Bulan Bahasa sekali lagi menyasarkan golongan belia tahun ini, menandakan penekanan yang ingin diberikan jawatankuasa penganjur terhadap generasi pelapis pengguna dan penggiat bahasa Melayu pada masa hadapan.
Pengerusi jawatankuasa Bulan Bahasa 2025, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata pada sesi taklimat rakan kerjasama Bulan Bahasa 2025 di Bangunan Lembaga Perpustakaan Negara pada 21 Februari:
“Kita lihat trend global, serantau dan di Singapura golongan belia – bukan sahaja bangsa Melayu tetapi bangsa lain juga – penggunaan bahasa ibunda mereka amat berkurangan. Kita telah membina kekuatan minat dalam golongan lain, seperti penggiat seni atau kumpulan persuratan, jadi tahun ini kita memberi tumpuan kepada golongan yang memerlukan dorongan untuk menggunakan bahasa Melayu.
“Dalam perbincangan kumpulan fokus yang kami adakan bersama belia, mereka mahu menggunakan bahasa Melayu tetapi mungkin mereka sedikit malu untuk berbahasa Melayu kerana mereka kurang faham atau kurang fasih, tetapi itu tidak bermakna mereka telah hilang kemelayuan mereka atau hilang minat dalam menggunakan bahasa Melayu.
“Bagi kita yang mungkin lebih senang bertutur dalam bahasa Melayu... kita tidak harus biarkan mereka berjauhan dari kita.”
Namun, Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang itu, yang menjadi pengerusi jawatankuasa Bulan Bahasa sejak 2023, menekankan bahawa ini tidak bererti golongan lain dalam masyarakat diketepikan.
Terdapat tiga jenis program yang boleh dipertimbangkan bagi mereka yang berminat menjadi rakan kerjasama – program pelajar, program seni dan budaya, serta program masyarakat umum.
Bagi program pelajar, ia harus mengandungi unsur bahasa kuat yang menekankan aspek seperti peribahasa, bidalan, ungkapan, perkataan, seerti, seiras, berlawanan dan penterjemahan.
Bagi program seni dan budaya, ia harus mengandungi unsur budaya berkaitan dengan bahasa, misalnya bahasa yang digunakan untuk menggambarkan warna, tarian, dikir barat, pakaian dan tekstil Melayu.
Program masyarakat umum pula harus relevan dengan masyarakat am dan kehidupan harian mereka, seperti bahasa yang digunakan dalam bidang kewangan, kulinari atau resipi tradisional.
Mereka yang berminat menjadi rakan kerjasama Bulan Bahasa 2025 boleh mendapatkan sokongan dana daripada salah satu badan ini: Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Jawatan Pembelajaran dan Penggalakan Bahasa Melayu (MLLPC), Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew (LKYFB) atau Jawatankuasa Penterjemahan Nasional.
Tarikh tutup untuk menghantarkan cadangan program dan permohonan dana ialah 24 Mac.
Bulan Bahasa 2025 akan berlangsung dari 16 Ogos hingga 12 Oktober.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg