Anak bulan dilihat tiada, dinisab Syawal kelak nan tiba. Jika maaf sukar diterima, diselidik sebab musababnya.
Ujaran yang teramatlah bisa, ditiliknya ke api neraka. Sikap ujub amatlah bahaya, dihapus kebaikan yang ada.
Yang terluka sudah tiada, ditemani amalan yang lima. Yang angkuh bermaharajalela, diteruskan tabiat buruknya.
Hati remuk tiada penawar, diikuti dengan air mata. Salam Syawal cuba disambut, sebelum bulan purnama jelma.
A. HAMPRI
Gurindam - demi masa
Jikalau masa bijak direncana segala hajat pasti terlaksana
Jikalau masa diibarat mutiara kilauannya tetap akan terpelihara
Jikalau masa dibiarkan berlalu kesudahannya pasti terasa pilu
Jikalau masa digunakan ikhlas ganjarannya pasti terbalas jelas
Jikalau masa pandai dihargai tiada siapa berani mencurigai
Jikalau masa selalu dimanfaat nilainya tinggi walaupun sesaat
Jikalau masa diisi berfaedah hasilnya nanti tentunya indah
Jikalau masa berusaha dikejar itulah tandanya bersedia belajar
Jikalau masa dikendali sempurna kerja harian jadi lebih bermakna
Jikalau masa diisi dengan ibadah tandanya kita dijalan mahmudah
HAMDAN NAIM
Mencari firdausi?
Termangu aku mencari sungai susu dan sungai madu
berputar putar mencari al-kafur, al-kautsar
juga buah-buah lazat salsabil, zanjabil, rohiq dan tasnim
gunung-gunung? Uhud, Thur, Lebanon dan Judi
apakah aku dimungkiri nikmat firdausi yang dijanji?
aku mendengar gema tempik suara
"Bekalan akhiratmu cukup hebat, namun tiada firdausi buat umat yang membiarkan ibu mereka hidup melarat!"
pada awal pagi itu bergegas aku mencari ibu dengan rasa sendu aku mencium tangan ibu.
ISMAIL HUSSAIN


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg