Apa yang pasti iklim juga tidak menepati janji apatah lagi kata-kata dari peramal cuaca tentang pasang surut laut dan ombak bergelora. Aku dengar teriakan camar dan anjing laut tidak pernah senada bisikan bayu dan langit mendung tidak lagi berahsia apatah lagi derai hujan yang datang dari gunung dan jejari mentari yang berinai warna pelangi.
Segalanya boleh berubah makna seperti dinginnya rindu dan nyalanya cemburu apatah lagi samar cahaya dari sebuah pelita tidak terbakar kamar cinta yang berjelaga. Aku lihat cumbuan dan janji tergantung di jendela hari penantian dan harapan berbunga di kapuk mimpi apatah lagi bilah-bilah kenangan yang menghiris dan luka semalam yang mengalirkan airmata.
Tatkala kau tinggalkan kata-kata perpisahan segala-galanya boleh berubah wajah nafsu yang liar berligar bagai taufan diri yang gersang bergelora bagai ombak. Aku pandang wajahmu hanya carikan merah di langit petang dan tubuhmu mula menghitam ke puncak malam.Apa yang pasti waktu juga tidak selalu membisu apatah lagi bayanganmu yang tersangkut di pintu. Aku tahu kita biarkan siang bertambah asing saban malam kehilangan bingkainya dan cemburu menikam ruang di kepala. Demi kebebasan yang berubah wajah kau adalah anjing laut yang pandai menyelam
dan aku seekor camar yang berligar di angkasa.
HAMED ISMAIL


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg