Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Cerpen

Narasi Lelaki Pantai Tenggara

Sep 17, 2023 | 05:32 AM



MAWAR SAFEI


“Shan! Shan!”

Tangannya seperti mahu didepakan, tapi sekejap itu dia cepat melambai tanda menyahut laungan saya. Saat mendekat suaranya separuh parau, “Hello Meique.” Entah mengapa sederap itu saya seperti mendengar ada gelombang yang terpecah. Kebetulan juga angin sedang berlari antara celah renik ranting kemboja yang bersembunyi di laluan mahasiswa. Ia berselerak berulang alik dari bilik kuliah menerusi jambatan kecil yang berkeluk-keluk. Angin yang selalu datang, tidak kira pagi atau petang seperti sekarang. Saya mengharapkan kami sebenarnya sedang menuruti pasir pantai dan melihat ombak kecil yang datang. Nyamannya berada di birai laut. Seperti selalu, laut tidak pernah menyebalkan. Laut akan selalu menghantar pawana cinta!

Kami menyambung langkah di sepanjang laluan teduhan yang menganjur panjang menuju hujung ke jalan utama. Sebentar lagi kami akan menuruni tangga menghala ke pintu tasik kampus yang permai. Saya selalu katakan kepada Shan, ini bayangan tasik di syurga dan lelaki berambut tipis itu akan ketawa kecil. Saya fikir dia bersetuju dan selalu diikuti dengan nada parau rendahnya, “Aku senang sekali, Meique.”

Shan. Tidak jarang saya memanggilnya sebagai Lelaki Pantai atau lebih tepat, Lelaki Pantai Tenggara. Ya, ternyata tasik yang melintang di hadapan kami sekarang jauh dari pantai, jauh daripada impian Shan untuk dapat meluncur. Kegemarannya untuk meluncur pada setiap hujung minggu ternyata harus ditangguhkan sehingga dia kembali ke Taipei pada hujung tahun nanti. Kami akan kembali ke sarang masing-masing selepas tamat kontrak penyelidikan di sini. Saya tahu rindunya dia terhadap pantai tenggara. Saya kian mengenali lelaki ini sepertimana saya dapat menebak dirinya dari arah belakang sewaktu dia berjalan tadi. Susuk dan jalannya seperti mahu meluncur!

“Chenggong dan Donghe adalah dua pantai pilihanku. Ukuran ombaknya sangat berpada sepanjang musim luruh hingga merentas ke musim bunga. Hawa selalu mahu bersahabat, begitu juga rima derunya. Benar, ia adalah senandung pantai yang mahu aku diperdengarkan selalu, Meique.”

Saya pernah berjanji untuk bertemu Shan lagi di Taipei suatu masa nanti. Saya mahu ke kampusnya di Wilayah Beitou. Universiti yang meraikan seni dan sastera. Sistem di kampusnya yang tidak mempeduli senarai universiti tertinggi dengan penulisan kertas jurnal berindeks atau pelbagai tolok ukur oleh Quacquarelli Symonds, Times Higher Education, Thomson Reuters. Shan senang menulis apa sahaja terkait dengan tugas hakiki kesarjanaan. Puisi panjangnya tentang mitos orang asal di pulau kelahiran. Dia menulis dengan cinta saat mendaki pergunungan Xueshan. Begitu gumpalan gelombang dibawa masuk dalam baris puisi, Lagu Luncuran Gelombang (2013) dan Luncuran Cinta (2015). Dua buku yang diangkat karya terbaik anugerah sastera negaranya. Shan, sarjana antropologi tetapi sangat meminati puisi. “Aku menulis puisi bersama-sama luncuran ajaib ini. Berdiri menyertai gelombang adalah pernyataan kuasa dan daya, Meique. Papan luncur menjadi puisi magis!”


Ternyata Shan senang dengan topografi zaman ais di puncak Xueshan, gunung salju itu. Pendakian hampir mencecah kali yang ke sepuluh, melintasi perhutanan fir. Barangkali gelaran Lelaki Pantai Tenggara belum memadai untuknya, ternyata Shan juga menguasai jalan pergunungan dan hutan pohon tirus. Nama apa lagi yang patut saya tampal di dada lebarnya.

“Menatap bentangan Lautan Pasifik sekian tahun, tak mungkin aku akan dapat meninggalkan papan luncurku. Seperti banyaknya kolam air panas purba di Beitou, hangatnya yang menyembuh. Kau tahu, wilayah Beitou itu sepertinya ahli sihir sakti, penawarnya sangat alami. Begitulah setiap kali aku mengejar mencari garis gelombang. Aku seperti selalu ditunjuk mata angin untuk memilih jalur mana yang harus kutempuh.”

Mata redup Shan menyambung cerita. Saya tahu ada lagi kisah yang mahu dilanjutkan. Saya tahu sepertinya dia berada dalam capahan tikungan pilihan. Dan saya masih belum tahu jalan mana yang dituruti Shan, lelaki yang sangat akrab dengan alam. Saya membaca puisinya, Kitab Suci Alami. Shan banyak bercakap tentang semua sahabat baiknya dari lautan yang penuh gelora dan kesenyapan. Dari angin yang sangat rahsia memasuki tiap rabung gunung pada jelaga malam. Biar saya terjemahkan sedikit belahan puisi indah sang peluncur wilayah Beitou ini. Kau, tahu Shan, sehabis membaca, saya menemukan apa yang kau dakwa – diriku sendiri!

Barangkali ini belantara aneh

menemukan pelepah pinang dan air ragi

ada sulapan yang bersilang makna

antara tradisi dengan peribadi.

Di serpihan pulau sunyi

dan aku, si peluncur

berdiri di antara gelombang

dengan malam Lanyu

kurapatkan kitab

tentang bintang

tentang mimpi.

Si peluncur,

daun dan

unggas

dari kutubkhanah alam,

menuju siang

kutemukan

deru pulau selatan

gelombang dan dasarnya

bersama

angin dan bayang

akhirnya menjadi

kisah dan cinta.

Saya segera kembali ke pantai semenanjung kami. Saya menuju penjuru tanjung. Saya pernah bertemu Lelaki Pantai, si pengutus surat tentang cuaca di dalam botol kaca. Lelaki Pantai. Ya, banyak karenah cuaca dan bagaimana selama ini kita kian berjarak daripada matahari, tulisnya begitu. Kemudian saya belajar daripada lingkaran surat dalam balang kaca bahawa matahari bukan sahaja sebagai pelengkap cahaya siang dan malam menerusi sorotan bulan, tapi ia juga merupakan suluhan cahaya yang menuntun keruhanian. Matahari adalah antara ciptaan luar biasa. Kebesaran Sang Pencipta yang memandu kelurusan. Ia adalah ukuran kiblah yang bukan sahaja menjadi pedoman fisik saat sajadah mahu dihampar. Lebih daripada itu ia dihitung darjah letak bayang-bayang. Ia merupakan titik harkat persujudan. Titik yang terkait rapat dengan kewujudan matahari. Lalu menjauhnya manusia daripada matahari bererti jauhnya dia daripada titik persujudan itu.

Saya mendongak.

Matahari petang yang kian surut. Matahari di samping saya masih terang bercerita tentang gelombang dan lautan. Ya, Shan. Namanya juga ada talunan dari celah pergunungan dan seribu lurah perbukitan. Antara dingin salju gunung, antara dengung getir ranting dengan daun fir. Barangkali begitulah desah hati saya ketika mengenang meja kerja dan jendela di kampus yang saya tinggalkan sementara. Banyak yang mendera kejujuran dalam pekerjaan. Banyak mesin yang membentuk jalan hidup sehinggakan kami turut menjadi toko, pabrik, perusahaan yang sangat membikin kehidupan sebagai jentera.
Kali ini dengan Lelaki Pantai Tenggara, saya mengenali lanjut tentang gelombang. “Ayuh, nanti di Chenggong atau Donghe, kau harus ikut. Kita meluncur. Menyibak angin, menyerpih sengsara jiwa akibat kerja dan kita akan menunggang gelombang. Kau akan merasakan nanti penaklukan itu, Meique. Aku mahu sekali kau merasakannya. Kau akan mengimani bahawa tiada apa yang dapat menundukkan dirimu, tidak ketua jabatanmu, bukan seterumu, bukan juga kertas jurnal yang mahu mengheretmu ke dasar kepura-puraan menjadi ahli yang bijaksana. Tidak. Berdiri di atas papan luncur nanti, kau menjadi raja pada jiwamu sendiri. Jiwa yang merdeka! Kau tidak berjumpa dengan kepura-puraan. Gelombang tidak akan menjadikan kau mahu berbohong. Tidak ada dusta. Tidak ada yang semu!”

Benar. Kepura-puraan. Bekerja tanpa diksi cinta adalah hanya permainan memperbodoh diri sendiri. Seperti nelayan yang harus bersahabat dengan ikan dan gelombang. Jaring dan pukat yang barangkali nanti memerangkap kehidupan dalam kematian yang tidak diduga sama sekali. Begitu nasib Pak Hassan Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang terjerat dalam jaring lipur lara kehilangan dan kesendiriannya. Atau barangkali saat Usman Awang menafsir Kekasih dalam arus geruh Gelombang. Begitu saya belajar daripada kesusasteraan, manusia banyak berbohong dalam hidup. Manusia dengan kebahagiaan yang menipu.

“Kau harus tahu gelombang dipalsukan juga, Meique.”

Mata kami bersatu di permukaan tasik yang sekejap ada riak ikan yang berenang petang. Cepat kemudian saya menduga kepalsuan yang baru diungkapnya. Tasik ini juga palsu, Shan. Banyak ujikaji yang dijalankan di dasarnya oleh ahli fakulti botani.

“Ada aneka gelombang yang digubah di merata benua. Gelombang terhasil daripada teknologi dan kepintaran sains. Setiap jam akan menggulung seribu corak gelombang. Sehingga mencapai hampir tujuh kaki tinggi. Mereka menamakannya sebagai Taman Ombak. Laut bikinan di tengah-tengah padang lalang. Maka dinamakannya kesejahteraan biru dan hijau. Aneh, memang! Hairan sekali apabila apa yang cuba diperbuat adalah mencipta kegembiraan kepada sang peluncur untuk mendapat ruang, masa dan kenyamanan. Air silika. Angin dongengan. Lalu kau sedar, semua itu adalah semu! Kebahagiaan yang palsu.”

Saya jarang memahami erti mimpi. Saya terjaga sekitar jam 2:00 dini. Sambil mengenang kembali mimpi yang semakin tipis dan menjauh, saya masih dapat melihat bayangan yang muncul terolang-aling. Laut yang sederhana gelombangnya bagi sang peluncur tetapi cukup besar bagi saya, orang biasa yang tidak tahu menahu tentang rentak ombak, laut dan kocak geloranya. Antara lapis riak raksasa yang menggulung, saya melihat ada tangan yang cuba menggapai. Dalam mimpi saya rasakan keletihan tangan itu. Ya, tidak saya lihat sebarang anggota tubuh lain. Hanya tangan. Ia adalah tangan yang cuba meraih sesuatu. Entah mengapa mimpi itu yang bertahan dalam ingatan saya yang berlapis-lapis. Ingatan saya yang mulanya seperti riak-riak kecil kemudian berubah menjadi gulungan gelombang.

“Gelombang!’

Saya menjeling lengan Shan yang kekar. Ia dalil keupayaannya mendakap gunung dan membelah gelombang. Entah, sekali sekala muncul narasi Musa yang membelah lautan di hadapan bala tentera raja. Kuasa atas Kuasa yang menjadikan lautan sebagai gunung-ganang di kiri dan kanan. Lalu raja yang merasakan tangan dan suaranya adalah Tuhan, tenggelam bersama-sama pengikut dan keangkuhan. Saya pernah menunjuk Shan penemuan kepingan peta purba lanar lencongan Sungai Nil. Tentang angin timur keras yang berpusing membentuk dinding setelah terjadi peristiwa rekahan air. Kisah Laut Merah dan Tasik Tanis. Ketika yang sama saya cuba meninjau mata dan getar hati Shan - profesor, peluncur dan penyair. Tangan dan mimpi dini, muncul lagi.

“Meluncur sering mencipta perasaan khas. Ia sangat menyenangkan. Saat aku berdiri di atas papan luncur, gelombang membawaku menari. Seperti di atas buaian alami, aku menyertai kelunakan dan ia sangat melentur untuk berasa cukup bahagia dengan jalan yang kupilih.”

Angin tasik di lembah ini tiba-tiba menjadi dingin. Ya, sedingin salju yang pernah Shan cermati di puncak Xueshan. Tangan saya terketar dan hampir saja saya mahu merangkul lengan kekar Shan. Seperti turut merasakan kesaljuan itu, mata Shan menikam gejolak saya untuk menurutinya meluncur di Chenggong atau mungkin sahaja di Donghe. “Ayuh, Meigue.”

Rupanya Shan dapat membaca hati saya. Entah mengapa setiap kali mendengar narasinya perihal gelombang, tangan dari mimpi dini akan mencelah masuk. Ternyata saya masih keliru. Ternyata saya masih belum tahu.

Biodata penulis


MAWAR SAFEI adalah Penulis Tamu Program Penulisan Kreatif Asia (ACWP) 2023, NTU-NAC. Berkhidmat sebagai Profesor Madya di Pusat Kajian BITARA Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau merupakan penerima Anugerah Akademik Negara 2018 dan Anugerah SEA Write 2018. Pernah menjadi Profesor Pelawat di Universitas Negeri Jogjakata (2020). Buku terbarunya Alam Sekitar dalam Novel (Penerbit UKM, 2022) dan Narasi Musim Wabah: Antologi Cerpen Covid (Penerbit UKM, 2021). Kumpulan cerpen terkininya adalah Narasi dari Tanah Selandia Baru dan Kisah Lainnya (DBP, 2021).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >