Sejarah silam yang pahit hingga menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong hampir membuat, Encik Azhar Samsudin, berputus asa dan hilang arah tujuan.
Namun cinta terhadap muzik berjaya mengubah kehidupannya.
Kini Encik Azhar, 56 tahun, telah menerima keadaan fizikalnya dan bangkit lebih bersemangat sebagai seorang jurulatih muzik di Pusat Muzik Faith, sebuah pusat yang membantu golongan kurang upaya menyertai kursus muzik.
Beliau juga aktif dalam kugiran yang dibentuk bersama rakan-rakannya di pusat muzik tersebut yang terletak di Stadium Walk.
Dinamakan, ParaBeatz, nama kugiran itu diilhamkan daripada gabungan perkataan lumpuh dan rentak muzik dalam bahasa Inggeris.
Dalam tempoh setahun penyertaannya di pusat itu, Encik Azhar dilantik sebagai pemain gitar utama kugiran ParaBeatz, yang terdiri daripada lapan anggota yang mempunyai ketidakupayaan penglihatan dan fizikal.
Berkongsi pengalamannya, Encik Azhar berkata beliau terpaksa menjalani pembedahan untuk memotong kakinya pada 2016.
Ia disebabkan oleh jangkitan dan darah beku di pinggangnya.
Beliau yang menjalani tiga pembedahan utama di kaki, atas lutut dan pinggang berkata:
“Lepas kaki saya dipotong saya hilang arah dan hanya berkurung di rumah sehingga empat bulan.”
Namun beliau memperolehi sinar harapan apabila bertemu dengan Cik Aisah Ibrahim, 78 tahun, yang merupakan seorang pemuzik di pusat muzik Faith.
“Pertama kali saya bertemu dengannya di stesen MRT, Cik Aisah memulakan perbualan dan bertanya tentang kecacatan saya.
“Setelah itu, beliau mengajak saya ke pusat muzik itu dan mencetuskan minat saya terhadap gitar elektrik,” ujarnya yang menganggap Cik Aisah sebagai mentornya.
Mengimbas kembali masa silamnya, Encik Azhar berkata beliau pernah terjebak dengan dadah pada usia 16 tahun dan sejak itu bergelut dengan masalah ketagihan yang berlarutan selama lebih 30 tahun.
Selama itu, beliau pernah masuk penjara sebanyak lapan kali.
Walau berhadapan dengan pelbagai dugaan, semangatnya tidak pernah luntur manakala sokongan padu daripada keluarganya telah memberikannya kekuatan untuk membina kehidupan baru yang lebih bermakna.
“Saya harap yang saya boleh membimbing generasi seterusnya agar menjauhi gejala negatif dan menggunakan muzik sebagai cara yang positif untuk menangani cabaran,” ujar beliau.
Pengalamannya itu turut menjadi ilham bagi satu lagu yang dihasilkan pengasas pusat muzik itu, Encik Alvin Yeo, yang berjudul ‘Habis Gelap, Terbitlah Terang’ dan boleh didapati di aplikasi Spotify.
“
“Lepas kaki saya dipotong saya hilang arah dan hanya berkurung di rumah sehingga empat bulan... Pertama kali saya bertemu dengannya di stesen MRT, Cik Aisah (pemuzik di pusat muzik Faith) memulakan perbualan dan bertanya tentang kecacatan saya. Setelah itu, beliau mengajak saya ke pusat muzik itu dan mencetuskan minat saya terhadap gitar elektrik.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg