Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Adik jadi penawar kesakitan kakak

Oct 24, 2025 | 7:16 PM
Cik Rosni Gulzar Mohd (kiri) memberi kakaknya, Cik Rosana Gulzar Mohd, semangat baru selepas kakaknya dikesan menghidap barah buah dada.
Cik Rosni Gulzar Mohd (kiri) memberi kakaknya, Cik Rosana Gulzar Mohd, semangat baru selepas kakaknya dikesan menghidap barah buah dada. - Foto BH oleh KHALID BABA

Dengan sekelip mata, kehidupan boleh berubah mendadak tanpa diduga.

Bagaimanapun, hubungan dua beradik, Cik Rosana Gulzar Mohd, 45 tahun, bekas guru sambilan di sekolah rendah; dan Cik Rosni Gulzar Mohd, 39 tahun, bekas guru Ekonomi di sebuah maktab rendah, semakin erat selepas Cik Rosana disahkan menghidap barah buah dada.

Ia merupakan detik paling sukar dalam kehidupannya.

Rata-rata, mereka sekeluarga bukan jenis yang mudah menunjukkan kasih sayang. 

Namun, melalui penjagaan dan perhatian, langkah kecil mula berbicara lebih kuat daripada kata-kata.

Apabila pemulihan selepas pembedahan menyukarkan rutin harian, Cik Rosni mencari cara membantu kakaknya, daripada menyediakan ponco bagi melindungi beg perubatan semasa mandi, hingga meminjamkan bantal kegemaran untuk berehat. 

Tindakan kecil itu menjadi lambang kasih sayang tanpa perlu berbicara.

Ia menunjukkan kekuatan yang boleh ditemui dalam bentuk sokongan paling lembut.

Sejak Cik Rosana pulang ke rumah dengan tiub saliran dan bengkung dada selepas pembedahan, Cik Rosni segera membantu seberapa yang mampu.

Beliau memastikan kakaknya dapat tidur dengan selamat tanpa menarik tiub, membantu membersihkan kawasan pembedahan untuk mengelak jangkitan, dan menyesuaikan rutin rumah agar Cik Rosana dapat mengembalikan kekuatan secara berperingkat.

“Dia sentiasa memikirkan cara praktikal untuk memudahkan saya,” kongsi Cik Rosana ketika ditemui Berita Harian (BH) di Kampus Kesihatan Woodlands.

“Benda-benda kecil, seperti menyediakan bantal atau membantu bergerak di rumah...,” tambahnya. 

Cik Rosni turut memainkan peranan penting mengekalkan kestabilan emosi dan suasana seperti biasa di rumah.

Ketika Cik Rosana risau dengan keadaan penyakitnya dan mereka kehilangan ayah yang meninggal dunia pada 2022, Cik Rosni menggalas tanggungjawab menjaga ibu yang sudah tua dan memastikan keluarganya dapat menghadapi cabaran itu bersama-sama. 

Kedua-dua beradik itu saling bergantung pada satu sama lain.

“Melihat dia kuat dan menguruskan rumah membuatkan saya rasa disokong,” kata Cik Rosana.

Walaupun dalam saat-saat bersendirian, sokongan Cik Rosni membolehkan Cik Rosana memberi tumpuan kepada pemulihan dirinya sendiri.

Dengan adiknya menjaga banyak urusan harian, Cik Rosana dapat memberi tumpuan pada senaman ringan, ibadah, dan mengejar cita-cita jangka panjangnya dalam mempelajari dan menterjemah teks Arab. 

Memasak untuk keluarga pula menjadi terapi tambahan dan langkah kecil dalam pemulihan Cik Rosana, yang turut disokong Cik Rosni.

Kedua-dua beradik itu bukan sahaja menemui ketabahan, bahkan juga keakraban yang diperbaharui, yang terus menjadi pegangan keluarga mereka. 

Menurut Cik Rosana, beliau mempunyai impian menjadi penulis dan penterjemah bahasa Arab.

“Kadang-kadang, saya rasa jalan penyembuhan bermula dengan mendapat kasih dan perhatian seorang adik,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg