Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sasterawan Mana Sikana meninggal dunia

May 26, 2025 | 9:21 PM
Sarjana dan pemikir sastera negara, Allahyarham Dr Abdul Rahman Napiah, 80 tahun, atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana, adalah pengkarya prolifik melalui falsafah dan pemikiran kontemporari dalam karya kreatif yang dihasilkan, antaranya drama berjudul Pasir-Pasir di Pasir Salak.
Sarjana dan pemikir sastera negara, Allahyarham Dr Abdul Rahman Napiah, 80 tahun, atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana, adalah pengkarya prolifik melalui falsafah dan pemikiran kontemporari dalam karya kreatif yang dihasilkan, antaranya drama berjudul Pasir-Pasir di Pasir Salak. - Foto FACEBOOK MANA SIKANA

KUALA LUMPUR: Sarjana dan pemikir sastera negara, Dr Abdul Rahman Napiah, 80 tahun, atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana, meninggal dunia pada 10.30 pagi, 26 Mei, di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.

Pemergian Sasterawan Perak kedua itu disahkan anaknya yang juga penulis buku, Ismi Azhan, yang memaklumkan bapanya meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan pernah dirawat di hospital sebelum ini.

“Arwah bapa meninggalkan kami kira-kira 10.30 pagi tadi dan jenazah akan dibawa ke Surau Jubli Perak, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).

Abdul Rahman Napiah dinobatkan sebagai Sasterawan Perak pada 2004, yang kedua selepas Suhaimi Haji Muhammad.

Beliau adalah pengkarya prolifik melalui falsafah dan pemikiran kontemporari dalam karya kreatif yang dihasilkan, antaranya drama berjudul Pasir-Pasir di Pasir Salak.

Drama itu mengajak penonton memikirkan falsafah yang tersirat dalam peristiwa pembunuhan JWW Birch, pada 2 November 1875 di Pasir Salak.

Allahyarham turut mengembangkan teori dan kritikan sastera di Malaysia melalui pendekatan, kritikan dan teori sastera di universiti.

Mana Sikana memenangi Anugerah Seri Angkasa bagi Skrip Drama Radio dan TV Terbaik (1973), Penulis Terbaik Dewan Sastera (1978), Hadiah Sastera UKM (1978) dan Hadiah Sastera Nasional untuk cerpen dan kritikan sastera (1978 dan 1982).

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis Budiman Malaysia (BUDIMAN), Profesor Dr Abdul Halim Ali, berkata pemergian Mana Sikana adalah satu kehilangan besar ilmuan sastera Nusantara.

Beliau berkata arwah banyak berbakti dalam bidang sastera, khususnya dalam konteks kritikan penulisan drama dan sangat disegani, bukan sahaja di negara ini.

“Ini berita menyedihkan untuk industri penulisan sastera Nusantara kerana arwah Mana Sikana adalah sosok yang begitu disegani semua kerana seorang ilmuan yang unggul dalam bidangnya,” katanya.

Abdul Halim berkata kali terakhir beliau dan rakan-rakan bertemu Mana Sikana adalah beberapa hari lalu ketika melawatnya di hospital.

“Beliau dimasukkan ke hospital pada 18 Mei lalu dan ketika melawatnya, beliau juga kelihatan lemah,” katanya lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg