Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenang tanpa perang jika bijak ‘seperti menarik rambut di dalam tepung’
Tatkala dunia hadapi ketidaktentuan, diplomasi jalan terbaik redakan sengketa
Dunia sedang kacau-bilau, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres.
Perpecahan geopolitik kian mendalam, konflik sedang berkobar-kobar, ketidaksamaan semakin melebar, kekacauan iklim semakin pantas, dan teknologi baru berkembang lebih pantas daripada keupayaan manusia mentadbirnya, tambah beliau.
Itu semua membuat dunia dalam huru-hara, kusut, tidak berketentuan, dan tidak tenteram.
Dalam dunia yang saling bergantung pada hari ini, apabila berlaku kucar-kacir akibat perpecahan geopolitik dan konflik, bukan sahaja negara yang terlibat secara langsung serta rakyatnya akan berasa bagai udang dalam tangguk, iaitu dalam keadaan tidak tenteram, gelisah, atau sangat susah hati.
Sejagat merasainya.
Tiada negara mampu berdiri sendiri tanpa kerjasama antarabangsa bagi memenuhi keperluan masing-masing.
Maka itu, mana mungkin manusia hidup bagai air dalam terenang, iaitu kehidupan tenang dan tenteram, jika persekitarannya bergelora.
Terenang ialah bekas air daripada tanah liat.
Apabila perbezaan dibiarkan menjadi lebih serius, sengketa dibiarkan berpanjangan dan permusuhan dibiarkan mendalam, tidak mungkin hidup sebagai di rumah induk bako, yang bermaksud berasa aman dan tenteram.
Bako ialah sekalian keluarga daripada pihak bapa.
Sebaliknya, kehidupan akan menjadi bagai telur di hujung tanduk, iaitu dalam keadaan bahaya, serba sulit.
Mentelah sedang konflik lama belum terhurai, boleh berlaku wayang kepadaman damar, atau keadaan huru-hara terjadi dengan tiba-tiba.
Wayang merujuk kepada pementasan wayang kulit pada zaman dahulu yang menggunakan damar, atau pelita minyak tanah, sebagai sumber cahaya.
Apabila damar terpadam tiba-tiba di tengah-tengah persembahan, persekitaran menjadi gelap-gelita, mencetuskan huru-hara.
Dek kacau-bilau yang bertambah itu, peri perlu multilateralisme tidak pernah lebih besar daripada tempoh sekarang, kata Encik Guterres, dalam ucapannya di simposium memperingati ulang tahun ke-70 keahlian Jepun dalam PBB pada Mei.
Multilateralisme ialah pendekatan diplomatik di mana berbilang negara menyelaraskan usaha menangani matlamat bersama atau menyelesaikan isu rentas sempadan.
Ia bergantung pada tanggungjawab bersama, kompromi dan peraturan antarabangsa.
Itulah juga nasihat jauhari: nan kusut diselesaikan, nan keruh dijernihkan.
Ia bermaksud, segala perselisihan hendaklah didamaikan.
Maknanya, apabila berselisih, berundinglah, bersikap saling memberi dan menerima, ambillah jalan tengah, dan berdamailah agar kusut dan keruh itu tidak berpanjangan atau membesar hingga merugikan baik sepihak mahupun kededuanya.
Bagi sengketa sesama sendiri, jauhari berpesan, bertungkus lumus biarlah di dapur, sifatkan seperti telunjuk dengan kapur, arang jangan dibuat pupur, banyaklah kelak ayam datang melumpur.
Maksudnya, perselisihan sama sendiri janganlah dibawa ke tengah, carilah jalan untuk menyelesaikannya dengan baik.
Pupur ialah bedak, sementara melumpur, atau melumpuri, bermaksud menyebabkan sesuatu menjadi berlumpur atau melumurkan lumpur pada sesuatu tempat.
Peribahasa Melayu lama itu juga membawa maksud, jangan berpura-pura mewah atau meniru gaya hidup orang lain jika diri tidak berkemampuan.
Ia menasihatkan berusahalah bagi keperluan sendiri dan jangan menunjuk-nunjuk kepada orang lain; jangan juga meniru perbuatan atau gaya hidup orang kaya sebab ia akan membinasakan diri, kerana bermegah-megah atau berpura-pura kaya akan mengundang masalah, fitnah, atau menarik perhatian orang yang cuba mengambil kesempatan.
Keperluan memperkukuh multilateralisme dan diplomasi ditekankan juga oleh Menteri Pertahanan Singapura, Encik Chan Chun Sing, baru-baru ini.
“Dorongan menggunakan kekerasan bagi menyelesaikan pertikaian mencerminkan trend keruntuhan diplomasi yang membimbangkan.
“Jika dunia bergerak ke arah susunan global yang retak di mana kekuatan semakin dianggap betul, sisa-sisa susunan berasaskan peraturan boleh kian terhakis hingga merugikan kita semua.
“Semua negara akan menanggung akibatnya, termasuk negara yang paling sikit menyebabkan keretakan itu,” kata beliau di persidangan tahunan Institut Timur Tengah.
Sebab itu pujangga berkata kuat akar kerana tunjang, kuat tunjang kerana akar.
Maksudnya, kelebihan seseorang itu adalah kerana suka bermuafakat satu sama lain.
Ia bermakna bersifat mudah bertolak ansur dan bersedia mengalah lebih utama untuk menyelesaikan masalah demi manfaat bersama, daripada keras kepala, iaitu degil, tegar, atau tidak mahu mengalah serta enggan mendengar nasihat atau pandangan.
Pokoknya, usah menjadi bingung tengkar, cerdik begar iaitu orang yang sukar diajak muafakat.
Orang bingung tengkar bersifat suka bercekcok, atau berselisih, mudah membantah, dan suka berbalah, manakala yang cerdik begar bersifat keras kepala, susah menerima pandangan orang lain, dan berlagak pandai.
Encik Chan juga berkata dalam persaingan antara negara, kemenangan bukan sekadar mengalahkan negara lain secara ketenteraan atau ekonomi.
Sebenarnya, ia adalah keupayaan “memenangi dunia”.
Kemenangan sejati, ujar beliau, ialah apabila sesebuah negara itu berdaya menjadi contoh dan membuatkan negara lain mahu meneladaninya.
“Mencipta sejarah bukanlah apabila anda mengalahkan orang lain.
“Mencipta sejarah ialah apabila anda memenangi dunia dan dunia mengatakan, saya rasa inilah model yang saya mahu jadi,” kata Encik Chan.
Ini bagai doktrin perang jeneral tentera, ahli strategi, ahli falsafah dan penulis China, Sun Tzu, dalam The Art of War (Seni Perang): “Seni perang paling unggul ialah menundukkan musuh tanpa berperang.”
Ia bermaksud, kecemerlangan strategik sebenar ialah mencapai matlamat dengan begitu tegas melalui persediaan, risikan dan diplomasi hingga pertempuran fizikal menjadi tidak diperlukan sama sekali.
Konsep ‘kemenangan tanpa perang’ ada digambarkan dalam kesusasteraan Melayu melalui peribahasa dan pantun.
Umpamanya, pendeta berpesan, bersikap bijaksanalah dalam menyelesaikan sesuatu masalah, seperti menarik rambut di dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berserak.
Nah inilah kemenangan sebenar, matlamat tercapai (rambut berjaya ditarik) tanpa menyakiti sesiapa (rambut tidak putus) atau merosakkan keadaan sekeliling (tepung tidak berserak).
Tetapi yang lebih penting, Encik Chan menegaskan: “Persoalan ini ialah isu kepimpinan politik, sama ada kita benar-benar mahu melebihi sejarah, mengangkat martabat rakyat kita dan tidak hanya fokus mahu mengalahkan negara lain.”
Dan pujangga mengatakan pemimpin harus menjadi condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan, iaitu ketua yang akan membantu rakyatnya kalau mereka dalam kesusahan.
Mereka juga harus bak kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan iaitu ketua yang menjadi tempat rakyat mengadu nasibnya.
