Topik diikuti
Pergi ke BHkuRumah tradisional Melayu cerminan alam, sosiobudaya masyarakat
Daripada struktur berpanggung hingga susun atur ruang, setiap ciri punyai fungsi tersendiri
Rumah tradisional Melayu cerminan alam, sosiobudaya masyarakat
Semasa arwah moyang saya masih hidup, saya sering mengikut datuk dan nenek saya pulang ke kampung di Alor Gajah, Melaka.
Setiap perjalanan pulang ke kampung sentiasa dinanti-nantikan.
Bagi saya, berada di sana seperti burung terlepas dari sangkar, seronok dapat bebas daripada kesibukan jadual harian.
Ditambah pula dengan ruang dalaman rumah arwah moyang yang luas serta halaman yang lapang berbanding rumah flat di sini, keseronokan itu terasa berganda-ganda kerana saya dapat bermain dan berlari-lari sepuas hati.
Seperti kebanyakan rumah tradisional Melayu, rumah itu dibina berpanggung atau bertiang, mewujudkan ruang kosong di bawah rumah yang dipanggil ‘kolong’.
Ruang tersebut boleh dijadikan tempat untuk menyimpan perkakas atau perabot rumah.
Meskipun berkongsi banyak ciri asas dengan rumah Melayu dari negeri lain, rumah Melaka tetap mempunyai identiti tersendiri, terutama pada tangga batu di bahagian hadapan yang dihiasi corak dan warna yang menarik.
Bahagian-bahagian rumah pula dihubungkan dengan anak tangga dan, sebagai seorang kanak-kanak ketika itu, saya tentu berasa teruja dapat bermain turun naik tangga dari satu ruang ke ruang yang lain.
Satu lagi perkara yang paling saya ingati tentang rumah arwah moyang saya ialah pemandangan daripada bahagian dapurnya.
Mungkin anda membayangkan sawah padi atau bukit-bukau nan menghijau yang menyejukkan mata.
Namun, bayangan itu sama sekali meleset.
Setiap kali pintu dapur dibuka, yang terlihat di hadapan mata bukanlah pemandangan indah tersebut, sebaliknya deretan batu nisan dan tanah perkuburan yang terbentang luas.
Mungkin bagi orang dewasa landskap itu mendatangkan keinsafan diri tetapi sebagai seorang anak kecil waktu itu, ia cukup menggerunkan dan kekal segar dalam ingatan saya sehingga ke hari ini.
Faktor Alam Sekitar
Rumah arwah moyang saya yang telah saya gambarkan tadi sebenarnya mencerminkan banyak ciri rumah tradisional Melayu secara umumnya.
Reka bentuknya bukan dibuat secara sembarangan, sebaliknya banyak dipengaruhi oleh faktor alam sekitar dan sosiobudaya.
Lokasi Nusantara yang berhampiran garisan khatulistiwa menyebabkan rantau ini mengalami cuaca tropika dengan suhu serta kelembapan tinggi dan taburan hujan yang banyak.
Oleh sebab itu, rumah Melayu lazimnya dibina berpanggung, iaitu jarak sekitar dua meter antara lantai rumah dengan permukaan tanah, bagi membolehkan udara mengalir melalui ruang kosong di bawah rumah, sekali gus membantu dalam mengurangkan bahang.
Kedudukan rumah yang tinggi turut membantu melindunginya daripada dinaiki air ketika musim hujan, khususnya apabila berlaku banjir kilat, serta mengurangkan risiko binatang liar memasuki rumah, terutama di kawasan kampung yang dikelilingi hutan.
Cuaca turut mempengaruhi bentuk bumbung.
Bumbung rumah Melayu biasanya dibina bercerun dan ini dikenali sebagai ‘lipat kajang’.
Bentuk bumbung yang bercerun membolehkan air hujan mengalir turun dengan cepat dan mengelakkannya daripada bertakung sehingga boleh merosakkan struktur rumah.
Bagi bahan binaan pula, pada asalnya, rumah Melayu banyak menggunakan bahan semula jadi seperti kayu, rotan, buluh, batang pinang, daun rumbia dan nipah kerana mudah diperoleh, serta dapat membantu melancarkan pengaliran udara.
Namun rumah Melayu turut berevolusi.
Sebahagian bahan tradisional kemudiannya digantikan dengan zink dan genting serta batu-bata.
Walaupun bahan binaannya berubah, banyak rumah Melayu masih mengekalkan ciri asas seperti lantai yang tinggi dan struktur berpanggung.
Pengaruh Sosiobudaya
Dalam seni bina rumah tradisional Melayu, susun atur ruang bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal, malah turut mencerminkan peranan wanita dan lelaki serta kepentingan hubungan kekeluargaan dalam sosiobudaya masyarakat kita.
Ruang pertama yang biasanya ditemui apabila seseorang memasuki rumah ialah serambi, iaitu beranda panjang di bahagian depan rumah.
Pada hari-hari biasa, serambi juga menjadi tempat kaum lelaki melakukan pelbagai kegiatan seperti menganyam pukat dan jala.
Kedudukannya di bahagian hadapan rumah turut mencerminkan peranan lelaki sebagai pelindung keluarga dan orang pertama yang akan menyambut serta berhadapan dengan tetamu dari luar.
Secara umumnya, rumah Melayu terbahagi kepada tiga ruang, iaitu serambi, rumah ibu dan rumah dapur.
Rumah ibu menjadi ruang utama dan nadi dalam menyatukan ahli keluarga.
Ini kerana di situlah semua ahli keluarga berkumpul, beristirahat dan bersantai bersama.
Namanya sendiri seolah-olah melambangkan peranan seorang ibu sebagai penghubung yang menyatukan keluarga serta mengeratkan silaturahim antara ahlinya.
Kesimpulan
Rumah tradisional Melayu sebenarnya lebih daripada sekadar tempat berteduh.
Setiap reka bentuk dan ciri yang ada mencerminkan kebijaksanaan orang dahulu menyesuaikan kehidupan dengan persekitaran dan sosiobudaya masyarakat Melayu.
Walaupun saya sudah tidak lagi pulang ke kampung di Alor Gajah sekerap dahulu, setiap ruang di rumah arwah moyang masih terpahat jelas dalam ingatan dan menjadi sebahagian daripada kenangan indah zaman kanak-kanak saya.