Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Merayakan hari mulia jiwa 

 Kebesaran Hari Raya terletak kepada kemuliaan manusia laksanakan amanah dan tanggungjawab 
Apr 13, 2025 | 5:30 AM
Hari Raya menyempatkan kita untuk berniat dan bertindak ke arah membangun peribadi yang jiwanya besar dan mulia, tulis Dr Azhar.
Hari Raya menyempatkan kita untuk berniat dan bertindak ke arah membangun peribadi yang jiwanya besar dan mulia, tulis Dr Azhar. - Foto ISTOCKPHOTO

Hari Raya Aidilfitri ialah hari kebesaran dalam masyarakat, bahkan kekata ‘raya’ sendiri bermakna besar.

Hari kebesaran ini disambut dengan riang gembira setiap Syawal. Malah kita menyebutnya juga sebagai hari kemenangan.

Namun ada satu sisinya yang sangat menarik. Kita diperingatkan dengan kepentingan memperingati ayah ibu yang telah membesarkan kita, sama ada yang telah kita tinggalkan ataupun mereka berpergian.

Dalam menyambut Hari Raya kita juga diperingatkan pada keluarga dan taulan yang tidak dapat menyambut Raya dengan gembira, pada anak yatim, ibu tunggal, orang kurang upaya, termasuklah mereka yang lama sakit dan menganggur.

Paling penting pada bulan yang baik ini, kita diajak merenung dan berinsaf akan keadaan mereka yang kurang bernasib baik di pagi Raya atau di bulan yang mulia ini.

Seperti lagu dendangan biduanita Sharifah Aini, yang berjudul “Hari Yang Mulia,” ciptaan S. Omar Osman. Perhatikan liriknya:

Inilah hari yang berbahagia

Semoga semua dalam gembira

….

Si miskin kais pagi, makan pagi

Tak mungkin dapat menghiburkan hati

Kerananya tak berkemampuan

Alangkah sedihnya mereka

Marilah kita berdoa

Sempena hari yang mulia

Jangan kita asyik gembira

Oh, insaflah pada yang tiada.”

Terselit dalam lagu, seruan “Sempena hari yang mulia ini/Tinggikan budi dan juga peribadi.” Hari yang mulia ini makanya harus menjadikan kita manusia yang berjiwa besar dan semulia.

Pastinya yang terangkum dalam jiwa besar ini ialah sikap yang saling maaf-memaafi, murah hati untuk berbagi, bersedia menyantuni pada mereka yang memerlukan, dan ikhlas menziarahi pada keluarga dan taulan agar silaturrahmi terus erat terjalin.

Jangan biarkan pagi Raya dengan air mata

KH Faiz Syukron Makmun, seorang pendakwah dari Indonesia, dalam sebuah ceramah menyebut peringatan dari Junjungan Nabi Besar kita bahawa jangan sampai ada air mata mengalir di Hari Raya Aidilfitri.

Ini ditafsirkan beliau sebagai jangan dibiarkan orang miskin merintih sedih di pagi Raya kerana kekurangan mereka, sedangkan yang lain menyambut hari besar ini dengan meriah dan mewah.

Dari peringatan ini, tambah Gus Faiz, kepedulian sosial sememangnya dituntut. Janganlah rasa cukup pada kesalehan peribadi kerana kita telah melaksanakan ibadah suruhan Tuhan yakni berpuasa, ataupun membayar zakat fitrah.

Namun kita juga dituntut untuk menyantuni mereka yang miskin, terlantar sakit, ataupun tidak cukup keperluan hidupnya. Itulah tanggungjawab pada kebajikan dan keadilan dalam masyarakat yang wajib disempurnakan juga.

Kisah teladan di pagi Raya

Ada suatu kisah menarik tentang anak yatim yang dibesarkan hatinya oleh Rasulullah di pagi Hari Raya.

Kisah teladan ini ditukil dalam kitab berjudul Durratu al-Nashihin fi al-Wa’azh wa Irsyad, karya Syekh Usman bin Hasan bin Ahmad Syakir Al-Khubawi. Beliau ialah seorang ulama yang hidup di abad kesembilan tahun Hijriah.

Kisah ini sebaiknya diperturunkan, dalam terjemahannya berikut:

Pada Hari Raya Nabi keluar rumah untuk menunaikan solat Aidilfitri.

Saat itu Nabi melihat anak-anak kecil sedang bermain.

Baginda ternampak seorang anak kecil sedang terdiam sambil menangis.

Lalu Nabi berkata kepadanya:

“Apa yang membuatmu menangis wahai anakku?”

Anak kecil itu menjawab:

(Sementara) dia tidak mengetahui bahawa beliau adalah Nabi:

“Doakanlah aku Tuan, sesungguhnya ayahku telah wafat dalam peperangan bersama Rasulullah.

Ibuku menikah lagi dengan lelaki lain.

Diambil rumahku, dan dirampas hartaku.

Seperti yang kau lihat beginilah keadaanku

yang tidak berpakaian, lapar, sedih, dan hina.

Tatkala Hari Raya tiba, aku melihat teman-teman sebayaku gembira.

Maka semakin bertambah kesedihanku, lalu aku menangis.”

Nabi lalu berkata kepadanya:

“Apakah kamu bersedia jika aku menjadi ayahmu, Aisyah menjadi ibumu, Fatimah menjadi kakakmu, Ali menjadi pamanmu, dan Hassan dan Husain menjadi saudara-saudaramu?”

Lalu anak kecil itu menjawab:

“Bagaimana bisa aku tidak bersedia wahai Rasulullah?”

Nabi pun segera membawanya ke rumah. Anak itu diberi makanan dan pakaian Raya.

Lalu anak kecil itu keluar rumah untuk bermain bersama teman-temannya. Mereka bertanya kepadanya:

“Tadi ketika engkau bersama kami, kau sedih menangis.

Sekarang apakah yang membuatmu gembira?”

Lalu anak kecil menjawab:

“Benar tadi aku kelaparan, namun sekarang aku kenyang.

Tadi aku tak berpakaian, namun sekarang aku berpakaian.

Tadi aku tidak punya ayah, namun sekarang Rasulullah telah menjadi ayahku, Aisyah menjadi ibuku, Fatimah menjadi kakakku, Ali menjadi pamanku, dan Hassan Husain menjadi saudara-saudaraku.”

Lalu anak-anak kecil lainnya itu berkata:

“Seandainya ayah-ayah kami wafat pada sebuah peperangan bersama Rasulullah...”

Cerita ini masih dilantun dengan sangat syahdu. Di Indonesia, Alma Esbeye (Ummu Salamah) melantunkan ia dengan judul “Sirah Nabawiyah” dengan iringan gambus. Di negara-negara Arab, cerita teladan ini disyairkan sangat merdu oleh Dorsaf Hamdani, penyanyi asal Tunisia.

Dari cerita teladan ini kita saksikan kelembutan dan kemuliaan hati Rasulullah saw. Ia harus menjadi tauladan bagi kita semua. Baginda menyantuni dan bahkan mengangkat si yatim tadi menjadi anak Baginda. Menyantuni dan memberikan keadilan kepada yang berhak menjadi kewajiban yang tidak boleh ditangguhkan.

Puisi menginsafi diri

Jiwa yang mulia lahir bukan saja dari kesediaan untuk membuat kebajikan, tetapi juga merenung dan bermuhasabah diri.

Seorang ulama yang disegani, KH Mustafa Bisri, menulis puisi bertajuk: “Selamat Idul Fitri,” terkarang pada 2011, dengan seruan utamanya: “Marilah menjadi manusia kembali!”

“Selamat Idul Fitri, mata

Maafkanlah aku, selama ini

Kau hanya kugunakan melihat kilau comberan

Selamat Idul Fitri, telinga

Maafkanlah aku, selama ini

Kau hanya kusumpali rongsokan-rongsokan kata

Selamat Idul Fitri, mulut

Maafkanlah aku, selama ini

Kau hanya kujejali dan kubuat memuntahkan

Onggokan-onggokan kotoran

Selamat Idul Fitri, tangan

Maafkanlah aku, selama ini

Kau hanya kugunakan mencakar-cakar kawan

Dan berebut remah-remah murahan

Selamat Idul Fitri, kaki

Maafkanlah aku, selama ini

Kau hanya kuajak menendang kanan-kiri

Dan berjalan di lorong-lorong kegelapan

Selamat Idul Fitri akal budi

Maafkanlah aku, selama ini

Kubiarkan kau terpenjara sendiri.”

Menjadi keharusan bahawa apa jua yang kita amalkan atau tempuhi mengundang renungan. Ianya pula harus menjadi suatu penilaian sejauh mana kita telah memahami atau memaknakan apa yang kita lakukan selama ini.

Begitulah juga pada berpuasa di bulan Ramadan yang telah kita jalani dan sambutan Hari Raya yang kita raikan setiap tahun. Kembali kepada fitrah kita adalah renungan dalam yang harus kita berikan keutamaan.

Kasih ayah ibu yang memuliakan kita

Setiap kali Raya tiba, kita sudah dibesarkan untuk memohon ampun maaf kepada ibu ayah kita, selain dari adik-beradik, saudara-mara dan sahabat handai.

Berkunjung ke rumah orang tua kita di pagi Raya menjadi kemestian, sehinggalah ramai yang mudik ke kampung halaman agar dapat bersama dengan orang tua masing-masing.

Bagi orang tua yang sudah berpergian, kubur mereka akan diziarahi oleh anak-anaknya. Bagi orang tua yang masih bersama kita, makan pakai mereka wajib diusahakan oleh anak-anak.

Itulah kemuliaan Raya yang menjadikan kita insaf. Lebaran mengingatkan kita agar orang tua kita mesti dijenguk selalu, keperluan mereka diuruskan, dan melapangkan masa bersama mereka ialah jasa bakti yang tidak ternilai harganya.

Datangnya Raya membuat kita kuat berikhtiar ke pangkuan keluarga, berusaha membawa tanda kasih dan masa bersama dengan mereka.

Dengan masak makan bersama, dengan rumah dihias dan kuih-muih disediakan, dan anak-beranak berkumpul, itulah yang akan membahagiakan orang tua kita.

Sejenak kita fikirkan betapa bulan baik ini menyempatkan kita untuk berniat dan bertindak ke arah membangun peribadi yang jiwanya besar dan mulia.

Hari Raya menjadikan hubungan kekeluargaan bertambah akrab, khasnya antara anak-anak dan ibu bapa mereka. Itulah berkat dan itulah juga sumbu semangat untuk membangun keluarga.

Begitulah juga lagu qasidah dari Orkes El-Suraya dari Medan yang lagunya “Kasih Ibu Bapa” juga dimainkan sewaktu berlebaran. Antara bait yang menarik kerana jelas dengan pesan ingatan:

“Mari-mari kita sejenak mengingat

kasih ibu bapa yang tiada terkira

walaupun dirinya letih serta penat

namun di wajahnya tetap bergembira

cubalah bayangkan kasih ibu bapa

yang mengasuh kita petang dan pagi

hanya disayangkan banyaklah yang lupa

setelah dewasa tak terkenang lagi

wahai orang muda janganlah lupa

taatlah kepada dua ibu bapa.”

Sedari awal kita diajarkan supaya kita berbakti kepada keluarga, bangsa dan agama, selain umat manusia.

Sebagaimana Tenas Effendy, membilangnya dalam buku Tunjuk Ajar Melayu (2004). Ketaatan kepada orang tua kita mesti berserta memberikan kebajikan dan kesenangan kepada mereka.

Anak Melayu yang peribadinya jati, harus “mentaati ibu bapak sepenuh hati…ibu bapaknya dijunjung tinggi.” Manakala peribadi yang terpilih,”memelihara ibu bapak hatinya bersih”

Nilai keagamaan dan kemanusiaan kita mengajar agar kita berusaha menyemai budi, memperhalus pekerti, memperkukuh sifat insani. Lantas dipesankan:

“Adat hidup menjadi manusia

pahit manis sama dirasa

adat hidup di atas dunia

mencari kawan sama serta saudara

adat hidup berkaum bangsa

tolong-menolong rasa merasa.”

“Adat hidup bermasyarakat,

duduk berdiri dalam mufakat,

yang jauh menjadi dekat,

yang renggang menjadi rapat,

yang lupa menjadi ingat,

kasih bertambah sayang melekat,

tolong menolong tiada bersukat,

berbuat baik menjadi sifat.”

Pastinya kebaikan yang kita sedia sumbangkan dalam masyarakat dan umat, bermula dari rumah dan keluarga kita sendiri kerana di situlah kita dapat melatih diri, memperbaiki mana yang kurang, menambah kebaikan menjadi suatu kesempurnaan.

Maka begitulah dalam lirik pembukaan lagu “Hari Yang Mulia” dengan Sharifah Aini menyanyikan:

“Inilah hari yang berbahagia

Semoga semua dalam gembira

Lama sudah kita nantikan

Lerailah semua jiwa insan.”

“Lerai” dalam konteks ini boleh diertikan sebagai mendamaikan atau meredakan perasaan atau tanggapan.

“Hari Yang Mulia” dalam lagu ini, yang tidakpun dalam keseluruhan liriknya menyebut kekata “Hari Raya,” adalah suatu penyataan yang simbolik yang mendalam.

Ini kerana kebesaran Hari Raya terletak kepada kemuliaan manusia untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya.

Peribadi yang jiwanya mulia berdiri bersungguh membawa kebajikan, keadilan, kedamaian dan keihsanan.

Jadikan Hari Raya kita iktibar dan pesanan membangun peribadi dan jiwa mulia. Hari Raya kita itu sesungguhnya Hari Yang Mulia.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, selain Ketua Perwakilan Mastera, Singapura. Dr Azhar antara panel penulis yang diundang khas Berita Minggu (BM) untuk mengupas isu bahasa, budaya dan warisan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg