Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajari cara tulis, lukis komik dalam projek ‘Komikkan Ceritaku’

Peserta usia 10 hingga 15 tahun akan dibimbing secara semuka dan sesi dalam talian
Apr 28, 2025 | 5:30 AM
komikkan ceritaku, NAC
Maklumat lanjut dan borang pendaftaran boleh didapatkan melalui Kod QR di poster ini. - Foto NAC

Jika anak anda meminati komik dan pernah meluahkan hasrat menghasilkan komik sendiri, kini ada peluang untuk si kecil belajar cara menulis cerita dan melukis komik dalam bahasa Melayu.

Projek, ‘Komikkan Ceritaku’, dibuka kepada peserta berumur 10 hingga 15 tahun untuk memperkenalkan mereka kepada proses membuat komik dengan bimbingan bagi menghasilkan komik mereka sendiri.

Menerusi tiga bengkel dan dua sesi dalam talian, peserta dijangka dapat menyiapkan komik sendiri setebal empat halaman dengan tema pilihan.

‘Komikkan Ceritaku’ disusun dan diurus oleh penyunting dan penulis buku kanak-kanak, Nur-El-Hudaa Jaffar, dan pengilustrasi komik, Md Rosman Senin.

Ia disokong oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

Menurut Nur-El-Hudaa, idea mengadakan projek itu tercetus setelah melihat minat dan daya cipta yang terserlah dalam bengkel komik yang dipimpin oleh Md Rosman sempena Pesta Buku Melayu Singapura 2023 dan 2024. 

“Kami berbual tentang bagaimana minat dan bakat mengarang dan/atau melukis dalam generasi muda dapat terus dipupuk dan dikembangkan. 

“Kami juga melihat peningkatan dalam pembacaan penerbitan seperti komik dan novel grafik.

“Pengamatan ini disokong dengan kepopularan cerita dalam bentuk komik, baik dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu, yang dipinjam di perpustakaan.

“Komik juga satu bentuk sastera yang tidak harus diketepikan atau dianggap kurang nilainya,” jelas beliau.

Mengenai matlamat projek itu, Nur-El-Hudaa berkata ia bertujuan memberi peluang kepada mereka yang berminat dalam mengarang cerita, meneroka format bercerita melalui komik.

Ini bermakna keupayaan melukis bukan menjadi satu kemestian kerana penulis isi komik tidak semestinya orang yang pandai melukis, jelasnya.

Pada masa yang sama, program itu juga bertujuan memberi peluang kepada mereka yang cenderung melukis untuk mencipta cerita melalui lukisan.

“Melalui projek ini, kami berharap peserta dapat membuat cerita dan lakaran untuk komik dan dapat meningkatkan keupayaan sekali gus keyakinan mereka dalam mengolah cerita dan/atau melukis.

“Kami juga berharap mereka akan lebih menilai komik yang dibaca, dan sedar bahawa ia penghasilan yang memerlukan tenaga, visi dan kerjasama antara penulis dengan ilustrator,” kata Nur-El-Hudaa.

“Kami juga berharap dapat mempamerkan hasil kerja peserta di Pesta Buku Melayu Singapura nanti.

“Siapa tahu, mungkin ada penerbit yang berminat untuk menjadikan lakaran komik mereka sebuah penerbitan,” tambahnya.

Peserta projek itu akan dibimbing oleh Nur-El-Hudaa dan Md Rosman serta dua lagi penulis dan seorang lagi pengilustrasi.

Mereka adalah penulis novel grafik, Lieutenant Adnan and the Last Regiment, Danny Shah Jalil; penulis siri Zac Rushd, Hassan Ali; dan pengilustrasi, Lieutenant Adnan and the Last Regiment, Zaki Ragman.

Projek ‘Komikkan Ceritaku’, akan bermula pada 24 Mei. Acara penyampaian sijil dan pameran karya pula dijadual pada 20 September.
Projek ‘Komikkan Ceritaku’, akan bermula pada 24 Mei. Acara penyampaian sijil dan pameran karya pula dijadual pada 20 September. - Foto NAC

Projek itu akan bermula pada 24 Mei dengan dua bengkel dari 9 pagi hingga 5 petang.

Bengkel pertama berjudul, ‘Bermula dengan Ilham, Akhirnya Menjadi Komik’ akan mengajar peserta cara membangunkan cerita dan skrip untuk komik serta cara mengubah skrip menjadi panel komik dan melakar papan cerita.

Bengkel kedua berjudul, ‘Mencipta Watak yang Meninggalkan Kesan’. Melaluinya, peserta akan belajar cara mengenal pasti watak utama dan membentuk sifat dan rupa watak.

Hari kedua, 15 Jun, merupakan sesi berkumpulan dalam talian dari 10 pagi hingga 11 pagi.

Peserta akan diajak mengimbas kembali bengkel-bengkel yang diikuti pada hari pertama dan mengadakan perbincangan tentang karya masing-masing.

Pada hari ketiga iaitu 21 Jun, dari 9.30 pagi hingga 12.30 petang, akan diadakan satu bengkel berjudul, ‘Penulisan Kreatif – Membina Dunia Cerita Kita’.

Peserta akan belajar cara menghalusi cerita melalui plot dan watak, serta membangunkan dunia cerita.

Hari keempat dijadual berlangsung pada 6 Julai dari 10 hingga 11 pagi. Dalam sesi berkumpulan dalam talian itu, peserta digalak mengajukan soalan dan berkongsi tentang komik mereka.

Peserta perlu menghantar komik mereka kepada penganjur pada 1 Ogos.

Acara penyampaian sijil dan pameran karya akan diadakan pada 20 September di Wisma Geylang Serai.

Yuran bagi menyertai projek, ‘Komikkan Ceritaku’, ialah $60 bagi setiap peserta.

Pelajar di bawah Skim Bantuan Kewangan Kementerian Pendidikan (MOE FAS) boleh memohon subsidi.

Pendaftaran ditutup pada 10 Mei 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg