Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Esei

Singgahsana karya Isa Kamari - ziarah semula puisi

Sep 03, 2023 | 11:25 AM



MAWAR SAFEI


‘Singgahsana’ (2022) terbitan Biblio Lit merupakan antara karya terkini Isa Kamari, sasterawan Singapura yang banyak menyelinap aneka genre kesusasteraan. Sari rangsang novel ini berpada untuk mewakili intinya, iaitu:

Antara kesihatan mental, keluarga, cinta dan cita-cita, novel ini menghidangkan naratif seorang penderita skizofrenia mencari kewarasan diri dari sudut pandang seorang abang, bersulam antara realiti dan alegori, juga dijalin indah antara puisi ke puisi.

Benar, setiap 23 bab novel ini dilampirkan bersama-sama puisi, ia menjadi seperti pintu yang menyambut pembaca untuk mengenali lanjut isi cerita.

Puisi yang dikepil disusuli dengan pemerihalan tentang kandungan dan perutusan cerita. Ada hubungan yang akrab antara kedua-duanya. Begitulah nada dalam kebanyakan bab.

Contoh yang diperlihat secara sangat dekat dalam bab pertama. Baris-baris puisi menyebut tentang “merafak sembah”, “paduka”, “singgahsana” atau “menjunjung kasih”. Ia kemudiannya tersambung dengan pengenalan novel ini tentang watak ‘Aku’ yang menziarahi adiknya di Institut Kesihatan Mental atau Buangkok Green Medical Park atau Woodbridge atau nama lain bagi hospital orang gila di Singapura (halaman 3).


Bab awal yang dibangunkan dari puisi berkenaan, kemudiannya dapat melebarkan fahaman pembaca tentang watak lelaki atau ‘Dia’ yang dimaksudkan “penderita skizofrenia.” Maka yang diertikan dengan beberapa kata kunci dari puisi tadi adalah dukungan seterusnya kepada binaan naratif novel ini. Kata kunci yang merupakan alegori; bagaimana dalam dunia halusinasi dengan realiti itu hampir tidak terpisahkan.

Membaca puisi pertama dalam bab permulaan, ternyata membawakan kesan kenangan kepada puisi Isa Kamari yang pernah saya baca lama dahulu, judulnya, ‘Singgahsana’ (Sumur Usia, 1993). Puisi ini diterbitkan semula dalam kumpulan terkininya, ‘Menyapa Cinta’ (2022). Peragaan ‘Singgahsana’ dengan judul novel yang sama, memberikan tanggapan awal akan dampak intertekstual dalam proses kepengarangan Isa Kamari kali ini.


Menekuni kepengarangan Isa Kamari sejak ‘Satu Bumi’ (1998), kesendengan intertekstual sememangnya berlaku dengan rancak. Malah kemudiannya lewat ‘Tawassul’ (2002) dan ‘Menara’ (2002) juga dan kali ini turut terkesan menerusi ‘Singgahsana’.

Dalam beberapa keadaan, Isa Kamari agak terikat mengulang baca dan memadankan puisi yang pernah digubahnya. Sama ada pengarang terus akur dengan hipoteks puisinya untuk menggerakkan plot ‘Singgahsana’ atau sebaliknya kerancuan watak ‘Rajawali’ penghulu semua burung bangsat di alam Jabarut, Malakut, Nasut dan Lahut (hlm. 48) menuntut digandingkan dengan puisi-puisi terdahulu. Lakaran sejumlah puisi itu juga didakwa sebagai lantunan jiwa Dia atau si ‘Rajawali’. Perhatikan rujuk silang dengan puisi awal yang dimuatsemula dalam ‘Menyapa Cinta’, iaitu ‘Unggas’ (halaman 75) dan ‘Firasat’ (halaman 87).


Begitu juga Isa Kamari mengada-adakan kehadiran seekor siput dalam bab 18, memerikan keadaan siput di tebing saat hujan, dihanyutkan arus (halaman 109). Perumpamaan siput ini adalah dengan keadaan diri penderita rayanan. Latar ini persis terpapar pada puisi lama Isa Kamari ‘Siput’ (halaman 26),



Kerana kegagalan

Adalah arus ganas


Yang menghakis


Tebing iman


.......................

Melihat siput


Yang jatuh lalu hanyut


Aku jadi penangis


Dalam gerimis yang menghiris


Malah rumit dan rusuh fikiran ‘Dia’ juga terpamer pada sketsa di dinding rumah dan canting batik (halaman 121), sehingga Isa Kamari membawa masuk semula puisi ‘Batik’ (halaman 86). Latar minat ‘Dia’ dalam seni ini ini agak tiba-tiba. Begitu juga dengan minat menulis puisi dan dikatakan pernah diterbitkan Berita Harian. Sejak awal ‘Dia’ terlibat dengan dadah, gagal dalam pelajaran dan terperangkap dalam pelbagai bentuk jenayah, tidak pula kecenderungan itu diperlihatkan.


Kerja padanan, menghantar kesan kesalingan jelas dalam novel ‘Singgahsana’. Ini yang saya maksudkan dengan kerja penukangan kesalingan dalam ‘Singgahsana’. Penziarahan semula puisi untuk sama-sama membangunkan struktur novel. Kreativiti Isa Kamari teruji dengan kebijakannya cuba menjalin dan mewajarkan kita sebagai pembaca untuk menerima kemunasabahan yang berlaku dalam persekitaran watak yang bertelingkah dengan jiwa kacau.

Pembikinan watak ‘Dia’ sebagai lelaki skizofrenia, mereka-reka kewujudan (halaman 83) secara langsung disahkan pakar (hlm 92) dan bacaan Aku tentang penyakit mental ini (hlm 95-96), begitu langsung disampaikan pengarang. Membangunkan watak yang mengalami rayanan seperti yang berlaku dalam ‘Hujan Pagi’ nukilan A. Samad Said atau ‘Panggil Aku Melaju’ oleh Rahmat Haroun, rata-rata membuka ruang lebar akan percakapan rencam termasuk peristiwa gharib, teka-teki dan misteri. Malah dalam penggemblengan binaan naratifnya, Isa Kamari mempunyai peluang luas memilih jurus pandang watak-watak yang kadangkala mencapah liar.


Mungkin ini yang dimaksudkan Isa Kamari sebagai ‘topeng’ atau ‘hijab’ di penghujung novel ini. Lewat cuplikan dari Joseph Campbell, Friedrich Nietzsche dan Oscar Wilde, kesaksamaan dalam menanggap kesenjangan jiwa manusia diharapkan dalam kalangan khalayak pembaca ‘Singgahsana’.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >