Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penulis buku cerita siri Tony Tapir menterjemah buku kepada bahasa Melayu

Aug 5, 2024 | 10:45 AM
-

Semasa ibu Cik Patricia Chew masih hidup dan dirawat di hospital disebabkan penyakit barah, peguam itu akan meluangkan masa menunggu di hospital dengan menulis buku cerita kanak-kanak.

Masa yang diluangkan itu telah membolehkannya menghasilkan buku cerita kanak-kanak berjudul ‘Tony Tapir & Friends’ pada 2010.

Kini, setelah 14 tahun buku itu dihasilkan, Cik Chew, yang berusia 60an tahun, menterjemahkan buku itu dalam bahasa Melayu yang berjudul ‘Tony Tapir dan Rakan-Rakan’.

Cik Chew akan membaca buku itu dalam bahasa Inggeris di Wisma Geylang Serai pada 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari pada 18 Ogos ini sempena Pesta Buku Melayu Singapura.

Sesi itu juga akan menjelaskan kepada kanak-kanak mengenai pelbagai jenis tapir dan ikrar bagi mereka menyelamatkan tapir.

Buku Melayunya akan juga dijual pada hari itu.

“Semasa saya menjaga mendiang ibu saya yang sakit di hospital, saya mempunyai banyak masa menunggu di hospital ketika beliau menjalani kimoterapi. Ia memberikan saya banyak ruang untuk menggunakan kreativiti saya dalam menghasilkan buku pertama itu,’‘ kata beliau yang meninggalkan kerjayanya sebagai seorang peguam bagi menjaga ibunya.

Cik Chew berkata semangatnya untuk menulis juga didorong oleh mendiang bapanya, Dr David Chew, yang menulis banyak buku mengenai perbankan di Singapura pada 1970an.

Buku itu, yang disasarkan kepada kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun, mengisahkan mengenai kehidupan binatang di Hutan Evergreen di mana binatang-binatang dapat bercakap, menari dan menyanyi. Buku itu mengetengahkan cerita Tony Tapir dan rakan-rakannya yang bersatu bagi menentang musuh.

Isu-isu keberanian, kemampan dan kepimpinan diutarakan dengan cara mudah bagi difahami kanak-kanak.

Ia turut menyorot keperluan memulihara binatang-binatang seperti badak sumbu, tapir dan gajah di hutan Asia Tenggara seperti di Malaysia dan Indonesia agak tidak pupus.

Sebanyak 1,000 naskhah buku pertama dalam bahasa Inggeris, itu telah pun dijual. Buku itu diterbitkan oleh syarikat Pen International Pte Ltd, yang dimiliki oleh ibu bekas perenang negara, Joseph Schooling, Cik May Schooling.

Selepas kejayaan buku itu, Cik Chew menulis beberapa lagi buku bahasa Inggeris siri Tony Tapir termasuk “The Mystery of Missing Tapirs’ dan “Guardians of The Forest Arise”.

Menurut Cik Chew, apabila terdapat cadangan menterjemah buku itu ke bahasa Mandari, Cik Schooling menyarankan agar buku itu juga diterjemah dalam bahasa Melayu.

“Ia merupakan idea yang saya sambut dengan baik agar kanak-kanak juga dapat membaca buku itu dalam bahasa Melayu. Ia juga selari dengan teras pemerintah bagi menggalak kedwibahasaan,’‘ katanya, yang merancang menjual buku itu di Malaysia.

Buku bahasa Melayu itu boleh dibeli di Elm Tree Bookstores di Parkway dan Raffles Xchange.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg