Mencari keintiman dalam dunia yang semakin digital
Jam menandakan 6 petang, dan tiba masanya untuk tamat kerja.
Anda menanggalkan fon telinga, mematikan komputer riba, mengambil telefon dan beg lalu melangkah keluar dari pejabat.
Perkara seterusnya yang anda lakukan?
Anda mencapai telefon sekali lagi.
Detik beberapa saat antara kerja dengan ‘kehidupan sosial’ hilang, ibu jari anda mula menatal skrin telefon.
Waktu berlalu, dan aplikasi media sosial – TikTok, Instagram, apa banyak lagi namanya – secara tanpa disedari membentuk pemikiran dan emosi anda.
Bagi saya, lama-kelamaan, ia mula mempengaruhi cara saya berhubung dengan orang lain.
Video, tip, komen dan kisah orang lain seolah-olah memberi inspirasi, tetapi pada masa yang sama menjerat saya dalam lingkaran emosi yang tidak disedari.
Pada 2024, media melaporkan tentang hubungan ‘parasosial’, iaitu hubungan bersifat sehala yang kita bina dengan individu asing di dalam talian, yang dirasakan intim tetapi hakikatnya tidak seimbang.
Namun, saya sering kali berasa hubungan yang intim dan keakraban dengan orang dalam talian.
Rasa ini terbit apabila saya mendengar orang lain berkongsi pengalaman hidup mereka yang serupa dengan pengalaman saya di ruang dalam talian.
Tetapi seringkali, nasihat yang disampaikan terlalu mudah, malah kadangkala radikal.
Nasihat daripada video media sosial pula cenderung meremehkan kerumitan masalah kehidupan sebenar, seolah-olah semuanya boleh diselesaikan tanpa mengambil kira konteks peribadi dan keadaan masing-masing.
Saya mula menyedari bahawa pengaruh sebegitu, tanpa saya sedari, membentuk cara saya menilai interaksi dengan orang lain, sehingga ia terasa terlalu mudah dan tiada ruang untuk melakukan refleksi.
Satu ketika, saya sedar bahawa menulis dengan tangan – surat, nota atau pelekat kecil – menawarkan sesuatu yang tidak mampu diberikan oleh aplikasi media sosial.
Ia memberi saya ruang untuk berfikir secara bebas, meluahkan perasaan tanpa pengaruh luar, dan merenung pengalaman dengan lebih teliti.
Setiap ketidaksempurnaan tulisan tangan menjadi jejak kehadiran, pemikiran dan usaha.
Bunyi pen semasa menyentuh kertas dan kesan comot kecilnya mengingatkan saya bahawa setiap tulisan di atas kertas adalah milik saya sepenuhnya, hasil nyata dari pemikiran saya.
Berbeza dengan interaksi dalam talian yang bersifat sementara, gerak tulisan ini mewujudkan hubungan yang nyata dan manusiawi, walaupun hanya dengan diri sendiri.
Malah tindakan kecil seperti menulis nota pelekat di peti sejuk, senarai tugasan dengan peringatan untuk diri sendiri, atau sepucuk surat ringkas kepada insan tersayang, tetap membawa niat.
Ia memperlahankan langkah, memaksa tumpuan, dan mewujudkan ruang renungan yang disengajakan.
Menulis menggunakan pen di atas kertas menggalakkan refleksi, menguatkan ingatan, dan melibatkan kita sepenuhnya. Setiap kesilapan, coretan, atau tumpahan dakwat menjadi tanda keintiman dan keunikan penulis.
Seperti manuskrip hikayat dalam sejarah kesusasteraan Melayu yang mengekalkan kehadiran penyalin, tulisan tangan mengekalkan keperibadian penulis, termasuklah kesilapan yang ada, dan menjadikannya sesuatu yang lebih peribadi dan bermakna.
Dalam dunia digital yang semakin luas hari ini, tulisan tangan menjadi satu tempat berlindung, satu sempadan yang disengajakan daripada skrin, notifikasi berterusan dan media sosial yang tidak mencerminkan realiti.
Ia mengembalikan ketenangan, dan mungkin juga rasa keintiman yang lebih tulen.
Ini bukan tentang menolak teknologi, tetapi tentang menuntut semula detik di mana saya hadir sepenuhnya, bersama pemikiran sendiri, dan hubungan kecil yang bermakna melalui surat dan nota.
Menulis tangan mengingatkan saya bahawa walaupun dunia digital pantas dan mudah tular, sentuhan peribadi, usaha dan perhatian kita dalam menulis tetap mempunyai nilai yang tidak boleh diganti.

