Topik diikuti
Pergi ke BHkuSekolah Menengah Ang Mo Kio ungguli kuiz ‘Cepat Tepat 2.0’
Sekolah Menengah Ang Mo Kio muncul juara sulung kuiz Cepat Tepat 2.0, sebuah rancangan berbentuk kuiz yang menguji pengetahuan dan pemahaman pelajar sekolah menengah mengenai bahasa serta budaya Melayu menerusi pelbagai soalan mencabar.
Pertandingan yang dianjurkan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) dengan kerjasama Mediacorp itu bertujuan memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap bahasa dan budaya Melayu dalam kalangan pelajar, di samping menggalakkan mereka berfikir secara kreatif dan kritis di luar bilik darjah.
Pasukan Sekolah Menengah Ang Mo Kio, berusia antara 13 hingga 15 tahun, terdiri daripada lima pelajar, Danish Haziq Yazid, Fatimah Zahra Muhammad Zaki, Haneef An-nasr Reduan, Ilyusyirah Indrayadi dan Myra Ibtisam Kamarudin.
Setiap anggota pasukan juara menerima baucar buku bernilai $300 serta trofi.
Sekolah Menengah Yishun Town pula menduduki tempat kedua, manakala Sekolah Menengah Greendale di tempat ketiga.
Pemenang tempat kedua menerima baucar buku bernilai $200 setiap seorang, manakala pemenang tempat ketiga menerima baucar buku bernilai $100 setiap seorang.
Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, yang juga Pengerusi MLLPC, merupakan tetamu kehormat bagi episod akhir kuiz Cepat Tepat 2.0, yang disiarkan di saluran Suria pada 30 Ogos. Beliau turut menyampaikan hadiah kepada para finalis.
MLLPC ditubuhkan Kementerian Pendidikan pada Februari 2006 dan terdiri daripada pemimpin masyarakat serta wakil institusi pengajian tinggi, pertubuhan Melayu, media dan badan profesional.
Jawatankuasa itu bertujuan menyemarakkan minat pelajar terhadap pembelajaran bahasa Melayu, selain memupuk minat terhadap bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu.
