Rakyat Singapura kini berpeluang mendalami Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) negara, yang merujuk kepada tradisi dan kemahiran hidup yang diwarisi dari generasi ke generasi, serta bidang arkeologi melalui penubuhan pusat baru bernama ArCH Square.
Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng, berkata pusat itu akan menjadi ruang yang memupuk generasi penyelidik dan pengamal budaya masa depan.
“Ia akan memastikan tradisi dan ilmu kita bukan sahaja dikekalkan, malah terus berkembang,” katanya pada majlis pembukaan ArCH Square pada 24 Oktober.
ArCH Square ialah pusat pendidikan dan jangkauan awam pertama di Singapura dan rantau ini yang menghimpunkan masyarakat dari pelbagai generasi untuk meneroka warisan negara secara interaktif.
Ia diurus HeritageSG (HSG), anak syarikat Lembaga Warisan Negara (NHB) yang terletak di 125 Jalan Sultan, Kampong Gelam.
Sempena hujung minggu pembukaannya pada 25 dan 26 Oktober, pengunjung boleh menikmati pelbagai kegiatan dan persembahan percuma termasuk program yang bertema, ‘Mekar: Gerak, Motif dan Memori’.
Dalam program itu, pengunjung boleh menyertai bengkel mengikat batik oleh pengamal seni, Cik Sharifah Jasni, serta persembahan tarian Jawa oleh Cik Nani Rahman.
Semua kegiatan dalam program itu adalah percuma dengan cengkeram $5 setiap seorang dan akan dikembalikan.
Pengunjung juga dapat menyentuh cebisan artifak lama, atau sherds, hasil penggalian terdahulu di Singapura.
Ahli arkeologi, Encik Michael Ng, yang telah terlibat dalam pelbagai projek arkeologi di rantau ini sejak 2009, berkongsi kisah di sebalik artifak tersebut, termasuk cebisan seramik berusia 800 tahun yang mengekalkan cap ibu jari seorang pengangkat barang.
“Melalui pengalaman ini, anda dapat berhubung dengan individu yang pernah mendiami tempat yang kini kita kenali sebagai Singapura,” katanya.
Di samping itu, pengunjung boleh menyertai lawatan berpandu ke pameran, ‘Floralscapes’, yang dikurasi Penolong Pengurus ArCH Square, Encik Zinnurain Nasir.
Pameran itu menelusuri simbolisme bunga dalam tradisi pelbagai masyarakat di Singapura, termasuk karya seni, Rituals in Petals, oleh studio rekaan bunga, Eve Keepers, dan karya Tokoh Penjaga Warisan Budaya Tidak Ketara bagi seni rangoli, Cik Vijaya Mohan.
ArCH Square akan dibuka secara rasmi kepada orang ramai mulai 1 November.
Pendaftaran dan maklumat lanjut boleh didapati di pautan, https://archsquare.peatix.com/


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg