Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Usah tutup mata... lihat indahnya bahasa

Aug 20, 2023 | 05:30 AM



Akhbar cetak Berita Harian pada 14 Ogos memuatkan beberapa gambar semuka penuh di halaman 9 dengan tajuk berita ‘Selamat tinggal JCube, terima kasih bagi semua kenangan indah’.


Ia adalah mengenai pusat beli-belah di Jurong East Central yang tutup pintu buat selama-lamanya pada 6 Ogos, selepas hampir 12 tahun beroperasi di situ.


Tapak JCube seluas 7,771.2 meter persegi itu akan memberi laluan kepada pembangunan perumahan 40 tingkat yang akan merangkumi ruang komersial.

BERKAITAN BANGUNAN/OPERASI

Perkataan tutup, yang antara lain bermakna tidak terbuka atau terkatup, memang berkaitan dengan bangunan, operasi, benda dan beberapa perkara lain.


Soal buka tutup adalah antara perkara lumrah dalam perniagaan.


Kedai, pusat beli-belah dan perkhidmatan umumnya ada waktu operasi tertentu, waktu buka dan tutup, mengikut keperluan dan pertimbangan masing-masing.


Semasa wabak Covid-19 melanda, banyak syarikat terjejas dan terpaksa mengambil keputusan tutup perniagaan.


Ada yang tutup sementara, ada yang tutup terus.


Semasa wabak di tahap bahaya, masjid juga tutup pintu beberapa bulan dan hanya dibuka semula secara berperingkat apabila ancaman wabak beransur reda.


Tutup sekolah biasanya merujuk kepada cuti sekolah – misalnya sekolah ditutup lebih sebulan pada cuti hujung penggal hujung tahun.


Ada juga sekolah yang ditutup terus kerana pelbagai faktor dan namanya tinggal dalam lipatan sejarah, seperti Sekolah Menengah Sang Nila Utama, Sekolah Menengah Tun Sri Lanang, Sekolah Menengah Kaki Bukit dan Sekolah Menengah Teluk Kurau, dan tentunya ada sekolah baru yang dibuka.


BERKAITAN PANCAINDERA/DUA MAKNA

Namun tutup tidak terhad pada bangunan, benda dan operasi sahaja.


Banyak juga tutup dipadankan dengan pancaindera.


Antaranya ialah mata.

Tutup mata bermakna memejamkan mata – merapatkan kelopak mata. Ia juga boleh bermakna tidur.


Tutup mata juga boleh bermakna melekapkan sesuatu di mata supaya tidak dapat melihat (seperti memakai penutup mata supaya mudah tidur semasa penerbangan); atau melekapkan potongan timun untuk menyejukkan mata dalam amalan penjagaan atau rawatan mata.


Tutup mata juga boleh bermakna meninggal.


Dan tutup mata juga boleh bermakna tidak mahu ambil tahu tentang sesuatu yang berlaku – misalnya jiran-jiran hanya tutup mata terhadap penderaan yang dilakukan oleh satu pasangan terhadap pembantu mereka.


Begitu juga dengan mulut.

Tutup mulut bermakna diam, atau tidak bercakap. Misalnya, Pak Ali dengan berang menyuruh isterinya tutup mulut semasa bertengkar.


Tutup mulut juga bermakna simpan rahsia, tidak mahu memberitahu, tidak menghebahkan maklumat yang diketahui atau perkara yang berlaku.


Misalnya, terdapat beberapa kes orang memberi sogokan wang kepada saksi supaya tutup mulut – bermakna merahsiakan, jangan mendedahkan, atau pecah lobang tentang kesalahan yang dilakukan.


Berhubung telinga pula, tutup telinga ialah perbuatan melekapkan sesuatu pada telinga supaya tidak mendengar. Seperti Fatimah menutup telinga ketakutan mendengar guruh berdentum kuat semasa hujan lebat.


Tutup telinga juga bermakna sengaja tidak mahu mendengar. Misalnya, pesalah berulang itu tutup telinga terhadap nasihat yang disampaikan supaya dia berubah sikap dan kembali ke pangkal jalan.


Di samping pancaindera, tutup juga ada berkaitan dengan anggota atau organ tubuh.


Misalnya, tutup muka bermakna melindungi muka dengan sesuatu. Misalnya, penjahat menggunakan sapu tangan untuk menutup muka semasa melakukan jenayah; atau Azimah menutup muka dengan kededua tapak tangan kerana berasa malu dengan pujian yang dihamburkan.


Tutup kepala bermakna menutup kepala atau memakai sesuatu atas kepala – seperti topi, songkok dan tudung menutup kepala.


Ada pula ungkapan tutup hati, tutup pintu hati atau hati tertutup – enggan menerima sesuatu lantaran kecewa atau serik. Misalnya, pintu hati Aman untuk mendirikan rumah tangga sudah tertutup setelah gagal bercinta kali kedua.


Dan tutup fikiran atau fikiran tertutup bermakna fikiran yang tidak mahu terima sesuatu lagi. Misalnya, masyarakat sukar berubah dan kekal di takuk lama jika berfikiran tertutup; pertubuhan tidak akan kekal lama atau boleh menjadi tidak relevan jika pemimpin dan pegawai berfikiran tertutup dan enggan membuat penyesuaian dengan keadaan yang telah berubah.


BERKAITAN AGAMA

Dari segi agama, tutup juga digunakan dalam beberapa keadaan.


Antaranya ungkapan tutup buku, buka buku baru yang biasa dibincangkan oleh asatizah sempena nisfu Syaaban.


Istilah tutup buku lama dan buka buku baru juga biasa diungkapkan semasa bersalaman dan bermaaf-maafan apabila bertemu semasa Hari Raya.


Umat Islam supaya berusaha tutup dosa dengan tutup telinga (pendengaran), tutup mata (tutup penglihatan) dan tutup mulut (jaga percakapan) dalam perkara yang dilarang dan yang mendatang dosa.


Banyak berderma adalah antara perbuatan yang dapat membantu menutup dosa.


Semua itu perlu dijaga sebelum tertutup pintu taubat dan sebelum hamba tutup mata (meninggal).


RENCAM

Banyak lagi tentang tutup yang memberi pelbagai gambaran.


Paling lazim ialah tutup yang membawa makna mematikan atau memadamkan – seperti tutup lampu, tutup suis, tutup televisyen, tutup radio, tutup komputer dan sebagainya.


Tutup malu misalnya ialah melakukan sesuatu, seperti berpindah ke tempat lain, untuk menutup malu atau aib akan perbuatan tercemar yang pernah dilakukan; atau pasangan muda itu bernikah walau belum bersedia berumah tangga bagi menutup malu setelah berlaku perbuatan terlanjur.


Menutup pintu bukan sahaja memberi makna biasa menutup daun pintu, tetapi boleh juga menggambarkan keengganan menerima sesuatu ajaran dan nasihat atau memberi gambaran tidak mahu menyambut atau melayani sesuatu.


Tutup jalan pula bukan sahaja bermakna menyekat atau menjadikan laluan atau jalan tidak boleh dilalui, ia juga boleh bermakna menutup peluang melakukan sesuatu – misalnya jalan untuk mengembangkan kerjaya tertutup apabila berlaku perubahan kepimpinan di samping beberapa hambatan lain dalam syarikat.


Ada juga ungkapan tutup lubang, gali lubang, – gambaran orang yang melunaskan hutang dan mengambil hutang baru berulang kali.


Tutup cerita atau tutup bicara ialah mengakhiri, atau menamatkan cerita, atau sesuatu perbicaraan.


Tutup ucapan dan tutup majlis memberi gambaran yang sama – menamatkan.


Tutup kes bermakna sudah selesai dan tidak lagi dibicarakan.


Perbincangan tertutup (closed door) atau majlis tertutup bermakna ia tidak dibuka kepada ramai dan hanya kepada orang tertentu.


Dan ada beberapa lagi istilah menggunakan tutup seperti litar tertutup (closed circuit); tutup kata (tukilan/unquote); tutup akaun; ucapan penutup (closing remarks) dan beberapa tutup yang lain.


BERIMBUHAN

Menutupi bermakna melakukan perbuatan menutup, seperti menutup pintu, menutup aurat, atau melindungi sesuatu seperti menutup rahsia, melindungi atau merahsiakan supaya tidak ketahuan.


Menutupkan adalah melaku sesuatu atau menggunakan sesuatu untuk menutup, seperti menutupkan api dapur, menutupkan kejahatan.


Tertutup bermakna tidak terbuka, seperti rumahnya sentiasa tertutup walau pada hujung minggu; atau hati wanita itu tertutup setelah jejaka hati meninggalkannya dan berkahwin dengan wanita lain; harapan untuk membeli kereta baru tertutup apabila syarikat mengalami kerugian menyebabkan pemberhentian kerja.


Penutupan adalah mengenai berakhirnya sesuatu (tamat, berakhir) seperti penutupan majlis dihadiri oleh menteri; atau penutupan lapangan terbang tidak dapat dielak kerana sekatan yang dilakukan semasa wabak Covid-19 memuncak.


Penutup ialah alat untuk menutup, seperti penutup botol; ucapan penutup ialah ucapan yang menamatkan sesuatu acara atau majlis; acara penutup ialah acara yang menamatkan sesuatu acara.


PERIBAHASA

Tutup juga terdapat dalam beberapa peribahasa. Antaranya:


Tutup lutut, terbuka pusat; lepas kaki, leher terjerat menggambarkan kesalahan yang terlalu banyak dan sudah tidak dapat disembunyikan lagi, lambat-laun akan ketahuan.


Tutup lubang, gali lubang ialah perbuatan berhutang untuk membayar hutang.


Buka mata pasang telinga, tutup mulut simpan di hati bermakna sesuatu perkara yang tidak ada sangkut-paut dengan kita, boleh juga dilihat dan didengar, tetapi jangan ikut campuri.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >