Pada 9 Ogos 1965, apabila pengumuman perpisahan dari Malaysia dibuat dengan linangan air mata, ramai pemerhati antarabangsa meragui keupayaan pulau kecil ini untuk terus wujud tanpa sumber asli.

Singapura ketika itu berhadapan dengan krisis kelangsungan hidup yang genting: pengangguran meluas; petempatan setinggan yang sesak dan tidak bersih; isu keselamatan yang meruncing; dan kebergantungan penuh kepada negara jiran bagi bekalan air bersih.

Rakyat pada era pascakemerdekaan dibelenggu pelbagai ketidakpastian, ditambah dengan isu perhubungan kaum yang masih rapuh akibat rusuhan sosial 1960-an.

Namun, di sebalik pelbagai rintangan itu, wujud semangat kecekalan yang membara untuk menentukan nasib sendiri.

Singapura enggan mengaku kalah dan enggan menyerah kepada takdir geografi dan sejarah semata-mata; walaupun masa depan ketika itu kabur.

Hasilnya, negara ini berjaya melakar sejarah kemanusiaan yang luar biasa; Singapura melompat daripada status Dunia Ketiga kepada Dunia Pertama dalam tempoh yang singkat.

Kejayaan ini bukanlah secara kebetulan.

Sebaliknya, ia hasil perencanaan strategi yang pragmatik dan berani.

Pemerintah ketika itu melaksanakan dasar ‘hidup atau mati’, manakala rakyat berusaha keras membina kemakmuran bersama.

Misalnya, ketika sesetengah negara membangun menolak pelaburan asing, Singapura mengambil langkah berani menarik syarikat berbilang negara (MNC) untuk membina kilang dan menyediakan peluang pekerjaan.

Kita membuktikan kepada pelabur antarabangsa bahawa sebuah negara baharu tanpa latar belakang perindustrian masih mampu menyediakan tenaga kerja yang berdisiplin.

Bagi menjamin kedaulatan tanpa bebanan bajet pertahanan yang besar, dasar Perkhidmatan Negara (NS) pula diperkenalkan pada 1967.

Walaupun pada awalnya menghadapi tentangan masyarakat yang bimbang akan gangguan terhadap mata pencarian dan pendidikan anak muda, NS akhirnya menjadi wadah utama menyatupadukan rakyat pelbagai kaum.

Singapura juga memperkenalkan sistem pendidikan dwibahasa dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa pentadbiran dan ekonomi, manakala bahasa ibunda kekal dipelihara sebagai akar warisan bangsa.

Dalam tempoh enam dekad sahaja, Singapura berjaya mentransformasikan peranan daripada pelabuhan pembekal (entrepôt) tempatan kepada megapolis global bertaraf dunia.

Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) per kapita juga melonjak berlipat ganda, kadar celik huruf pula hampir menyeluruh, dan jangka hayat rakyatnya adalah antara yang tertinggi di dunia.

Namun, pembangunan sesebuah negara itu tidak diukur pada kemegahan bangunan pencakar langit semata-mata, tetapi pada sejauh mana rakyatnya menikmati kehidupan yang selamat, bermaruah, dan terjamin.

Ringkasnya, Singapura telah mengecapi banyak kemajuan, tetapi demi tatapan ruangan ini izinkan saya tampilkan enam pencapaian utama negara yang dianggap luar biasa:

Perumahan awam yang inklusif: Lebih 80 peratus rakyat Singapura kini memiliki kediaman HDB sendiri.

Sistem perumahan ini bukan sahaja menyediakan tempat tinggal yang selesa, malah menjadi alat integrasi sosial melalui kuota etnik kejiranan.

Hab kewangan dan logistik global: Lapangan Terbang Changi dan Pelabuhan Singapura merupakan antara pusat laluan utama dunia, manakala sektor perbankan tempatan diiktiraf sebagai pusat kewangan terunggul di Asia.

Sistem pendidikan berprestasi tinggi: Sekolah-sekolah di Singapura konsisten menguasai kedudukan teratas dalam penilaian antarabangsa seperti Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) menerusi penekanan terhadap STEM (sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik) serta pembelajaran sepanjang hayat.

Ketahanan dan pengurusan air: Daripada negara yang bergantung kepada air import, Singapura kini menjadi peneraju dunia dalam teknologi kitar semula air (AirBaru) dan penyulingan air laut.

Keselamatan awam dan kestabilan undang-undang: Singapura konsisten dinobatkan sebagai antara negara paling selamat di dunia, berkat kecekapan Pasukan Polis Singapura (SPF) dan sistem perundangan yang saksama.

Prasarana moden dan bandar dalam alam semula jadi: Rangkaian MRT dan jalan raya yang meluas lagi teratur serta integrasi kawasan hijau (seperti Gardens by the Bay) membuktikan pembandaran pesat boleh bergerak seiring dengan pemeliharaan alam semula jadi.

Kemajuan gilang-gemilang ini diterajui oleh dua tiang utama: kepimpinan berwawasan yang cekap dan bebas rasuah serta sumbangan tidak terhingga rakyatnya.

Faktor sokongan lain termasuk kedudukan geostrategik Singapura di laluan Selat Melaka, pelaksanaan prinsip meritokrasi, serta dasar luar berkecuali yang telah membina hubungan diplomatik kukuh dengan negara dunia.

Namun, sempena sambutan ulang tahun ke-61 ini, Singapura tidak harus terbuai oleh kejayaan lalu kerana cabaran hari ini jauh berbeza daripada lebih 60 tahun lalu.

Daripada ketegangan geopolitik global dan krisis demografi masyarakat menua, sehinggalah ancaman perubahan iklim serta kenaikan paras laut, Singapura hari ini berdepan dengan isu yang boleh mengancam rentak kemajuan negara.

Isu keselamatan moden pula melibatkan radikalisasi dalam pelbagai bentuk yang berpotensi mengancam fabrik sosial tempatan dan meretakkan ikatan hubungan antara masyarakat.

Namun, sejarah 61 tahun ini telah mengajar kita bahawa cabaran yang rumit itu bukanlah penghalang untuk mencapai kemajuan.

Sebaliknya, Singapura perlu merebut pelbagai peluang yang ada untuk memastikan negara ini bukan sahaja dapat meneruskan kelangsungan hidup, malah mampu melangkah lebih jauh lagi.

Misalnya, untuk kekal sebagai hab inovasi antarabangsa yang disegani, pelaburan agresif dalam infrastruktur kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, dan ekonomi berteraskan data harus menjadi keutamaan.

Perniagaan tempatan juga harus dibantu agar mampu berkembang pesat di peringkat antarabangsa, manakala tenaga kerja tempatan terus diperkasa menerusi program peningkatan semula kemahiran.

Bakat tempatan pula harus kekal diberi keutamaan, sedang kita berusaha memikat kepakaran global untuk melengkapkan dan memperkukuh ekosistem ekonomi negara.

Bagi menangani cabaran penuaan dan perubahan iklim pula, beberapa inisiatif mesra komuniti dan alam sekitar harus terus dilaksanakan.

Juga sama penting ialah memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum terus diperkukuh dengan menerapkan semangat kebersamaan dan sikap saling bertanggungjawab.

Pendek kata, kemakmuran Singapura pada dekad mendatang tidak lagi ditentukan oleh sejauh mana ia mampu bertahan sahaja, tetapi sejauh mana ia berani menjalankan inovasi dan membina semula kekuatan terasnya.

Dengan menyatukan kecekalan jiwa 1965, kebijaksanaan mendakap teknologi moden, serta menguatkan benteng kepercayaan antara rakyat dan pemerintah, saya percaya Singapura bukan sahaja mampu menempuh badai gelora, malah akan terus berdiri teguh sebagai obor kemajuan dunia.

Majulah Singapura.