Singapura secara rasminya telah menjadi masyarakat sangat tua (super-aged society), dengan lebih 21 peratus penduduknya berusia 65 tahun dan ke atas.

Pada 2026, 21.4 peratus rakyat Singapura berada dalam kumpulan usia itu, meningkat daripada 20.7 peratus pada 2025 dan 13.7 peratus sedekad lalu.

Ini bermakna negara ini telah melepasi paras Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi sebuah masyarakat sangat tua, dengan 21 peratus atau lebih penduduk berusia 65 tahun dan ke atas.

Bilangan rakyat Singapura berusia 80 tahun dan ke atas turut meningkat kepada 152,000 pada 2026, daripada 145,000 pada 2025. Ini merupakan lonjakan sebanyak 60 peratus berbanding sedekad lalu, apabila terdapat 95,000 warga negara dalam kumpulan usia ini.

Angka itu diterbitkan oleh Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) pada 25 September dalam laporan tahunannya, Ringkasan Penduduk (Population In Brief), yang memberikan kemas kini mengenai trend penduduk utama Singapura sepanjang setahun lalu.

Laporan itu menyatakan bahawa dianggarkan lebih daripada satu daripada empat warga Singapura akan berusia 65 tahun dan ke atas menjelang 2035.

Pada masa sama, bilangan dan peratusan golongan usia bekerja – biasanya ditakrifkan sebagai antara 20 hingga 64 tahun – yang mampu menyediakan sokongan ekonomi kepada tanggungan yang lebih tua, telah turun sepanjang sedekad lalu.

Pada 2026, sebanyak 59.3 peratus rakyat Singapura berada dalam kumpulan umur ini, turun daripada 64.3 peratus pada 2016.

Nisbah penduduk usia bekerja kepada penduduk warga emas berumur 65 tahun dan ke atas menurun daripada 5.4 pada 2016 kepada 3.2 pada 2026.

Pada masa sama, umur median rakyat Singapura juga meningkat daripada 43.7 pada 2025 kepada 44.1 pada 2026.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti