Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menggesa parti-parti politik agar tidak membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh memecahbelahkan masyarakat ketika berkempen di tengah-tengah pilihan raya umum (GE) 2025, dan untuk sentiasa menegakkan politik berbilang kaum.
Berucap di rapat Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang pertama pada hari kedua berkempen pada 24 April, Encik Wong berkata terdapat banyak kuasa luaran dan perkembangan global yang boleh menimbulkan pandangan berbeza dan berpotensi memecahbelahkan masyarakat Singapura, seperti perang di Eropah dan konflik Gaza.
Dalam keadaan biasa, isu-isu sedemikian boleh dibincangkan dan masyarakat boleh berusaha ke arah memupuk konsensus nasional.
Bagaimanapun “dalam bahang kempen pilihan raya, adalah mudah bagi isu-isu dibangkitkan, dan jika kita tidak berhati-hati, ini boleh dieksploitasi, dan akhirnya, kita akan melagakan rakyat Singapura antara satu sama lain,” kata Encik Wong.
“Jadi saya katakan kepada semua parti politik dalam pilihan raya ini, marilah kita pastikan bahawa dalam setiap apa yang kita lakukan, kita sentiasa menegakkan politik berbilang kaum.
“Jangan api-apikan isu sensitif. Pastikan politik berhenti di garisan, yang bermakna apabila ia menyentuh kepentingan nasional, kedaulatan, keselamatan, tempat kita di dunia, jangan gunakan politik domestik untuk memecahbelahkan rakyat Singapura. Harus ada perpaduan,” tambah beliau dalam rapat yang diadakan di Stadium Woodlands itu.
Hari kedua berkempen bermula dengan rapat oleh lima parti, termasuk PAP, Parti Pekerja (WP), Parti Kemajuan Singapura (PSP), Parti Demokratik Singapura (SDP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP).
Rapat PAP itu turut menyaksikan kehadiran rakan sepasukan Encik Wong di GRC Marsiling-Yew Tee – Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam; dan Cik Hany Soh.
Turut hadir ialah Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, dan Cik Poh Li San, yang bertanding di SMC Sembawang West.
Encik Wong berkata GE2025 akan datang adalah penting untuk Singapura, terutama di tengah-tengah cabaran ketidakpastian global dan ekonomi.
Namun, beliau menekankan bahawa PAP kekal komited membantu rakyat Singapura mengharungi cabaran di hadapan, dan akan terus menguruskan ekonomi dengan baik sementara menangani keperluan sosial.
“Dalam dunia yang berubah ini, PAP akan kekal dengan nilai-nilai kami – untuk berkhidmat dengan kewibawaan, bertindak dengan pandangan jauh, dan untuk sentiasa mengutamakan rakyat Singapura dalam segala yang kita lakukan,” kata beliau.
Encik Wong berkata halangan perdagangan dan tarif global yang semakin meningkat telah menimbulkan keprihatinan, terutama dalam kalangan perniagaan.
Pemerintah akan melakukan lebih banyak lagi dari segi perbelanjaan sosial untuk membantu rakyat, namun beliau menekankan bahawa ini perlu dilakukan dengan berhati-hati.
“Jika kami melemahkan kewangan awam kita, beban akan menimpa anak-anak dan generasi masa depan kita. Jika kami salah urus ekonomi, keyakinan pelabur akan jatuh; ekonomi kita akan terjejas, pendapatan kita akan terbantut,” kata beliau.
Sebagai pasukan, Encik Wong berkata keutamaan pertama PAP adalah untuk menangani ketidakpastian ekonomi, termasuk isu kos sara hidup dan pekerjaan.
Pemerintah sedang mengkaji langkah-langkah tambahan yang diperlukan jika keadaan memburuk, dan akan terus menyemak serta mengemaskini dasar-dasar demi memastikan ia berkhidmat dengan lebih baik bagi rakyat, tambah beliau.
Contohnya, gerakan Melakar Hala Tuju Singapura, atau Forward Singapore, yang dimulakan bertujuan mempertingkat bidang utama seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan.
Untuk memastikan pemerintah dapat terus menguruskan ekonomi dengan baik, Encik Wong berkata beliau memerlukan pasukan yang baik, sambil menambah bahawa pembaharuan kepimpinan juga penting.
Encik Wong berkata beliau telah bekerja keras untuk membawa masuk darah baru dan memperbaharui partinya, dengan seramai 32 calon baru diperkenalkan dalam GE kali ini.
Ini termasuk calon yang bertanding di GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi – yang telah disebutkan sebagai antara yang berpotensi menjadi pemegang jawatan politik.
Menyentuh tentang pembangkang, Encik Wong berkata sementara sesetengah rakyat Singapura mahu PAP terus memerintah, beliau memahami bahawa mereka juga mahu melihat lebih banyak suara alternatif di Parlimen.
Namun, beliau menggesa rakyat agar meneliti calon parti pembangkang sama seperti mereka meneliti calon PAP dari segi kewibawaan, kecekapan dan kesediaan untuk berkhidmat.
“Ingatlah, sebaik sahaja pilihan raya berakhir, pertandingan yang sebenar bukan mengenai PAP lawan pembangkang.
“Ia adalah mengenai Singapura menghadapi dunia yang bahaya dan bermasalah,” kata beliau.
Dalam pada itu, Encik Zaqy dalam ucapan bahasa Melayu di rapat itu berkata pemerintah PAP sangat memahami keprihatinan dan aspirasi masyarakat Melayu Singapura, dan telah memberi banyak memberi sokongan, termasuk dalam pendidikan, pekerjaan, peningkatan kemahiran, kos sara hidup dan kehidupan beragama.
“Hasilnya adalah peningkatan ketara prestasi masyarakat Melayu kita dari generasi ke generasi. Dan kita juga melihat bagaimana kehidupan kita di Singapura dengan adanya pemerintah yang stabil dan berpengalaman banyak membantu masyarakat memenuhi aspirasi ini.
“Komitmen sebuah pemerintah yang mahu melihat anak Melayu kita lebih berjaya dan juga masyarakat yang makmur adalah aset yang besar bagi kita,” kata beliau.
Encik Ong pula menyeru pengundi SMC Sembawang West yang baru diwujudkan untuk memilih Cik Poh Li San dari PAP, sambil menambah bahawa lawannya, Dr Chee Soon Juan, telah “meninggalkan” Bukit Batok.
“Tidak ada yang salah dengan membuat langkah politik yang dirancang secara teliti dan menukar kawasan pilihan raya. Ia berlaku dalam politik. Tetapi berterus-terang dengan pengundi anda. Jangan beritahu penduduk Sembawang West, ‘Saya melakukannya untuk anda’,” kata Encik Ong, merujuk kepada Dr Chee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg