Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Sementara menunggu hujan reda

Apr 09, 2023 | 05:30 AM



ANDA yang budiman.



Lihat di luar. Hujan 5 petang hari Jumaat ini turun lebat. Lebat yang membuat saya teringat dengan amat pekat kejadian seminggu lalu yang sarat dengan pengalaman yang tidak akan mudah saya lupakan sampai bila-bila hingga ke akhir hayat.



Kalau dihalusi, hujan kerap kali membawa kesayuan pada sanubari saya. Saya benar-benar terkesan kerana dirantai tali perasaan yang mengusik dan mengelus hati. Ya, dua dalam satu. Saya pasti anda akan sebegitu juga di akhir penceritaan saya ini.



Begini, anda yang saya hormati kerana sanggup meluangkan masa yang berharga anda semata-mata mengikuti kisah saya ini yang saya jamin tidak akan mengecewakan anda yang sibuk ketika menghadapi pandemik koronavirus Covid-19 yang mencemaskan kita manusia seantero dunia.



Hujan 2 petang hari Selasa lepas semakin lebat, diiringi tiupan angin kencang. Dari jendela kaca di ruang tamu rumah tiga bilik saya, sebagaimana lebatnya di luar hujan yang mengguyur, begitu juga saya yang lebuh hebat.



Manakan tidak hebat, bila hati saya terus berbalut dengan perasaan yang menyiat pedih dan terbebat kerana seorang anak tunggal saya yang sudah menjadi dan bersifat macam Tanggang.



Lebih tepat jika dikatakan anak derhaka kepada orang tuanya macam cerita dulu-dulu di mana telah disumpah menjadi batu, semata-mata kerana seorang perempuan cantik dan berada, dia habis! Ya, dia habis dan saya juga habis! Anak lelaki saya yang berusia 32 tahun yang saya amat sayangi itu habis kasih sayangnya kepada saya.



Habis keihsanannya terhadap saya. Habis ketaatannya sebagai anak kepada saya. Habis janjinya kepada saya akan menjaga saya apabila mendapat kerja dan bergaji mantap. Habis semuanya menjadi habuk dan debu ditiup angin pangkal rasa seperti angin yang berkesiur di luar dari tingkap aras tiga.



Ya, saya habis kesemuanya yang dilonggokkan anak saya kepada saya sebelum bertemu perempuan idamannya. Adakah betul kata orang, anak lelaki tetap anak seorang bonda, selagi dia belum menjadi suami orang? Kalau betul, memanglah saya sudah habis!



Kerana sudah habislah, maka setiap kali hujan, saya akan termenung macam orang sasau di jendela kaca, menatapi hujan. Saya akan mengadu kepada hujan, sambil mengunyah kejenuhan dan kekecewaan, seolah-olah saya merasakan saya juga seperti titikan hujan yang membebel tak henti-henti.



Hujan kerawanan yang lebat terus menikami bumi jiwa saya. Manakan tidak, kerana sudahlah saya habis anak kesayangan saya yang entah di mana dia berada, saya habis juga seekor kucing belaan saya yang temui di tepi longkang besar tiga tahun yang lalu.



Bagaimana daripada seekor haiwan kecil yang bermata kuyu, comot dan lemah menjadi seekor haiwan yang montel, comel, cilik, berbulu selembut sutera dan mata jeli yang bersinar penuh semangat kerana dijaga rapi dan penuh kasih sayang, sampai ia boleh memanggil saya dengan mengiau 'mak, mak'.



Keterharuan itu benar-benar menyuntik puncak rasa yang tidak terkata.



Jeli adalah pengganti Johari tatkala kesunyian. Jeli adalah teman saya yang akrab, penawar rindu ketika saya dirantai pilu. Pada tahap ini, saya ingin tekankan bahawa kerana saya amat menyayangi Jeli tidak bermakna saya sudah mengusir jauh-jauh Johari.



Sebusuk-busuk daging, sebagai seorang ibu, saya tetap akan memamahnya juga. Tahukah anda, tangan yang paling berkuasa di dunia adalah tangan seorang ibu. Sejahat-jahatnya seorang anak, seorang ibu tetap akan membela dan melindungi anaknya itu.



Tidak akan sampai hati dan tergamak hendak menyumpah dia menjadi batu atau apa-apa saja. Tidak akan kata dia jahat atau busuk. Tidak akan pernah! Itulah kuasa sebenar seorang umi yang tidak akan melepaskan anaknya begitu sahaja.



Di dalam hatinya ada lagu, lagu seorang ibu yang sentiasa didakap rindu. Dan dia akan selalu merafakkan doa yang muluk-muluk kepadanya sepanjang masa. Sampai ke hujung usianya!



Pengganti Johari pergi juga sudahnya. Bulan lepas, Jeli menghadap Yang Maha Pencipta. Semangat saya seakan-akan luluh berkeping-keping. Semacam kesayuan dan penyesalan membekam jantung saya apabila sebelum disuntik maut, Jeli yang menghidap kanser bagaikan tak mahu melihat saya!



Saya meminta maaf kepada kucing kesayangan saya kerana tidak dapat bersama ia lagi. Dengan pemergiannya, saya terasa panggilan 'mak, mak' betul-betul sudah habis!



Yang tak habis adalah bisikan kasih yang mengelus kalbu dan bisikan sayang yang terngiang-ngiang di telinga seorang janda (berpisah mati dengan suami) dan ibu tunggal yang berusia 50 tahun ini.



Anda yang budiman, terima kasih kerana masih setia dengan saya. Maaf, izinkan saya menyeka air mata yang merembes gugur dari mata yang lesu.



Mungkin ada antara anda akan menegur apa gunanya menangis, kerana air mata tidak menjanjikan apa-apa. Benar, tapi ia menjanjikan semacam kelegaan setelah apa yang terbuku terluah. Menjanjikan akan dapat mengusir kejenuhan dan kerawanan walaupun untuk seketika.



Yang memberatkan pendakian rawatan dan pemulihan jiwa daripada satu kehilangan yang tidak terperi ialah sekarung kecil getaran batin yang menggugah. Yang mampu menjanjikan untuk meringankannya sekejap ialah semacam bujukan yang melegakan itu.



Tahukah anda, di tengah-tengah kekeruhan sungai suasana, di tengah-tengah hujan yang terus menikami bumi, rupa-rupanya, tanpa saya sedari saya diperhatikan oleh seekor burung kakak tua!



Yang amat menakjubkan, burung itu boleh berkata-kata macam manusia. Betul, ia boleh berbual-bual dengan saya!



Kakak tua yang bersayap biru, berparuh dan bermata hitam bersinar dan berseri galak, berkepala hijau, berekor dan berbulu biru, berbadan yang kuning bulunya serta berkaki hitam kelabu, sebenarnya sedang menumpang teduh di satu sudut belebas jendela kaca saya yang berlangsir biru muda dan berjeriji.



"Maaf, maafkan saya kerana mengganggu renungan puan yang mendalam," pinta kakak tua.



"Saya berharap puan mengizinkan saya singgah sebentar di belebas ini sementara menunggu hujan reda."



Saya tidak terus menyahut. Saya benar-benar tersentak yang amat sangat. Burung boleh bercakap dengan fasih dan lancar? Semacam suara yang terpenjara dalam sungai suasana yang keruh melata terhambur juga sudahnya.



Lupa sekejap akan semacam magis itu. Lalu saya bagaikan tersihir dan membalasnya perlahan-lahan. Semakin lama semakin laju dan bersemangat.



Saya memulakan dengan, "Tak ada apa-apa untuk dimaafkan. Bukankah ini mandala demokrasi. Semuanya termasuk kamu berhak bebas ke mana-mana, termasuk singgah untuk melepaskan lelah dan mendapatkan perlindungan.



"Saya percaya kamu ada suara yang terpenjara dalam sungai suasana yang keruh melata."



Dan kakak tua itu pula mengiyakan kebenarannya lalu menceritakan kisahnya panjang lebar dan berjela-jela dalam satu nafas macam kereta api ekspres.



Melalui perbualan panjang saya dengan kakak tua itu, saya disuapkan maklumat bahawa ia merajuk lalu terbang jauh dan singgah di belebas rumah saya, bukannya kerana disebabkan tuannya membawa pulang seekor lagi burung macam ia untuk menggantikan tempatnya.



Masakan kakak tua itu tidak gusar dan kecewa dengan sikap tuannya yang teruja benar ia bercakap bukan-bukan.



Ia tak mudah disogokkan habuan atau makanan yang lebih sedap-sedap dan sihat-sihat semata-mata mahu ia melakukan sesuatu yang tidak mengelus dan merelakan hati.



Masakan mengelus hati jika mahu ia mencarut, memaki, untuk menunjukkan kepetahan, kepandaian dan kemahirannya.



Dengan kata lain, ia tak mahu tuannya mengeksploitnya agar suaranya berjaya dijual demi untuk mampu membeli peminat yang sudahnya mengumpulkan jahat yang tak sudah.



Ini soal harga diri. Ya, ia tak mahu memperlekehkan maruah. Tiada gunanya menjadi makhluk yang tiada harga diri! Menggadai harga diri samalah dengan meletakkan diri di buntut kuda! Tak mahu ia begitu jadinya.



Tahukah anda, pada tahap itu, saya rasa amat terkesan. Dan semacam terkesanan itu memekat, apabila kakak tua terus menambah ceritanya yang sayu juga.



"Puan, kalau puan kehilangan anak dan kematian seekor kucing, saya kehilangan dan kematian seekor anjing!"



Saya terdiam. Lidah saya kelu dan tergeliat. Minda saya genjot. Hanya boleh diterjemahkan keterharuan melalui air suam yang tumpah dari kolam mata saya.



Memandangkan saya membisu, ia menambah, "Memang benar kata orang, jangan ikut resmi anjing.



"Tapi kawan baik saya, seekor anjing tak macam semua anjing. Ia pernah menolong saya dengan menggigit penceroboh yang ingin mencuri saya pada satu larut malam hingga tertangkapnya penjahat itu.



"Tahukah puan, kalau seekor anjing diserang dan dilukai, anjing-anjing lain yang berada dekat situ akan juga semua turut menyerang dan tergamak pula sampai menghabisi riwayatnya.



"Dan begitulah yang terjadi pada kawan baik saya, anjing belaan tuan saya juga. Saya nampak dengan biji mata saya sendiri melalui tingkap kaca dari tingkat lima menghadap jalan pada siang hari pula tu, ketika saya disuruh hafal kata-kata untuk mencarut dan memaki untuk dirakamkan.



"Itu bukan kepandaian namanya, tapi kebaculan yang tidak dapat saya terima sama sekali."



"Jadi harus ikut macam siapa pula?" sengaja saya uji kakak tua.



"Ikut resmi ikan lumba-lumba. Kalau seekor terluka atau tercedera, yang lain-lain akan menunjukkan semangat setiakawan untuk saling membantu agar ia selamat."



Percayakah anda itu jawapan sebenarnya yang harus terkeluar dari mulut manusia yang berotak dan berakal tapi bukan daripada haiwan macam kakak tua yang hanya berotak tapi tak berakal. Apa sudah jadi?



Percayakah anda, ada air jernih dari kelopak mata kakak tua yang mengalir. Dan ini membuat mata saya sendiri semakin berair. Hati saya disayat sunyi. Saya rasa ia begitu juga.



Diam-diam, angin keras tidak lagi menampar-nampar kaca jendela. Jalaran guruh sudah menjauh. Titik-titik hujan tidak lagi memberat. Perlahan-lahan menunjukkan tanda-tanda hujan akan reda.



Kini, sementara menunggu hujan akan terus reda sepenuhnya seperti minggu lepas, agar saya dapat ke kedai membeli makanan, pesanan kakak tua itu bagaikan mengelus hati saya.



"Puan, bolehkah saya meninggalkan pesan?"



Seekor burung ingin meninggalkan pesan kepada saya seorang manusia. Pelik betul, bisik hati saya.



Saya hanya mengangguk sayu.



"Mata hati ibarat pelita. Harus ada minyak. Harus ada sumbu. Untuk menyalakan sumbu, harus ada minyaknya dahulu. Renung-renungkanlah, puan."



Taklah adil kalau kakak tua sahaja yang memberi teguran atau pesanan. Saya juga meminta keizinan kepadanya, dan disambut dengan senang hati.



Pesan saya:

"Jangan jadi seperti

burung hantu

sentiasa ceria dan penuh

keghairahan

hanya pada waktu malam

tersihir pada sinaran bulan

tapi pasti akan berkicau resah

tak sudah apabila

menghadap pagi

tak lagi menggelinjang hati."



Saya benar-benar terharu apabila kakak tua berkata halus mersik, "Puan, saya terkesan dengan teguran puan yang boleh saya lagukan pada hari muka. Sebenarnya, teguran puan adalah sinar benar kehidupan ini.



"Ya, puan dan dan saya boleh mendapat iktibar daripada teguran yang berupa lagu yang akan sentiasa berkicau di dalam hati. Ya, ada lagu di dalam hati kita yang boleh dijadikan penawar rindu pada sesuatu yang syahdu".



Hujan sudah reda, tapi di dalam hati saya dilebatkan dengan semacam lagu itu yang menggelinjang jiwa penuh syahdu. Saya rasa kakak tua itu juga sebegitu. Tidak akan menjadi seperti burung hantu yang sentiasa disuntik keresahan tak sudah ketika menghadapi pagi yang baru.




"Hujan 2 petang hari Selasa lepas semakin lebat, diiringi tiupan angin kencang. Dari jendela kaca di ruang tamu rumah tiga bilik saya, sebagaimana lebatnya di luar hujan yang mengguyur, begitu juga saya yang lebuh hebat.
Manakan tidak hebat, bila hati saya terus berbalut dengan perasaan yang menyiat pedih dan terbebat kerana seorang anak tunggal saya yang sudah menjadi dan bersifat macam Tanggang.''




BIODATA PENULIS



PETER AUGUSTINE GOH ialah nama pena Iskandar Goh.



Bidang penulisannya termasuklah cerpen, novel dewasa, novel kanak-kanak, puisi, drama televisyen dan radio serta ulasan sastera.



Pesara polis Singapura ini kini seorang pembimbing penulisan kreatif untuk sekolah rendah dan menengah serta maktab rendah dan penterjemah bebas.



Buku-buku terbaharunya ialah sebuah kumpulan cerpen 'Lelaki Tua Di Wilayah Sepi' dan dua kumpulan puisi 'Kerana Kata-kata' dan 'Warna Cinta' terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >