiliki dan menikmati sastera Melayu.

“Setelah menyelami sesebuah karya itu, pembaca diharap akan terdorong untuk meneroka lebih banyak lagi hasil nukilan penulis yang sama atau penulis lain,” katanya.

Cabaran dalam peluang

Mengenai sambutan penerbit, Syed Ali berkata hampir semua penerbit Melayu di Singapura telah mengemukakan senarai buku yang layak kepada MCCY, untuk kelulusan bagi penebusan kredit Pas Budaya SG.

Sekitar 20 buku Poppet’s World telah diluluskan dan boleh dibeli menggunakan kredit itu di Popular dan Wardah Books.

Kira-kira 40 buku Ungu Pen juga telah diluluskan, dengan tujuh daripadanya kini tersedia di Wardah Books melalui penebusan kredit Pas Budaya SG.

Namun, buku-buku itu tidak boleh ditebus secara dalam talian.

Ia selaras dengan matlamat Pas Budaya SG untuk menggalakkan warga Singapura mengalami sendiri budaya dan seni tempatan secara bersemuka.

Penebusan kredit hanya boleh dilakukan di kedai fizikal atau acara fizikal seperti pesta buku.

Cik Maria menyifatkan syarat itu sebagai cabaran utama bagi penerbit buku Melayu SingLit.

Menurutnya, tidak banyak kedai buku yang menjual buku Melayu SingLit mendaftar sebagai penjual di bawah skim Pas Budaya SG pada peringkat awal.

“Menyedari cabaran utama bagi penerbit yang turut menjual buku bahasa ibunda, Cik Maria menyatakan MCCY menyediakan ruang untuk mereka mendaftar sebagai penjual di acara ‘pop-up’ dan pesta buku tetapi pendaftaran itu dikenakan kos sampingan.

Satu lagi isu yang dibangkitkan penerbit ialah, beberapa kedai buku yang menawarkan buku Melayu SingLit di bawah Pas Budaya SG kini menetapkan syarat tertentu, misalnya hanya mahukan buku kanak-kanak, atau hanya buku dwibahasa Melayu.

Buku Melayu SingLit dijangka lebih mudah diperoleh

Walaupun demikian, buku Melayu SingLit dijangka akan lebih mudah ditemui dan diperoleh pada masa hadapan menerusi Pas Budaya SG.

Nurul Anwar Bookstore, salah satu kedai yang menjual buku Melayu SingLit, memaklumkan kepada BH bahawa mereka telah memohon untuk menyertai skim Pas Budaya SG dan sedang menunggu pengesahan MCCY.

Pustaka Islamiyah Pte Ltd, penjual buku dalam talian, juga telah mendaftar sebagai penjual yang dapat menawarkan buku SingLit di bawah skim Pas Budaya SG.

Namun, kerana mereka tiada kedai fizikal, mereka perlu menanti acara fizikal seperti pesta buku dan acara ‘pop-up’ untuk membuat jualan.

Cik Maria berharap agar penebusan kredit Pas Budaya SG secara dalam talian dapat dipertimbangkan.

Ini akan membolehkan pembaca mengakses buku tempatan tanpa mengunjungi kedai atau acara fizikal.

Sementara itu, Syed Ali menyarankan agar pameran buku dianjurkan di setiap acara budaya atau sukan di Singapura agar usaha Pas Budaya SG dapat menjangkau pembaca dengan lebih luas.

Beliau juga berharap usaha ditingkatkan untuk menggalakkan warga emas memanfaatkan Pas Budaya SG mereka bagi membeli sastera Melayu tempatan.

“Inilah peluang keemasan untuk mendapatkan bahan bacaan dan meraih manfaat daripada kegiatan membaca, tanpa mengira usia,” tegasnya.

Semarak minat terhadap karya tempatan

“Dari situ, mereka dapat menyelami kisah, idea dan sudut pandang yang dipersembahkan oleh penulis dan penerbit tempatan, sekali gus menyemarakkan minat dan sambutan terhadap karya kita sendiri.”
Cik Maria Mahat, Pengasas Bersama Ungu Pen.
Galak kegiatan membaca

“Inilah peluang keemasan untuk mendapatkan bahan bacaan dan meraih manfaat daripada kegiatan membaca, tanpa mengira usia.”
Syed Ali Semait, Pengarah Pustaka Nasional.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg