WALAUPUN mungkin baru ‘setahun jagung’, jangan meremehkan kebolehan murid sekolah rendah menterjemah bahasa.
Satu pertandingan Penterjemah Pintar di Perpustakaan Daerah Woodlands pada 19 Mei menyaksikan 58 murid Rakan Bahasa, wakil dari 29 sekolah rendah, berkumpul untuk menguji kemahiran mereka selaku penterjemah.
Penterjemah Pintar 2023 dianjurkan oleh Jawatankuasa Bulan Bahasa dan Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), dan bertujuan mempromosikan kepentingan kedwibahasaan dalam konteks seharian antara belia.
Rakan Bahasa berhadapan dengan ca[Ϟ]baran diuji untuk menterjemahkan frasa Inggeris ke Bahasa Melayu dalam masa yang singkat.
Pelbagai cabaran penterjemahan sukar telah diadakan dalam tiga pusingan, termasuk penterjemahan tajuk berita dan iklan.
“Keupayaan berdwibahasa memerlukan kemahiran berkomunikasi termasuk membaca, berbicara dan mendengar. Ia juga menguji kelenturan para peserta kerana harus menjawab soalan-soalan penterjemahan dalam masa yang terhad,” kata Presiden 4PM, Encik Nassar Mohamed Zain.
Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-undang), Cik Rahayu Mahzam, berkata “penterjemahan merupakan satu kemahiran khusus… (ia) bukan sesuatu yang mudah bagi ramai orang.
“(Penterjemahan) merupakan kemahiran yang diperlukan dan berguna dalam dunia kita hari ini,” tambah Cik Rahayu.
Satu contoh boleh dilihat daripada Zaara Rehana Mohamed Fazlin, salah seorang daripada dua murid Darjah 5 Sekolah Rendah Geylang Methodist yang muncul sebagai juara pertandingan tersebut.
“Saya sering gunakan terjemahan apa[Ϟ]bila saya ziarah rumah nenek saya. Ia membolehkan saya rasa lebih dekat dengan nenek,” katanya.
Rakan sepasukannya, Muhammat Aidil Atomin, pula berkongsi bagaimana dia menterjemahkan perkataan Inggeris ke Bahasa Melayu untuk ibunya semasa pertemuan antara guru dengan ibu bapa.
Kededua Zaara dan Aidil berkata aca[Ϟ]ra itu telah meningkatkan minat mereka se[Ϟ]cara lebih mendalam kepada penterjemahan dan melihat peri pentingnya penterjemahan pada masa depan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg