Penulis teater tempatan, Moli Mohter, mengumpulkan karya tiga dekadnya dalam buku berjudul, Kemas.

Pengalamannya selama lebih 30 tahun dalam bidang teater telah melahirkan pelbagai skrip yang menyentuh sisi kemanusiaan, sejarah, dan realiti sosial.

Ia membentuk identiti penulisan unik dan dekat dengan kehidupan harian.

Sepanjang tempoh itu, beliau dikenali sebagai penggiat teater yang aktif, serta penulis yang gigih mengangkat watak terpinggir, daripada warga emas hingga individu yang kurang mendapat perhatian di pentas utama.

Maka, tidak hairanlah Kemas hadir sebagai himpunan skrip-skripnya, membuka ruang kepada pembaca untuk menikmati karya teater dalam bentuk bacaan.

Pelancaran buku itu berlangsung di Teater Kami Blackbox pada 4 dan 5 April.

Buku itu menghimpunkan empat skrip yang pernah dipentaskan atau dibacakan di pelbagai platform, termasuk Nusantara Open Circle dan Teater Kami Black Box.

Skripnya ialah Kemas (2022), Bohong (2024), Usaha (2025), dan Penunggu (2025), yang merupakan satu-satunya skrip Inggeris.

Setiap karya mengangkat tema berbeza, daripada isu sosial hingga hubungan manusia dengan ruang dan sejarah, menyerlahkan kepelbagaian pendekatan Moli atau nama penuhnya Molizah Mohd Mohter, yang merentasi bahasa dan bentuk penceritaan.

Dalam wawancara bersama Berita Harian (BH), Moli berkongsi bahawa idea membukukan skripnya bukanlah serta-merta, sebaliknya lahir daripada dorongan berterusan pelakon veteran, Rafaat Hamzah.

Pada mulanya, beliau ragu-ragu sama ada karya berbentuk skrip teater akan diminati pembaca.

Namun, keyakinan Rafaat mendorongnya untuk mengambil langkah itu.

“Kadang-kadang kita perlukan orang lain untuk percaya pada kita terlebih dahulu, sebelum kita sendiri yakin,” katanya.

Beliau menyifatkan sokongan itu sebagai pembuka jalan kepada penerbitan buku tersebut.

Pengalaman menyaksikan dan mendengar reaksi penonton terhadap karyanya juga menjadi pemangkin utama penghasilan buku, Kemas.

Menurut Moli, setiap kali skrip dipentaskan, tafsiran penonton sering melangkaui bayangan asalnya.

Inilah yang, katanya, ‘menghidupkan’ semula karya itu dengan sudut pandang baharu, malah mencipta makna yang tidak pernah dijangka.

“Mendengar orang lain membaca atau melakonkan skrip itu terasa amat baharu, meskipun saya penulisnya.

“Ada masanya, saya sendiri menjadi penonton kepada karya sendiri, seolah-olah baru menemui semula apa yang pernah saya tulis,” jelasnya.

Proses penghasilan buku, Kemas, memakan masa sekitar setahun, dan Moli meneliti dan memperkemaskan skrip lama agar sesuai dibaca dalam bentuk buku.

Beliau menambah, penerangan arahan pentas dan perincian tertentu, membantu pembaca memahami ciri yang sebelum ini hanya terlihat ketika pementasan.

Proses itu, katanya, bukan sekadar suntingan, malah menuntut pertimbangan teliti tentang apakah yang perlu ditambah atau dikurangkan.

“Setiap perubahan perlu bersebab, sama ada untuk memperjelas cerita atau memastikan ia mudah difahami pembaca,” ujarnya.

Mengulas judul Kemas, Moli berkata ia melambangkan keseluruhan proses menyusun, menilai, dan memperhalusi karya tersebut.

“Ia benar-benar proses ‘mengemas’ – bukan hanya skrip, bahkan juga pemikiran dan pendekatan saya sebagai penulis,” tambahnya.

Melalui buku ini, beliau berharap pembaca dapat melihat manusia dan masyarakat dengan lebih mendalam, tanpa tergesa-gesa menghakimi latar belakang seseorang.

Karya Moli kerap menampilkan watak yang kompleks dan bukan klise, mengajak pembaca untuk lebih empati terhadap kehidupan orang lain.

Beliau turut menyentuh isu seperti penuaan, kesunyian, serta hubungan manusia dengan ruang dan sejarah, yang dirasakannya kian relevan hari ini.

“Harapan saya, pembaca akan lebih terbuka dan tidak cepat menghakimi, kerana setiap orang punya kisah mereka sendiri,” katanya.

Selain itu, Moli berharap Kemas menjadi sumber rujukan dan inspirasi, terutama bagi pelajar dan penulis muda yang ingin mendalami penulisan Melayu di Singapura.

Buku ini juga, tambahnya, berpotensi menjadi bahan perbincangan akademik, terutama dalam memahami gaya dan pendekatan penulisan tempatan.

Sebanyak 50 naskhah pertama telah habis dijual semasa pelancaran, satu kejayaan tidak terduga oleh Moli dan pasukannya.

Mereka yang berminat, boleh mendapatkan buku ini melalui pautan, https://cetakduaratus.callbell.shop/