Subuh
5:58
Syuruk
7:15
Zuhur
1:19
Asar
4:33
Maghrib
7:21
Isyak
8:30
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Tahun dalam perkiraan bahasa

Jul 23, 2023 | 05:30 AM



Masa bergerak dengan hari berganti minggu, minggu berganti bulan dan bulan berganti tahun – dan masyarakat Islam baru sahaja melangkah ke tahun baru Hijrah 1445 pada Rabu, 19 Julai.


Tahun adalah kiraan masa atau jangka waktu yang berubah setiap 12 bulan.


Tahun Masihi didasarkan pada kiraan 12 bulan dari Januari hingga Disember – sama ada 30 hari atau 31 hari sebulan, kecuali Februari (28 hari, kecuali ‘tahun lompat’ 29 hari berlaku setiap empat tahun).


Takwim Islam juga berlandaskan kiraan 12 bulan – dari Muharam hingga Zulhijah.

Sedang tahun Masihi dimulai dengan kelahiran Nabi Isa as (yang digelar al-Masih, lantas ia disebut tahun Masihi – bermakna sudah 2,023 tahun), tahun Islam pula disempenakan dengan tahun penghijrahan Nabi Muhammad saw ke Madinah – bermakna sudah 1,445 tahun.


Sedang kiraan tahun Masihi adalah berdasarkan syamsiah (pergerakan bumi mengelilingi matahari), tahun Islam adalah berdasarkan bulan, disebut kamariah, mengikut kiraan perjalanan bulan mengelilingi bumi.


Sebelum kiraan Hijrah, masyarakat Arab menyebut tahun bersempenakan sesuatu, seperti peristiwa besar.
Tahun kelahiran Nabi Muhammad saw misalnya disebut tahun gajah, dikaitkan dengan peristiwa Abrahah membawa tentera bergajah mahu menyerang Makkah untuk memusnahkan Kaabah tetapi tidak berjaya.


Namun kiraan 12 bulan ini telah dijelaskan dalam Surah At-Taubah ayat 36:

“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi...”.


Kiraan waktu ini amat penting dalam kehidupan, termasuk bahasa.

Dalam bahasa Melayu, tahun yang dipadankan dengan perkataan lain menggambarkan beberapa keadaan, mencakupi pelbagai bidang seperti sejarah, ekonomi, sosial, agama dan sebagainya.



ASPEK SEJARAH

Dunia merakam pelbagai peristiwa sejarah, besar dan kecil, berdasarkan tahun – tarikh berlaku Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua, terbinanya tembok besar negeri China, jatuhnya bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, pertama kali manusia menjejak kaki di bulan, runtuhnya tembok Berlin yang mencantumkan timur dan barat Jerman, usia negara sejak mendapat kemerdekaan, dan ribuan peristiwa lagi yang dirakam mengikut tahun.


Bagi Malaysia misalnya, tahun 1957 sangat bererti kerana ia adalah Tahun Kemerdekaan, dan bagi Singapura pula, tahun 1965 adalah tahun yang amat bermakna kerana merupakan tahun Singapura berpisah dari Malaysia.


Masyarakat Singapura, terutama generasi pertama dan terdahulu, akan ingat tahun-tahun awal Singapura ketika di bawah jajahan British, kesukaran beberapa tahun semasa di bawah pendudukan Jepun, tahun-tahun bersama Malaysia, kesukaran dan cabaran tahun-tahun awal Singapura selepas merdeka, dan titian perubahan tahun-tahun yang dilalui Singapura daripada negara dunia ketiga hingga menjadi negara dunia pertama dalam tempoh sesingkat 50 tahun.


  
ASPEK SOSIAL

Paling lazim ialah tahun menggambarkan usia seseorang – berusia 17 tahun.


Selain menjadi kelaziman ramai orang menyambut ulang tahun kelahiran atau ulang tahun perkahwinan, tahun menjadi tanda dalam pelbagai aspek kehidupan.


Singapura bakal menyambut Hari Kebangsaan pada 9 Ogos ini, tahun ke-58 selepas berpisah dari Malaysia.


Dan di Singapura, pelbagai aspek kehidupan terkait dengan tahun: permulaan dan tempoh persekolahan, umur bagi warga lelaki melaksanakan Perkhidmatan Negara, usia bagi memohon lesen kenderaan, usia bagi pembelian flat, usia boleh mengeluarkan wang Tabung Simpanan Pekerja (CPF), usia bersara, usia dapat CPF secara bulanan dan sebagainya.


Tahun juga menjadi asas kategori golongan tertentu, seperti generasi perintis atau merdeka, yang mendapat penghargaan dan keistimewaan tertentu. Generasi Merdeka ialah warga yang lahir antara 1 Januari 1950 dengan 31 Disember 1959, dan Generasi Perintis ialah warga yang dilahirkan pada atau sebelum 31 Disember 1949.


Golongan yang dilahirkan pada tempoh berbeza digolongkan dengan istilah berbeza.

Misalnya Generasi Z atau zoomers dilahirkan di antara lewat 1990-an dengan awal 2010-an, kini berusia 18-24 tahun; generasi milenial atau Generasi Y lahir antara 1982 dengan 2000, kini berusia antara 25 dengan 41 tahun; generasi X pula mereka yang dilahirkan antara 1965 dengan 1981; dan generasi ‘baby-boomers’ adalah mereka yang dilahirkan di antara 1946 dengan 1964.

Dalam kalendar Cina, pusingan 12 tahun dipadankan dengan haiwan tertentu setiap tahun – ada tahun naga, tahun harimau, tahun kuda, tahun tikus dan sebagainya.


Pelaku jenayah berat biasanya dikenakan hukuman penjara beberapa tahun.


Barang antik dinilai ikut tahun ia dihasilkan. Lebih lama, lebih berharga.


ASPEK EKONOMI

Tahun penting dalam melihat kelakonan ekonomi negara dan syarikat.


Di peringkat negara, Tahun kewangan atau Tahun Fiskal adalah jangka masa 12 bulan yang diliputi oleh belanjawan negara, dengan pemerintah biasanya membentangkan bentuk pendapatan dan corak perbelanjaan pada tahun baru, bergantung pada pelbagai jangkaan dan pertimbangan, jangkaan inflasi atau kemelesetan, jangkaan pertumbuhan, pertimbangan ekonomi dan kesejahteraan sosial rakyat.


Syarikat juga sering mengambil kira kelakonan setiap tahun dan membuat perancangan bagi pertumbuhan syarikat.
Rakyat, khusus yang bekerja, pula perlu melihat pendapatan dan ini mempunyai pelbagai implikasi dari segi cukai pendapatan tahunan, perbelanjaan diri dan keluarga, gaya hidup dan sebagainya.


Sebahagian negara pula mengadakan program rancangan lima tahun pembangunan negara dengan tumpuan pada projek tertentu.


Dalam instrumen simpanan bank seperti simpanan tetap atau pinjaman, kadar faedah tertentu dikira ikut tempoh tahun.


ASPEK AGAMA

Selain aspek sejarah seperti tahun kelahiran nabi dikaitkan dengan tahun gajah, permulaan bulan setiap tahun amat penting – kerana ia ada kaitan dengan aspek ibadah permulaan awal tahun 1 Muharam, Hari Asyurah pada 10 Muharam, sambutan maulud nabi pada 12 Rabiulawal, Israk Mikraj pada 27 Rejab, pertengahan atau nisfu Syaaban pada 15 Syaaban, permulaan Ramadan dan beberapa malam bererti di dalamnya seperti nuzul Al-Quran, malam ganjil mencari lailatulqadar, permulaan syawal, permulaan Zulhijah dan hari penting di dalamnya seperti Hari Arafah dan hari-hari tasyrik, hujung dan awal tahun.


Tahun juga penting kerana pembayaran zakat harta dikaitkan dengan nisab (cukup perkiraan ikut kadar yang tertentu) dan cukup haul (cukup setahun).


Dari segi hukum, ada istilah cukup umur atau akil baligh (sudah berakal) -- biasanya antara 12 dengan 15 tahun bagi lelaki (atau setelah mendapat mimpi basah), antara sembilan dengan 12 tahun bagi perempuan – lantas sudah besar, matang dan wajib menunaikan perintah Allah.


Dari segi umur, hadis nabi juga menyatakan umur umatnya secara umum adalah antara 60 dengan 70 tahun.


Dan dalam Al-Quran ada beberapa ayat mengenai perbandingan tahun kiraan manusia di dunia dengan kiraan akhirat. Tahun di akhirat, misalnya pada Surah Al-Hajj ayat 47:


“… satu hari daripada hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun daripada yang kamu hitung’; dan surah Al-Sajdah: 5 “Dia mengatur segala urusan dari langit ke bumi, kemudian itu naik kepada-Nya dalam satu yang kadarnya adalah 1,000 tahun (di dunia) mengikut perhitunganmu.”


Dalam satu ayat lain, perbandingannya ialah satu hari bersamaan 50,000 tahun (rujuk Surah Al-Ma’arij ayat 4 di mana ulama ada menjelaskan tentang perbezaan perbandingan kiraan ini bukan satu percanggahan tetapi ia mengikut konteks dan maksud pada ayat berkenaan).



Dalam sejarah Islam, ada tahun yang disebut sebagai tahun kesedihan (iaitu tahun nabi kehilangan orang terdekatnya, iaitu Siti Khadijah dan pak cik Abu Talib).


ANTARA ASPEK LAIN

Tahun, apabila dipadankan dengan perkataan lain, menggambarkan atau memberi maksud tertentu.


Tahun akademik adalah tempoh masa dalam satu tahun yang digunakan sebagai penggal pengajian atau kuliah di kolej, universiti, institusi akademi.


Tahun jagung atau setahun jagung menggambarkan waktu yang singkat – kira-kira tiga atau empat bulan.


Kalau diibaratkan pada manusia, usia baru setahun jagung bermakna masih muda atau belum begitu matang.


Pernah ada pengulas bola menyifatkan terkaman garang seorang pemain muda bola sepak dengan komen “umur baru setahun jagung, sudah pandai bermain kotor”.


Tahun melawat, seperti Tahun Melawat Malaysia, adalah kempen pelancongan menarik pengunjung luar datang dengan menawarkan pelbagai daya tarikan.


PELBAGAI ISTILAH

Tahun baru adalah hari pertama dalam satu-satu tahun.


Tahun lalu ialah tahun lepas, tahun yang sudah berlalu; tahun ini ialah tahun sekarang yang sedang dilalui; dan tahun depan, tahun yang akan datang.


Setahun ialah tahunan atau sepanjang tahun; suku tahun ialah seperempat tahun atau tiga bulan; dan setengah tahun ialah enam bulan.


Ulang tahun adalah tahun ulangan memperingati sesuatu peristiwa, seperti ulang tahun kelahiran, perkahwinan, kematian dan sebagainya.


Perayaan memperingati ulang tahun sesuatu peristiwa selang beberapa tahun disebut dengan jubli – misalnya jubli emas (perayaan ulang tahun ke-50); jubli intan (perayaan mem­peringati ulang tahun ke-60); jubli perak (perayaan memperingati ulang tahun ke-25).


Tahun cahaya adalah kiraan unit jarak bersamaan dengan jarak yang dilalui cahaya dalam satu tahun.


Satu dekad atau dasawarsa bersamaan dengan 10 tahun; satu abad ialah 100 tahun; dan satu alaf ialah 1,000 tahun.


Bertahun atau bertahun-tahun bermakna sudah lama – misalnya sudah bertahun-tahun hijrah ke negara lain.


Tahunan bermakna berlaku atau diadakan setiap tahun, misalnya mesyuarat agung tahunan (AGM).


PERIBAHASA

Tahun juga terdapat dalam beberapa peribahasa.


Istilah umur setahun jagung menggambarkan muda dan pemikiran belum begitu matang.


Berbuat di alang tahun, belayar di luar musim bermakna mengerjakan sesuatu bukan pada waktunya. Alang ialah tengah; berbuat bermaksud turun ke sawah atau ke ladang.


Ibarat negeri berubah rasam; ibarat tahun berubah musim bermakna orang yang tidak tetap kedudukannya. Rasam adalah adat atau kebiasaan.


PANTUN

Tahun juga diungkap dalam beberapa pantun klasik. Antaranya:


Batang selasih permainan budak,

Daun sehelai dimakan kuda;

Bercerai kasih bertalak tidak,

Seribu tahun kembali juga.

Kalau ada padi di ladang,

Boleh abang menumpang mandi;

Kalau ada umur panjang,

Tahun hadapan berjumpa lagi.

Hari Rejab bulan Syaaban,

Tidak hari bertukar tahun;

Jikalah sekejap rasa sebulan,

Tidakkah sehari rasa setahun?

Dari mana hendak ke mana,

Tinggi rumput dari padi;

Bulan mana tahun yang mana,

Tidak luput di dalam hati.

Pokok sena dahan sena,

Sulur-menyulur di tepi perigi;

Tahun mana musim yang mana,

Haraplah kita jumpa lagi.

Pulau Daik banyak kelapa,

Pulau Karimon banyak pegaga;

Budi baik payah dilupa,

Beribu tahun dikenang juga.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >