Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

BAHASA, BUDAYA & WARISAN KITA

Merumahkan bahasa dalam sanubari bangsa

Aug 27, 2023 | 05:32 AM



Memenuhi aspirasi rakyat berhubung pemilikan rumah adalah antara perkara yang menjadi perhatian dalam ucapan Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa Rapat Hari Kebangsaan Ahad lalu.


Antara lain, satu sistem klasifikasi baru bagi flat Bina Ikut Tempahan (BTO) akan diperkenalkan bagi membezakan projek BTO berdasarkan lokasi mereka – Flat Standard (flat biasa di serata negara), Flat Plus (di lokasi lebih menarik dalam satu kawasan) dan Flat Perdana (di lokasi paling menarik) – dengan syarat menjual dan tempoh penginapan minimum (MOP) tertentu.

Pemilikan rumah adalah antara aset paling berharga bagi negara kecil Singapura, kerana bilangan penduduk bertambah, dengan kebanyakan memiliki rumah sendiri, sedangkan dari segi geografi kawasan tanah terbatas.


Dengan rumah menjadi antara perkara yang dekat di hati rakyat, rumah juga mempunyai tempat istimewa dari sudut bahasa. Banyak yang boleh diperkatakan dari sudut bahasa.


KHUSUS PASAL RUMAH

Pada dasarnya, rumah adalah binaan yang menjadi tempat tinggal.

Lain tempat, lain jenis dan bentuknya.

Di Singapura, perumahan sudah banyak berubah. Generasi sekarang di Singapura mungkin lebih kenal beberapa jenis rumahrumah flat, atau asalnya disebut rumah pangsa (bertingkat-tingkat dan berpetak-petak). Sekitar 80 peratus penduduk Singapura tinggal di rumah flat dan bakinya tinggal di beberapa jenis rumah lain – rumah banglo, rumah kembar atau rumah sebandung, rumah teres, kondominium, rumah sewa, dan ada juga rumah kedai (menggabungkan rumah dan kedai atau shophouse).


Tetapi lama sebelum Singapura membangun dan rakyat berpindah ke flat, rakyat Singapura umumnya hidup dalam suasana kampung, di beberapa jenis rumah.


Rumah kampung biasanya diperbuat daripada kayu, ada juga gabungan batu dan kayu, sama ada berbumbungkan zink, atap atau genting.


Ada rumah yang dipanggil rumah panggung – rumah yang berlantai tinggi, umumnya ada tangga untuk menaiki rumah dan biasanya ada kolong; dan rumah bawah – rumah yang tidak bertangga.


Dalam rumah pula ada beberapa istilah.

Anjung rumah, disebut juga sebagai beranda, adalah ruang terbuka berbumbung dan berlantai di bahagian depan atau tepi rumah.


Rumah ibu atau ibu rumah ialah bahagian utama rumah Melayu, sementara rumah tengah adalah bahagian tengah rumah.


Rumah dapur bahagian rumah yg di bela­kang (tempat memasak).


PELBAGAI ISTILAH

Tambah menarik dalam perbendaharaan bahasa Melayu ialah pelbagai istilah berhubung rumah, ada yang menggambarkan tempat penginapan, dan banyak juga yang tidak.


Rumah besar adalah rumah yang memang besar dari segi saiz, dan boleh juga merujuk kepada rumah utama.


Rumah kecil ada dua makna – satu rumah bersaiz kecil; dan satu lagi ialah tanda (bahasa kasarnya jamban) kerana dahulu tanda/jamban terpisah daripada rumah biasa dan disebut dengan bahasa ‘halus’ sebagai rumah kecil (rumah kecik).


Rumah sakit ialah hospital.


Rumah gila (rumah sakit gila) ialah rumah tempat merawat orang gila;


Rumah makan adalah kedai makan.


Rumah anak yatim ialah rumah kediaman menempatkan anak yatim.


Rumah tumpang­an menempatkan golongan tertentu yang tiada tempat rumah sendiri – seperti rumah tumpangan orang-orang tua.


Rumah kebajikan adalah rumah atau bangunan yang menempatkan golongan tertentu seperti anak yang ketiadaan penjaga, nakal dan sebagainya.


Rumah persinggahan – untuk penginapan sementara, boleh serupa maksud hotel.


Rumah perhentian rumah tempat berhenti untuk berehat atau bermalam.

Rumah peralihan ialah tempat tinggal sementera bagi golongan tertentu, seperti menempatkan bekas pesalah sebelum akhirnya pulang ke rumah keluarga.


Rumah miskin ialah rumah orang miskin atau menempatkan orang miskin.


Rumah murah merujuk kepada rumah yang murah harganya (di Malaysia ada projek perumahan murah yang dibangunkan kerajaan untuk penduduk berpendapatan rendah).


Rumah panjang –- rumah kediaman kaum Iban, Bidayuh dan sebagainya di Borneo.


Rumah persatuan ialah tempat yang menjadi tumpuan kegiatan sesebuah persatuan.


Rumah jaga adalah pondok tempat berkawal (tempat pengawal berteduh).


Rumah pasung ialah tempat kurungan/tahanan di balai polis.


Rumah sembelih ialah tempat me­nyem­­belih (lembu, kerbau, kambing)


Rumah Putih ialah nama bangunan tempat pejabat dan kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat.


Rumah hijau atau rumah kaca adalah bangunan dengan bumbung dan dindingnya dibuat kaca – kaedah tanaman moden melindungi tanaman tertentu dalam keadaan terkawal.


Rumah api ialah menara api yang menyuluh cahaya biasanya bagi panduan kapal atau bahasa Inggerisnya, lighthouse.


Rumah setinggan adalah rumah haram atau rumah yang dibina tanpa kebenaran pihak berkuasa.


Rumah urut ialah rumah tempat berurut.


Rumah pelacuran – rumah yang menjadi tempat berbuat maksiat.


Rumah asap ialah bangunan atau tempat khas untuk menge­ringkan atau mengawet sesuatu (seperti getah, tembakau, ikan).


Rumah sukan/rumah pasukan ialah pembahagian kumpulan/pasukan bagi olahraga atau sukan semasa di sekolah (ada yang ikut warna seperti rumah biru, hijau, merah).


Rumah angka bahagian dalam susunan angka dalam matematik.


Ada juga petak yang disebut rumah dalam permainan tradisi congkak.

Negara juga adalah rumah. Ungkapan yang biasa didengar semasa sambutan Hari Kebangsaan, ialah Singapore is our home (Singapura adalah rumah kita) dan antara lagu kegemaran semasa sambutan Hari Kebangsaan ialah lagu bertajuk ‘Home’ (Rumah – negara sebagai tempat kediaman, ibu pertiwi, tanah air, tanah tumpah darah).


RENCAM

Di samping itu, ada juga rumah yang memberi maksud tersendiri.

Rumah tangga ialah perihal rumah dan keluarga, kehidupan keluarga dalam rumah.


Sudah berumah tangga bermakna sudah berkahwin atau berkeluarga


Tuan rumah ialah pemilik rumah; tuan rumah juga boleh bermakna ketua penganjur sesuatu acara.


Orang rumah umumnya merujuk kepada isteri; tetapi boleh juga bermakna orang yang tinggal bersama-sama di rumah, atau keluarga di rumah.


Isi rumah ialah seluruh penghuni rumah atau household.


Rumah butang bermakna kancing lubang tempat me­masukkan butang baju;


Rumah terbuka majlis makan dan ramah mesra di rumah seseorang yang terbuka kepada sahabat handai seperti semasa musim perayaan Aidil­fitri; istana pun adakan rumah terbuka untuk kunjungan awam pada tarikh tertentu.


Elaun rumah adalah elaun yang ada kala diberi kepada pegawai untuk tujuan membayar keperluan penginapan, jika ditugaskan di luar negara.


Perkakas rumah adalah bahan utk membuat rumah atau perabot.


ASPEK AGAMA

Terdapat juga rumah yang dikaitkan dengan agama.

Secara umum, rumah ibadat ialah rumah yang dikaitkan dengan peribadatan, termasuk masjid, gereja dan kuil.


Dalam Islam, terdapat istilah khusus berkaitan rumah.

Rumah Allah umumnya masjid atau bangunan khas tempat umat Islam mengerjakan solat dan ibadat-ibadat lain. Surau misalnya juga rumah Allah.


Kaabah atau Baitullah adalah rumah Allah (bait perkataan Arab bermakna rumah).


Dalam Al-Quran ada disebut tentang perumpamaan orang yang mengambil pelindung selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat rumah; dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah, sekiranya mereka mengetahui. (rujuk surah Al-Ankabut: 41).


Namun, rumah atau sarang labah-labah juga yang melindungi Nabi Muhammad saw dan sahabatnya Saidina Abu Bakar As-Siddiq ketika bersembunyi di sebuah gua di gunung Thur daripada dikesan oleh musuh dalam sejarah penghijrahan Nabi ke Madinah.


Dalam Islam, keharmonian dalam rumah tangga amat dititik berat sehingga untuk menghasilkan suasana yang disebut ‘baiti jannati’ (rumahku syurgaku).


Dan umat Islam diingatkan bahawa, apa jua kedudukan, akan akhirnya kembali ke rumah terakhir yang sempit dan gelap, rumah dua tiang iaitu kubur, sebelum dibangkitkan semula kelak.


BERIMBUHAN

Perkataan rumah, apabila dibubuh imbuhan memberi beberapa makna.

Serumah bermakna tinggal dalam satu rumah. Ia juga boleh bermakna seluruh rumah.


Berumah bermakna mempunyai atau memiliki rumah, misalnya Ali mempunyai kereta dan berumah besar.


Berumah juga bermakna tinggal, inap atau berdiam -- misalnya ayat jangan berumah di tepi pantai, jika takut gelombang membadai, atau peribahasa bagai berumah di tepi tebing.


Berumah tangga pula bermakna berkahwin.


Berumahkan bermakna menjadikan rumah, misalnya seorang pemimpin negara di utara Afrika hidup berumahkan khemah di kawasan padang pasir.


Menyerumahkan ialah meletakkan atau menempatkan -- misalnya persatuan itu menyerumahkan 20 anak yatim dalam satu rumah di pinggir bandar.


Perumahan pula adalah estet atau kumpulan rumah dalam satu kawasan, seperti kawasan perumahan Ang Mo Kio.


PERIBAHASA

Terdapat beberapa peribahasa berkaitan rumah.

Rumah buruk disapu cat bermakna orang tua yang suka bersolek;


Rumah sudah siap, tukul/pahat masih berbunyi bermakna perkara yang sudah diputuskan masih dicakapkan, atau mengemukakan pendapat sesudah perkara diputuskan;


Bagai berumah di tepi tebing menggambarkan perasaan atau keadaan hati yang tidak tenteram.


Dalam rumah membuat rumah bermakna mencari keuntungan untuk diri sendiri ketika bekerja dengan orang lain


Masuk ke bawah rumah orang kotor kepala bermakna kalau tinggal di tempat orang tentu diisi adat lembaganya atau kalau beristeri ke sebuah rumah, tentu ditanggung susah senang di rumah itu.


Memperlihatkan rumah buruk kepada maling bermakna memperlihat atau mempertontonkan rahsia sendiri kepada orang.


Tiada berorang di rumah adalah mengenai seorang perempuan yang belum pernah bersuami tetapi bukan lagi gadis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >