Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar Melayu pertama selami pengajian Cina di Politeknik Ngee Ann

Aug 25, 2025 | 5:24 PM
Syakirah Dahiyah, pengajian, Cina
Minat mendalam Cik Syakirah Dahiyah Sudanto dalam budaya Cina mendorongnya mendaftarkan diri dalam Diploma Pengajian Cina di Politeknik Ngee Ann, menjadikannya pelajar Melayu pertama dalam sejarah 20 tahun diploma itu. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Setiap kali menonton drama Mandarin atau mendengar lagu Cina, Cik Syakirah Dahiyah Sudanto akan mengulangi sebutan beberapa perkataan beberapa kali demi memastikan tidak hilang keupayaan bertutur dalam bahasa Mandarin.

Bagi remaja berusia 18 tahun itu, usaha kecil sedemikian penting agar beliau mampu menguasai bahasa asing itu yang mula dipelajarinya sejak prasekolah.

“Bahasa Cina bukan hanya tentang membaca atau menulis, tapi juga tentang memahami budayanya. Itu yang membuatkan saya tertarik sejak kecil,” jelas pelajar tahun kedua Politeknik Ngee Ann.

Minat itu akhirnya mendorongnya mendaftarkan diri mengikuti pengajian Diploma Pengajian Cina di Politeknik Ngee Ann, sekali gus mencatatkan sejarah, menjadikannya pelajar Melayu pertama dalam sejarah 20 tahun diploma tersebut.

Anak bongsu dua beradik mula terdedah kepada bahasa Mandarin sejak kecil apabila ibunya mendaftarkannya di prasekolah dwibahasa Inggeris-Cina.

Perjalanan itu berterusan apabila beliau mengambil bahasa Cina sebagai salah satu mata pelajaran untuk Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ’O’.

Cik Syakirah dan ibu bapanya tidak mempunyai darah keturunan Cina.

“Memandangkan saya sudah bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris di rumah, ibu saya rasa adalah baik sekiranya saya boleh bertutur dalam bahasa ketiga.

“Ia mungkin akan beri saya lebih banyak peluang dari segi pekerjaan, atau pendedahan kepada budaya yang berbeza,” ujar Cik Syakirah.

Politeknik Ngee Ann ialah satu-satunya politeknik di Singapura yang menawarkan kursus diploma Pengajian Cina, yang meliputi sejarah, budaya, kesusasteraan dan terjemahan Cina.

Kebanyakan kursus itu diajar dalam bahasa Mandarin, dengan 30 peratus dalam bahasa Inggeris.

Cik Syakirah mula terdedah kepada bahasa Mandarin sejak kecil apabila ibunya mendaftarkannya di prasekolah dwibahasa Inggeris-Cina.
Cik Syakirah mula terdedah kepada bahasa Mandarin sejak kecil apabila ibunya mendaftarkannya di prasekolah dwibahasa Inggeris-Cina. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

“Apa yang saya gemari tentang budaya Cina adalah kisah dan sastera lama yang membentuk sejarah Cina yang sangat kaya.

“Terdapat banyak perkara untuk dipelajari, ia seperti misteri besar yang perlu dikupas, dan itulah sebabnya saya sangat menyukai budaya Cina,” kongsi Cik Syakirah.

Mengulas tentang diplomanya, Cik Syakirah berkata pelajar boleh memilih untuk mengkhusus dalam aspek pendidikan atau aspek perniagaan pada tahun kedua pengajian.

Mereka yang memilih aspek pendidikan akan dilatih untuk menjadi guru sekolah rendah, manakala mereka yang memilih aspek perniagaan mempelajari amalan dan komunikasi perniagaan Cina, termasuk terjemahan, dan pengurusan acara dan projek.

“Pada mulanya, saya tertarik kepada aspek pendidikan kerana saya mahu memberi inspirasi kepada golongan muda... tetapi saya memilih aspek perniagaan kerana saya sangat tertarik dengan komunikasi, globalisasi dan geopolitik,” katanya.

Namun, perjalanan akademiknya bukan tanpa cabaran.

Sepanjang dua tahun beliau menuntut diploma tersebut, Cik Syakirah mengakui berdepan detik sukar, khususnya semasa mengikuti modul asas seperti terjemahan, budaya dan sastera Cina.

“Apabila saya belajar sastera Cina, saya rasa seolah-olah nak berputus asa kerana ia sangat susah. Terdapat perkara yang saya tidak faham, dan bahasanya begitu rumit.

“Ia sangat mengecewakan saya. Ada masa saya menangis di depan kawan kerana ia terlalu susah. Mereka bertutur dalam bahasa Mandarin di rumah setiap hari, jadi mereka ada kelebihan.

“Jadi, daripada menumpukan perhatian untuk menjadi lebih baik daripada rakan saya, saya memilih untuk menumpukan menjadi versi diri saya yang lebih baik setiap hari,” luahnya.

Hasrat masa depan Cik Syakirah adalah untuk menyambung pengajian dalam bidang sains politik dan berkhidmat dalam sektor awam, menjadi jambatan untuk menghubungkan pelbagai budaya.
Hasrat masa depan Cik Syakirah adalah untuk menyambung pengajian dalam bidang sains politik dan berkhidmat dalam sektor awam, menjadi jambatan untuk menghubungkan pelbagai budaya. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Di sebalik cabaran dihadapi Cik Syakirah, kata-kata semangat serta bimbingan daripada gurunya memainkan peranan penting, misalnya dengan menerangkan teks klasik dalam bahasa lebih mudah difahami, atau menterjemahkannya ke dalam bahasa Inggeris.

Selain itu, sokongan keluarga, terutama ibunya, menjadi tiang kekuatan utama Cik Syakirah.

“Ibu saya orang pertama yang percaya bahasa ketiga akan memberi saya kelebihan. Walaupun beliau sendiri tidak faham, beliau tetap mendengar saya bertutur dalam bahasa Mandarin,” katanya.

Meskipun pada awalnya bercita-cita menjadi guru, Cik Syakirah kini berhasrat menyambung pengajian dalam bidang sains politik dan berkhidmat dalam sektor awam.

Beliau percaya bahasa adalah jambatan penting dalam diplomasi dan hubungan antarabangsa.

“Apabila kita nak berhubung dengan orang dari negara lain, kita perlu faham budaya mereka. Kalau tidak, kita mudah dianggap tidak menghormati mereka, walaupun tanpa sengaja.

“Jika saya dalam bidang dasar awam pada masa depan, saya ingin mendengar pendapat rakyat dan membentuk dasar awam yang lebih cekap demi menggalakkan percampuran antara etnik, dan menjadi jambatan untuk menghubungkan pelbagai budaya,” harap Cik Syakirah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg