Kaum minoriti di Singapura lebih kemungkinan menganggap bahasa Ibunda dan bahasa yang paling kerap digunakan sebagai bahagian yang amat penting kepada identiti mereka secara keseluruhan, menurut satu laporan Institut Pengajian Dasar (IPS) yang dikeluarkan pada 20 Ogos.
Sekitar 36.3 peratus responden berbangsa India menganggap bahasa Ibunda rasmi mereka adalah sangat penting kepada identiti mereka dalam kajian itu, diikuti dengan Melayu (34.9 peratus) dan bangsa lain (30.9 peratus).
Sebaliknya, hanya 18.7 peratus responden berbangsa Cina menyatakan demikian dalam kajian tersebut.
Laporan tersebut, yang berkongsi dapatan Kajian mengenai Kaum, Agama dan Bahasa IPS 2024, telah mendapatkan maklum balas daripada sampel perwakilan nasional seramai 4,000 rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR). Ia turut membandingkan dapatan dengan kajian terdahulu pada 2013 dan 2018.
Dalam pada itu, hanya 22.2 peratus responden berbangsa Cina menganggap bahasa yang paling kerap digunakan sebagai sangat penting kepada identiti mereka secara keseluruhan – kadar terendah jika dibandingkan dengan 37.9 peratus bagi Melayu, 40.9 peratus bagi India, dan 45.6 peratus bagi bangsa lain.
Dari segi usia, data menunjukkan bahawa mereka yang lebih berusia lebih kemungkinan menganggap bahasa Ibunda dan bahasa yang paling kerap digunakan sebagai bahagian penting atau sangat penting kepada identiti mereka.
Misalnya, 80.1 peratus responden yang berusia atas 65 tahun menyatakan demikian, paling tinggi jika dibandingkan dengan generasi lebih muda – 75.8 peratus bagi golongan berusia 51 hingga 65 tahun; 71.8 peratus bagi golongan berusia 36 hingga 50 tahun; dan 67.2 peratus bagi mereka yang berusia 18 hingga 35 tahun.
Dari segi tahap pendidikan pula, mereka yang berpendidikan lebih rendah melihat bahasa Ibunda sebagai penting kepada identiti mereka berbanding responden yang lebih berpendidikan.
“Kadar mereka dengan ijazah sarjana muda dan lebih tinggi yang menganggap bahasa Ibunda rasmi mereka sebagai sangat penting atau penting kepada identiti mereka secara keseluruhan adalah 63.2 peratus berbanding 72.5 peratus bagi mereka dengan kelayakan Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan profesional, dan 85 peratus bagi mereka dengan kelayakan sekolah menengah atau lebih rendah,” menurut laporan.
Trend serupa turut dilihat bagi sama ada bahasa yang paling kerap digunakan adalah penting atau tidak kepada identiti.
“Di samping itu, kadar mereka dengan ijazah sarjana muda dan lebih tinggi yang menganggap bahasa yang paling kerap digunakan sebagai penting atau sangat penting kepada identiti mereka secara keseluruhan adalah 75.2 peratus berbanding 79.9 peratus bagi mereka dengan kelayakan ITE, politeknik dan profesional, dan 87.4 peratus bagi mereka dengan kelayakan sekolah menengah atau lebih rendah,” tambah laporan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg