Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Makna subur menyuburkan bahasa

Jun 11, 2023 | 05:30 AM



Isu kesuburan lelaki diketengahkan dalam akhbar ini awal minggu ini.


Antara tajuk berita berkaitan kesuburan lelaki ialah Semakin ramai lelaki tolak stigma, sedia dapatkan rawatan kesuburan; Usah malu... Dapat anak setelah jalani rawatan kesuburan.


Kesuburan dalam konteks ini adalah mengenai perkembangan zuriat.


Dalam konteks lain, subur biasanya berkaitan dengan tanaman dan tumbuh-tumbuhan.


Kata dasar subur memang terhad pada tumbuh-tumbuhan sahaja.


Dari segi makna, kamus menjelaskan bahawa subur bermakna tumbuh dengan baik.


Oleh itu, selain digunakan dalam konteks tumbuh-tumbuhan dan perkembangan zuriat, subur digunakan dalam beberapa konteks dengan agak meluas yang secara umum menggambarkan keadaan yang berkembang.



KESUBURAN MANUSIA

Dalam konteks zuriat manusia, soal kesuburan dan pembiakan manusia ini semakin menjadi keprihatinan dunia, termasuk Singapura.


Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) Singapura dilaporkan jatuh ke tahap paling rendah dalam sejarah pada 2022, iaitu 1.05; berbanding 1.1 pada 2020 dan 1.12 pada 2021.


Antara faktor yang menyebabkan kadar kesuburan merosot ialah lebih ramai warga kini berkahwin pada usia lebih lanjut dan menangguhkan menimang cahaya mata atau memilih untuk tidak mempunyai anak yang ramai, seperti yang dinyatakan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, semasa bercakap tentang TFR Singapura yang merosot.


Sejajar dengan itu, terdapat inisiatif menggalak kesuburan dan penjagaan anak yang menyeluruh dan komitmen pemerintah untuk meningkatkan kesuburan penduduk dalam Belanjawan 2023.


Di peringkat dunia, negara paling ramai penduduk, China, juga mengalami kejatuhan kadar kesuburan -- kadar kesuburan China jatuh pada 2022 kepada 1.2 kelahiran bagi setiap wanita.


India pula dijangka mengatasi China sebagai negara paling ramai penduduk dengan kadar kesuburan lebih tinggi iaitu dua kelahiran bagi setiap wanita.


Dari segi sains dan pembiakan dan manusia, terdapat proses persenyawaan (antara benih lelaki dengan benih perempuan.
Mereka yang menghadapi masalah kini lebih terbuka untuk mendapatkan rawatan kesuburan, seperti yang dibentangkan dalam laporan di akhbar ini.


Antara lain, bilangan lelaki yang mendapatkan rawatan kesuburan di sini dikatakan kian meningkat dan mencerminkan trend global berkaitan mutu sperma yang menjejas pembiakan.



KESUBURAN TUMBUH-TUMBUHAN

Dalam konteks tumbuh-tumbuhan, subur bersinonim dengan membesar, menjadi, segar.


Untuk tumbuh subur dan menghasilkan pengeluaran yang baik, tumbuhan-tumbuhan perlukan zat.


Namun, pertanian menghendaki bukan sahaja tanah yang subur tetapi juga iklim yang sesuai.


Sekadar contoh, dalam satu laporan mengenai pertanian di Jawa Barat, seorang petani, Encik Asep Rohimat, gembira menaburkan baldi berisi kulit biji kopi kering di atas sayur-sayuran dan deretan pokok kopi yang tumbuh subur di ladang kecilnya di daratan tinggi di kawasan hutan wilayah Jawa Barat Indonesia.


Singapura, meski bukan negara pertanian, juga menekankan kesuburan tanaman sejajar dengan usaha menjadi negara hijau – menjadi oasis yang subur dan tempat membolehkan rakyat mengakses taman dan ruang rekreasi yang indah.


NParks misalnya mahu membangunkan lebih daripada 130 hektar taman baru dan memperbaiki kira-kira 170 hektar taman sedia ada dengan tumbuh-tumbuhan yang subur dan landskap semula jadi menjelang 2026.
Dalam satu catatan Facebook, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata pemerintah komited untuk menyediakan pilihan rumah yang memenuhi bajet dan keperluan keluarga yang berbeza, menyentuh tentang flat di estet Tengah yang direka untuk mengintegrasikan kehijauan yang subur.


KESUBURAN TUBUH

Dalam konteks tubuh badan pula, subur menggambarkan tubuh sihat, berisi, dan/atau gempal.


Kita biasa perbualan kawan-kawan yang lama tak jumpa, apabila bertemu dan melihat rakan sihat dan ‘berisi’, antara ungkapan yang kekadang digunakan ialah: “Wah subur kau sekarang.”


Dalam proses pertumbuhan manusia, anak perlukan makanan berkhasiat, termasuk susu ibu, untuk membesar dengan tubuh yang subur.


KESUBURAN UMUM

Subur kerap digunakan dalam pelbagai konteks untuk menggambarkan keadaan yang berkembang, pesat dan maju, merangkumi politik, sosial, perniagaan, ekonomi dan agama.


Umumnya ia menggambarkan keadaan yang positif.

Subur biasa dikaitkan dengan kelakonan syarikat yang berkembang maju, dan ekonomi negara yang tumbuh pesat – seperti ekonomi tumbuh subur.


Dalam konteks politik, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pernah menyifatkan jumlah calon yang ramai untuk bertanding pada pemilihan parti membuktikan demokrasi dalam Umno semakin subur.


Dalam konteks perhubungan misalnya, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memuat naik kenyataan di laman Facebook menyentuh tentang akrab Singapura-Malaysia yang kian utuh dan subur.


Ada kala subur menggambarkan keadaan yang kekal bertahan.


Seni silat misalnya terus subur di Singapura dan malah pasukan Silat Singapura kerap memenangi pingat emas dalam pelbagai pertandingan.

Di Arab Saudi, terdapat landskap budaya yang sedang berkembang di Oasis (satu daerah yang subur dan terpencil di tengah gurun) Al-Ahsa, merupakan antara tapak warisan Unesco yang paling unik. Oasis itu berpenghuni sejak 4,500 tahun – menjadikannya antara pemukiman yang dihuni paling tua di dunia.


Ada kala ia menggambarkan semangat.

Ketika menyambut lembaran tahun baru 2023, ramai yang tanam niat dan harapan untuk melihat masa depan yang ‘subur’.


Akhbar ini juga pernah melaporkan kisah tiga beradik yang menghadapi kehidupan mencabar mendapat bantuan dana yang menyuburkan semangat untuk ubah nasib keluarga.


Dari segi agama, asatizah biasa mengingatkan mengawal lidah dan perbuatan semasa Ramadan supaya puasa terjaga dan pahala terus subur.


Imam Ibn Khatir menghuraikan bahawa setiap amalan soleh akan Allah swt gandakan keuntungannya sebagaimana seorang petani menanam benih di tanah yang subur.


Justeru, komitmen dan keazaman untuk melazimi kebaikan perlu terus diperkukuh dan ditambahbaik supaya kesan tarbiah Ramadan subur di hati dan terzahir pada perlakuan.


Kita juga biasa mendengar bahawa tabiat membaca akan menyuburkan fikiran.



KESUBURAN BAHASA

Bahasa juga perlu disuburkan dengan pelbagai cara.


Selain kerap menggunakannya, bahasa dikatakan tumbuh subur jika ia berkembang dengan menerbitkan istilah dan perkataan baru yang menggambarkan perkembangan semasa, sesuai bagi menggambarkan perkembangan teknologi.


Dalam bahasa Melayu, perkataan subur juga terdapat dalam beberapa peribahasa.


Menabur benih di tanah yang subur bermakna berbuat baik kepada orang yang tahu berterima kasih.


Seperti benih baik di tanah subur bermakna berbuat baik kepada orang yang tahu membalasnya.


Subur kerana dipupuk, besar kerana diambak bermakna orang besar atau mulia kedudukannya kerana dibesarkan dan dimuliakan oleh pengikut-pengikutnya. Peribahasa lain yang serupa makna ialah besar diambak, tinggi dianjung.


Seperti birah tumbuh di tepi lesung menggambarkan anak-anak yang lekas subur. Birah ialah sejenis tumbuhan. Peribahasa serupa ialah bagai lobak di pemerunan, bagai kacang tengah dua bulan. Pemerunan ialah tempat bakar sampah.


Semoga bahasa Melayu akan terus subur dengan generasi muda tidak mengabaikan malah kerap menggunakan dalam kehidupan harian.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >