Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penggiat seni S’pura terkesan dengan ‘jiwa’, emosi dalam pementasan teater ‘Salina’

Paparan watak utama sebagai wanita tabah, penuh kekuatan dalaman, keinginan kuat berubah dalam situasi sering dihukum masyarakat, dipuji
May 18, 2025 | 10:55 PM
Cik Saedah Samat-Alkaff (kanan) dan suami, Syed Jaafar Alkaff menyifatkan pementasan Salina, meninggalkan kesan mendalam kepada penggemar teater tempatan.
Cik Saedah Samat-Alkaff (kanan) dan suami, Syed Jaafar Alkaff menyifatkan pementasan Salina, meninggalkan kesan mendalam kepada penggemar teater tempatan. - Foto BH oleh ISMAWATI ISMAIL

Selepas 32 tahun, Teater Kami kembali lagi dengan pementasan Salina, yang dipadankan daripada novel hasil tulisan sasterawan mapan, A. Samad Said.

Ia mencerminkan kehidupan di Singapura, khususnya di Kampung Kambing, yang penuh gelora pada 1950-an, selepas Perang Dunia Kedua.

Diarahkan penerima Pingat Budaya, Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Atin Amat, pementasan ini menghidupkan kembali kisah menyayat hati yang kali terakhir dipersembahkan hampir tiga dekad lalu, pada 1993 di Pusat Drama.

Apa pandangan penonton, yang merupakan anak seni, mengenai pementasan ini, yang baru-baru ini, disajikan sempena Pesta Raya, anjuran pusat seni Esplanade, di Teater Singtel Waterfront, Esplanade?

Cik Saedah Samat-Alkaff, 58 tahun dan suami, Syed Jaafar Alkaff, 65 tahun.

Pementasan teater Salina yang baru-baru ini dipersembahkan oleh Teater Kami meninggalkan kesan mendalam kepada pasangan ini yang menggemari seni teater tempatan.

Bagi mereka, detik yang paling terkesan di hati dalam pementasan ini adalah babak pembukaan pentas yang gah, lengkap dengan montaj berbilang media moden, serta kemunculan watak-watak utama dalam latar yang membangkitkan nostalgia era 1950-an.

“Keistimewaan utama persembahan ini terletak pada penggunaan visual dan berbilang media, yang begitu moden dan menarik — jauh lebih canggih berbanding versi yang kami tonton pada 1993.

“Lagu-lagu dan suasananya benar-benar membawa kami menyelami zaman silam 1950-an” ujar Cik Saedah, 58 tahun, seorang penggiat muzik.

Mereka membelanjakan $120 untuk dua tiket, namun menerima potongan harga khas kerana salah seorang daripada mereka tergolong dalam kategori warga berusia.

Pasangan ini bukanlah penonton baru dalam dunia seni persembahan.

Sebaliknya, mereka merupakan penyokong setia teater tempatan dan kerap menghadiri pelbagai acara termasuk konsert dan persembahan tarian.

“Jika ada persembahan muzikal atau adaptasi novel yang menarik, kami pasti akan datang menonton,” kata Syed Jaafar, seorang wartawan.

Cik Saedah turut memuji mutu lakonan barisan pelakon tempatan yang berpengalaman dalam teater dan televisyen.

“Lakonan mereka sangat berkesan dan meyakinkan. Pemilihan kostum atau pakaian yang digunakan juga tepat dan membantu menghidupkan suasana zaman lampau,” tambah Cik Saedah, seorang guru muzik.

Selain persembahan Teater Kami, pasangan ini turut mengikuti pementasan daripada kumpulan-kumpulan seni lain seperti Wild Rice, Teater Ekamatra, Opera Academy, dan Sri Warisan.

Mereka tidak mengutamakan satu kumpulan tertentu sebagai pilihan utama, sebaliknya memberi keutamaan kepada kekuatan jalan cerita dan mutu persembahan.

Bagi Cik Saedah dan Syed Jaafar, pementasan Salina bukan sekadar hiburan — ia adalah penghargaan terhadap warisan sastera dan seni tanah air yang terus hidup melalui pementasan.

Sanif Olek, Penulis & Pengarah Filem, 55 tahun.

Penulis naskhah dan pengarah mapan tanah air, Sanif Olek, memuji pementasan teater Salina, arahan Atin Amat sebagai sebuah karya dramatik, yang bukan sahaja menyentuh hati, tetapi juga membongkar realiti kehidupan wanita Melayu kontemporari dengan jujur dan berani.

Watak utama, Salina, adaptasi daripada novel agung karya Sasterawan Negara, A. Samad Said, digambarkan sebagai seorang wanita yang tabah, penuh kekuatan dalaman serta memiliki keinginan kuat untuk berubah, meskipun sering dihukum oleh masyarakat sekeliling.

“Watak Salina sangat relevan dengan wanita di zaman ini. Beliau mencerminkan perjuangan ramai wanita Melayu hari ini — bersemangat, progresif, tetapi sentiasa diperhatikan dan dinilai melalui kaca mata masyarakat,” ujar Sanif, 55 tahun.

Menurut beliau, antara adegan yang paling berkesan di hatinya ialah ketika penduduk Kampung Kambing berkumpul dalam suasana kecoh — satu gambaran jelas tentang kehidupan kampung yang padat dengan unsur campur tangan sosial, di mana gosip, ‘penilaian dan penghakiman’ menjadi sebahagian daripada norma masyarakat.

Sebagai seorang anak seni yang berkecimpung di dalam dunia kreatif dan perfileman, Sanif turut mengulas tentang aspek naratif pementasan.

Beliau akui bahawa teks asal Salina, yang kaya dengan lapisan emosi sukar untuk diterjemahkan sepenuhnya dalam tempoh dua jam setengah. Namun, beliau tetap memuji keupayaan pengarah mengekalkan roh dan semangat penceritaan asal.

“Pementasan ini akan lebih mantap sekiranya lebih banyak tumpuan diberikan kepada perkembangan watak Salina sendiri. Ada ketikanya, watak-watak sampingan kelihatan terlalu menonjol sehingga mengaburi naratif dan perjalanan utama Salina itu sendiri,” jelasnya.

Sanif, yang telah lama mengikuti karya-karya Teater Kami dan Teater Ekamatra, turut menekankan kepentingan teater sebagai wahana budaya yang memelihara memori kolektif masyarakat Melayu di Singapura.

“Teater seperti Salina bukan sekadar hiburan. Ia adalah cerminan — tentang siapa kita, bagaimana kita dilihat oleh masyarakat, dan yang lebih penting, bagaimana kita melihat diri kita sendiri,” ujar beliau dengan nada serius dan penuh penghayatan.

Cik Nurul Khatima Rosli. 26 tahun

Bagi Penolong Penerbit, Cik Nurul Khatima Rosli, 26 tahun, pengalaman menonton pementasan teater Salina meninggalkan kesan yang mendalam. Baginya, pementasan itu menjadi peringatan tentang betapa pentingnya mengenali dan menghargai nilai diri.

“Ia mungkin bukan satu pengalaman yang paling mengesankan, namun saya menganggapnya sebagai satu pelajaran penting, untuk mengetahui nilai diri dan menjauhkan diri daripada individu yang melayan kita dengan buruk dan bersikap toksik. Kita semua berhak menerima layanan yang lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas pementasan berkenaan.

Cik Nurul turut menjelaskan bahawa kecenderungannya menonton teater banyak dipengaruhi oleh barisan pelakon yang terlibat.

“Saya akan menonton, tetapi biasanya bergantung kepada siapa yang berlakon. Selalunya saya akan hadir untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan yang terlibat dalam penerbitan,” tambahnya.

Mengulas mengenai persembahan Salina, beliau tidak menafikan terdapat kelemahan pada bahagian awal pementasan.

“Separuh pertama agak perlahan dan terdapat beberapa bahagian yang dirasakan tidak perlu. Namun begitu, persembahan menjadi lebih baik selepas itu,” jelas beliau.

Namun begitu, Cik Nurul tetap memuji kreativiti pasukan produksi, terutamanya dalam aspek rekaan pentas yang ringkas, namun berkesan.

“Saya amat menghargai kesederhanaan rekaan pentas, terutamanya penggunaan elemen tandas yang sangat kreatif – tahniah kepada pasukan produksi,” kata Cik Nurul sambil melahirkan harapan agar lebih banyak karya teater tempatan tampil dengan pendekatan yang menyentuh hati dan mampu memberi kesan positif kepada penonton.

Cik Syarfa Shahiran, 28 tahun.

Persembahan teater tempatan terus membuktikan keupayaannya menambat hati pencinta seni, termasuk Cik Syarfa Shahiran. Beliau merupakan seorang penggiat aktif dalam industri teater dan perfileman, yang turut berkecimpung secara bebas sebagai pemuzik dan penghibur.

Bagi Cik Syarfa, 28 tahun, persembahan Salina mencerminkan bagaimana kesederhanaan dari segi teknikal mampu menghasilkan produksi yang gah serta menyentuh emosi penonton.

“Salah satu babak yang paling berkesan bagi saya ialah ketika watak Fakar (lakonan Fir Rahman), menunjukkan perubahan emosi daripada rasa tidak berguna kepada sikap bongkak, yang akhirnya menjatuhkan maruah diri.

“Babak ini benar-benar memberi kesan kerana ia menggambarkan pergolakan dalaman yang sering berlaku dalam diri manusia,” ujarnya.

Tambah beliau, satu lagi adegan yang menyentuh hati ialah ketika pelakon Amirah Yahya, yang memegang watak Nahidah, menerima sepucuk surat, babak yang menurutnya melambangkan pengorbanan seorang anak terhadap ibunya dan kasih sayang yang mendalam antara mereka.

Cik Syarfa berkata, pengalaman yang diperolehi amat berbaloi dan memperkaya pandangan seninya.

“Sudah tentu saya akan terus menyokong produksi tempatan. Bukan sahaja ia menyumbang kepada perkembangan kreativiti saya, malah ia membuka minda terhadap kepelbagaian bentuk penceritaan yang unik,” tambahnya lagi.

Beliau juga berasa bangga dengan kepelbagaian bakat dalam produksi ini, dan menyatakan bahawa setiap individu menunjukkan keistimewaan tersendiri, serta wajar mendapat sokongan penuh daripada masyarakat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg