Topik diikuti
Pergi ke BHkuProjek Warganegara rakam kenangan generasi awal Singapura
Pengalaman silam generasi perintis Singapura diabadikan untuk tampil di Taman Tugu Pengasas yang bakal dibuka
Projek Warganegara rakam kenangan generasi awal Singapura
Pada usia 16 tahun, Cik Noriah Orip berjalan dari sebuah rumah kampung ke sebuah rumah yang lain sambil membawa sebuah tin.
Beliau mengetuk pintu satu demi satu, memberi salam dan menunggu penghuni keluar sebelum meminta sumbangan.
Jumlahnya mungkin tidak besar, sering kali hanya duit syiling tetapi setiap sen dikumpulkan untuk membantu mendirikan sebuah masjid di kawasan kampungnya.
Lebih enam dekad kemudian, pengalaman pada 1965 itu masih segar dalam ingatan Cik Noriah, kini 76 tahun.
Beliau merupakan antara 92 peserta Projek Warganegara, sesi pelibatan terbesar yang dijalankan Lembaga Warisan Negara (NHB) bersama masyarakat Melayu bagi Taman Tugu Pengasas.
Dalam sesi di Pusat Warisan Melayu pada 26 September itu, peserta memilih satu daripada sembilan tema sebelum menulis dan merakam pengalaman mereka membesar pada tahun-tahun awal pembangunan Singapura.
Bagi Cik Noriah, semuanya bermula apabila ibu angkatnya yang dikenali sebagai Ibu Hasnah, aktif dalam kegiatan masyarakat kampung dan mengajaknya membantu mengumpul derma.
Pada zaman itu, katanya, penduduk bukan sahaja menghulurkan wang malah bergotong-royong mendirikan masjid tersebut.
Bapanya sendiri menghasilkan sebuah kentung daripada kayu pokok nangka untuk masjid itu.
Melihat masjid tersebut masih berdiri dan berfungsi hari ini menimbulkan rasa bangga dalam dirinya.
“Alhamdulillah. Dulu kita budak-budak, tak fikir sangat. Sekarang kita dah tua, kita tengok masjid itu masih berfungsi,” katanya.
Apa yang paling diharapkannya dapat diwarisi generasi muda ialah semangat gotong-royong yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat kampung.
Jika kenangan Cik Noriah membawa kembali semangat kebersamaan, pengalaman Encik Ayob Mohamed Shariff, 72 tahun, mengingatkan betapa pentingnya keharmonian itu dipelihara.
Encik Ayob baru berusia 10 tahun ketika rusuhan kaum tercetus pada 1964.
Beliau yang ketika itu tinggal bersama keluarganya di belakang Masjid Alkaff, mengingati bunyi gendang dari sebuah kawasan berdekatan yang majoriti penduduknya berbangsa Cina.
Keluarganya telah dinasihatkan supaya berada di rumah. Namun, apabila bunyi kentung dari masjid kedengaran, mereka bergegas ke masjid untuk berlindung kerana bimbang serangan akan berlaku.
“Memang perasaan takut sangat,” katanya, sambil menyifatkan bunyi gendang itu sebagai sesuatu yang menakutkan bagi dirinya yang masih kecil.
Sebelum ketegangan tercetus, Encik Ayob berkata hubungan masyarakat di kawasan tersebut rapat. Bapanya juga merupakan imam di masjid berkenaan.
Pengalaman itu, katanya, mengajarnya tentang pentingnya toleransi serta memahami budaya dan agama masyarakat lain.
Beliau berharap generasi muda terus memelihara perpaduan antara kaum supaya pengalaman sedemikian tidak berulang.
Kisah seperti pengalaman Cik Noriah dan Encik Ayob dikumpulkan menerusi Projek Warganegara sebagai sebahagian usaha membentuk kandungan Taman Tugu Pengasas. Taman Tugu Pengasas, yang memberi tumpuan kepada tahun-tahun awal pembinaan negara, dijangka dibuka di Bay East Garden pada akhir 2028.
Kisah generasi pertama warga Singapura dibawakan kepada anda oleh Taman Tugu Pengasas. Ketahui lebih lanjut di www.foundersmemorial.gov.sg