Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pensyarah: Ilmu, pemikiran, sumbangan MAS melestari bahasa perlu terus dikupas

Dec 2, 2024 | 7:10 PM
Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan menyampaikan syarahan di Auditorium Masjid Sultan pada 30 November 2024.
Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan menyampaikan syarahan di Auditorium Masjid Sultan pada 30 November 2024. - Berita Harian

Ilmu, pemikiran, sikap dan sumbangan besar Allahyarham Dr Muhammad Ariff Ahmad dalam pemugaran dan pelestarian tamadun Melayu – merangkumi bidang-bidang utama seperti bahasa, kesusasteraan, kebudayaan, sejarah dan pendidikan – perlu dipelajari, diketengahkan dan diteladani.

Demikian ditekankan oleh Anggota Dewan Negara Malaysia, Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan, semasa menyampaikan syarahan perdana pada 30 November 2024 sebagai menghormati legasi Allahyarham Dr Muhammad Ariff yang juga dikenali sebagai MAS.

Menekankan hal yang sama, Tetamu Terhormat, Encik Zainul Abidin Rasheed, mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Duta Singapura ke Kuwait (Bukan Pemastautin) berkata bahawa ia penting dalam rangka memupuk sarjana dan pakar dalam bidang bahasa, persuratan dan kebudayaan Melayu di peringkat tertinggi, bagi memastikan nusa ini dapat membangun tamadunnya.

Syarahan perdana sempena seabad kelahiran Allahyarham Dr Muhammad Ariff itu dianjurkan oleh Institut Pendidikan Nasional (NIE), bersama Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) dan Masjid di Auditorium Masjid Sultan.

Dalam syarahannya, Profesor Dr Awang berkata Allahyarham merupakan antara permata cendekia Melayu yang ada di rantau ini.

Allahyarham merupakan antara pengasas Angkatan Sasterawan ‘50 (Asas ‘50), sebuah pertubuhan yang mempertahankan hak masyarakat Melayu melalui tulisan karya sasterawannya. 

Jasa dan sumbangan Allahyarham dalam bidang pendidikan dan bahasa Melayu hingga kini telah banyak memanfaatkan masyarakat Melayu, kata Profesor Dr Awang. 

“Ilmu, pemikiran, sikap dan gerakan beliau perlu dipelajari, diketengahkan dan diteladani untuk pemugaran dan pelestarian tamadun Melayu yang diwakili oleh bidang-bidang utama seperti bahasa, kesusasteraan, kebudayaan, sejarah dan pendidikan,” kata beliau.

Kini, NIE menubuhkan Hab Kajian dan Sumber Dr Muhammad Ariff Ahmad (MAS RRH@LIBRIS). Ia mempamerkan artifak, manuskrip dan penerbitan oleh atau tentang Dr MAS.

Namun, Prof Awang ingin lebih ramai generasi meninjau dan mengupas ilmu dan pemikiran Allahyarham yang dapat digunakan untuk kemajuan masyarakat.

Beliau antara lain menyarankan juga supaya diadakan siri wacana berterusan dalam pelbagai bentuk media, untuk meninjau sumbangan dan pemikiran Allahyarham melalui karya penulisan dan lisannya. 

Semasa berucap, Encik Zainul Abidin berkata masih banyak ilmu dan pemikiran Allahyarham yang perlu diteliti, dikupas dan diketengahkan untuk pengetahuan dan penghayatan masyarakat, khasnya generasi muda di Singapura, Malaysia dan negara lain di rantau Melayu.

“Beliau dan kalangan rakannya seperti Dr Masuri Salikun sehingga Haji Suratman Markasan telah mendahului zaman mereka dengan pelbagai idea dan usaha kemajuan yang menjangkau skala nusa, rantau dan dunia,” tambah Encik Zainul Abidin.

Di majlis syarahan perdana itu, pihak NIE dan LBKM juga melancarkan buku Permata Pendeta Sempena Seabad Kelahiran Dr Muhammad Ariff Ahmad (Dr MAS).

Ia memperingati seabad kelahiran Dr MAS yang telah banyak menyumbang dalam pelbagai bidang terutama bahasa, kesusasteraan, pendidikan dan kebudayaan Melayu. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg