Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bahasa Melayu main peranan penting dalam hubungan dua hala S’pura, negara jiran

Penting didik generasi muda mengenai kepentingan bahasa Melayu sebagai usaha pupuk identiti, perwatakan
Jan 27, 2025 | 4:22 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri Dr Mohamad Maliki Osman (tiga dari kiri) bersama Perdana Menteri Lawrence Wong (tengah) semasa Jalur Fest @ Wisma Geylang Serai sebagai sebahagian daripada pelancaran Jalur Budaya Geylang Serai yang diharap dapat melestarikan budaya Melayu. Turut hadir termasuk Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (dua dari kanan) dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng (tiga dari kanan).
Menteri di Pejabat Perdana Menteri Dr Mohamad Maliki Osman (tiga dari kiri) bersama Perdana Menteri Lawrence Wong (tengah) semasa Jalur Fest @ Wisma Geylang Serai sebagai sebahagian daripada pelancaran Jalur Budaya Geylang Serai yang diharap dapat melestarikan budaya Melayu. Turut hadir termasuk Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (dua dari kanan) dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng (tiga dari kanan). - – Foto ST

Bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang digunakan secara meluas di Asia Tenggara.

Namun, bagi Singapura ia bukan sekadar wahana komunikasi tetapi juga memainkan peranan penting dalam menjadi ‘jambatan’ yang menghubungkan negara ini dengan negara jirannya yang lain, khususnya Brunei Darussalam, Malaysia dan Indonesia.

Justeru, kerelevanan bahasa Melayu – terutama dalam konteks Singapura – tidak perlu dipersoal, menurut Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.

Berkongsi pengalaman beliau semasa menemui pemimpin di Brunei, Malaysia atau Indonesia, Dr Maliki berkata beliau seringkali bertutur dalam bahasa Melayu kerana ia membuat mereka berasa selesa biarpun masing-masing negeri mempunyai loghat tersendiri.

“Kami mahu membina hubungan bersama negara jiran kita tetapi bukan sahaja bersama pemimpin di kawasan ibu kota.

“Kami perlu membina hubungan bersama pemimpin di negeri-negeri Malaysia seperti Terengganu dan Kelantan dan juga daerah provinsi Indonesia seperti Batam, Bogor dan Medan.

“Itulah masanya apabila penggunaan bahasa Melayu diperlukan kerana ia membantu mereka mengenali Singapura dan buat mereka berasa terhubung bersama kita.

“Maka, menerusi hubungan baik ini, kita boleh melakukan perniagaan di sana dan ini penting untuk membina rangkaian ekonomi,” kata Dr Maliki dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH) di bilik berita BH pada 6 Januari.

Bahasa jendela budaya masyarakat Melayu

Selain itu, bahasa Melayu – seperti bahasa lain – merupakan jendela budaya dan cara kehidupan masyarakat Melayu.

Justeru, dalam usaha membina hubungan dua hala bersama negara asing seperti negeri-negeri Asean, Eropah dan Amerika Syarikat, Dr Maliki seringkali mengambil peluang mendedahkan duta atau diplomat asing kepada bahasa dan juga Melayu untuk mempamerkan keunikan masyarakat kita.

Misalnya, apabila Dr Maliki menerajui dan menyelaraskan projek Wisma Geylang Singapura (WGS), beliau mengundang duta dan diplomat asing menghadiri acara-acara WGS supaya mereka boleh mendekati seni Melayu dengan menonton persembahan tarian Melayu atau dikir barat.

Secara peribadi, beliau juga mengundang duta asing ke rumah terbukanya untuk mengalami sendiri sambutan Hari Raya Aidilfitri, di mana mereka dapat menikmati juadah Melayu seperti lontong dan ketupat yang dianyam dan dibuat sendiri oleh Dr Maliki.

Menjelaskan bagaimana usaha mendedahkan duta atau diplomat asing kepada budaya Melayu membantu membina hubungan diplomasi, Dr Maliki berkata:

“Apabila saya mendedahkan mereka kepada budaya Melayu, ia menunjukkan kepelbagaian.

“Dengan mengamalkan budaya Melayu ini, saya ingin menunjukkan bahawa Singapura adalah masyarakat berbilang bangsa dan agama yang terbuka dan menawarkan ruang selamat bagi rakyatnya berbicara tentang isu-isu keagamaan.

“Apabila mereka mengalami budaya kita, mereka lebih memahami dan menghargai Singapura.”

Justeru, apabila Singapura melakukan rundingan tentang perdagangan bebas, misalnya, pemerintah akan menekankan tentang perundangan keharmonian kaum di Singapura.

Ini menggalakkan syarikat-syarikat multinasional di Singapura mempunyai tenaga kerja berbilang kaum.

Syarikat-syarikat multinasional juga lebih memahami keperluan masyarakat setempat.

Sebagai contoh, mereka memahami tentang keperluan wanita Islam memakai tudung di sekitaran sosial dan tempat kerja.

Bentuk identiti generasi muda

Lantaran itu, ia juga sama penting untuk mendidik generasi muda tentang kepentingan menggunakan bahasa Melayu sebagai usaha untuk memupuk identiti dan perwatakan mereka.

“Bahasa Melayu mengingatkan kita tentang akar umbi kita. Ia bukan sahaja digunakan sebagai alat berkomunikasi, tetapi ia membantu memupuk nilai dan membina perwatakan kita.

“Simpulan bahasa, peribahasa dan pantun Melayu, sebagai contoh, mengandungi pelbagai nilai-nilai kehidupan.

“Misalnya, peribahasa, bagai isi dan kuku menggambarkan hubungan sangat karib seakan tidak boleh dipisahkan.

“Apabila kita boleh menjelaskan maksud di sebalik peribahasa kita, misalnya, kita boleh membantu mendidik generasi muda tentang nilai, adab dan adat istiadat kita.”

Justeru, para guru mengamalkan pelbagai cara kreatif untuk mengajar bahasa Melayu kepada pelajar di sekolah.

Antaranya mereka menggunakan pertuturan dan drama, kraft tangan, video dan pembelajaran dwibahasa untuk meningkatkan minat pelajar terhadap pembelajaran bahasa Melayu.

Dalam usaha melestarikan bahasa Melayu di Singapura juga, pelbagai acara telah diadakan di seluruh negara pada 2024 dan juga tahun-tahun sebelumnya.

Antara acara tersebut adalah Simposium Bahasa Ibunda (MTLS) anjuran Kementerian Pendidikan (MOE) dan tiga jawatankuasa penggalak Bahasa Ibunda yang diadakan setiap tahun dengan edisi ke-13 pada 2024.

Pada 2024, pakar kurikulum dan guru daripada Kementerian Pendidikan (MOE) telah berkongsi tentang kurikulum bahasa ibunda, dan bagaimana teknologi pendidikan boleh diserapkan ke dalam pembelajaran bahasa ibunda di simposium itu.

Satu lagi acara ikonik yang dinanti-nantikan masyarakat adalah Bulan Bahasa anjuran Majlis Bahasa Melayu bersama Jawatankuasa Bulan Bahasa sejak 1988.

Setiap tahun, para guru Bahasa Melayu mencalonkan murid yang cemerlang dalam subjek Bahasa Melayu sebagai Rakan Bahasa (Sahabat Bahasa), untuk menyebarkan cinta bahasa kepada rakan dan keluarga mereka.

Dengan itu, kita boleh mengelak terjadinya, hilang bahasa lenyap bangsa – apabila sesuatu bahasa itu sudah tidak terpakai lagi maka lambat-laun hilanglah bangsa itu.

Bahasa Melayu mengingatkan kita tentang akar umbi kita. Ia bukan sahaja digunakan sebagai alat berkomunikasi, tetapi ia membantu memupuk nilai dan membina perwatakan kita. Simpulan bahasa, peribahasa dan pantun Melayu, sebagai contoh, mengandungi pelbagai nilai-nilai kehidupan. Misalnya, peribahasa, bagai isi dan kuku menggambarkan hubungan sangat karib seakan tidak boleh dipisahkan. Apabila kita boleh menjelaskan maksud di sebalik peribahasa kita, misalnya, kita boleh membantu mendidik generasi muda tentang nilai, adab dan adat istiadat kita.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman. 
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg