Topik diikuti
Pergi ke BHkuSeniman orak langkah olah karya gabung kuasa seni silat
Rofi sedang siapkan karya terkini bermotif silat, penyertaannya sebagai salah seorang daripada enam seniman visual yang terpilih untuk kohort sulung ‘Program Pemacu Artis’ anjuran Artery
Seniman orak langkah olah karya gabung kuasa seni silat
Rofizano Zaino (Rofi), bangkit daripada kerusinya, lalu menuju ke gerobok besi yang terdapat potret pahlawan negara, Leftenan Adnan Saidi, dan sepasang keratan pesawat pengebom B-2 Spirit, milik tentera udara Amerika Syarikat, lalu menanggalkan pesawat besi itu yang dilekatkan pada pintu gerobok tersebut.
Mata penulis kemudian tertarik ke arah pesawat itu, yang diletakkan di bahagian bawah sekeping papan kayu, bersama lukisan figura menggunakan arang, dan ditindih rimbunan potongan kertas merah jambu berbentuk seperti kelopak bunga.
Pesawat pengebom B-2 itu telah digunakan secara meluas dalam pelbagai operasi ketenteraan, bermula dengan Perang Kosovo pada 1999, diikuti Perang Iraq pada 2003, dan baru-baru ini dalam perang ke atas Iran.
“Figura arang ini sebenarnya diilhamkan daripada beberapa gaya asas silat yang saya belajar menerusi seorang kenalan.
“Sama ada ia suatu penindasan atau pencerobohan, ideanya ialah kita bangkit mengatasi keadaan itu, dan (seperti sekuntum bunga) kita ‘mekar’, serta terus kekal teguh,” jelas Rofi, 56 tahun.
‘Bunga’ yang dimaksudkan oleh seniman yang telah menghasilkan karya seni visual seperti arca dan lukisan sejak 2005 itu, merujuk kepada istilah yang digunakan dalam seni silat.
Seni ‘bunga’ ialah gerak asas yang lemah lembut dan gemalai bagi mengelirukan pesaing.
Manakala seni ‘buah’ pula ialah gerak balas yang keras dan padu untuk menumpaskan lawan.
Ketegangan antara dua kuasa yang bertentangan itu bukanlah tema yang asing dalam penerokaannya tentang hubungan kuasa.
Rofi, sedang menyiapkan karya terbaharunya yang bermotifkan silat, selaku penyertaannya sebagai antara enam seniman visual berusia antara 24 dengan 56 tahun yang terpilih untuk kohort sulung Program Pemacu Artis atau ‘Artist Accelerator Programme’ (AAA) anjuran Artery.
Dilancarkan pada Julai 2026, Artery, merupakan sebuah pertubuhan bukan untung yang dibiayai secara mandiri, dengan azam untuk menyokong seniman di Singapura.
Program lima tahun itu bertujuan menyediakan elaun sara hidup dan sokongan profesional bagi seniman yang ingin membina kerjaya mampan dalam bidang seni.
Penerima lain termasuk Alya Rahmat, Siew Guang Hong, Shayne Phua, Koh Kai Ting, dan Joanne Lim.
Dalam lukisan dan arca Rofi, wajah dan figura menjadi subjek kegemaran.
Setelah 30 tahun berkecimpung dalam industri reka bentuk grafik, khususnya dalam bidang penjenamaan, pengalaman tersebut mempengaruhi cara beliau menanggapi proses membingkaikan sesuatu gagasan melalui simbolisme.
Gagasan yang berulang dalam karyanya banyak menyinggung perihal dinamik kuasa.
Rofi tertarik meneliti mekanisme permainan kuasa pada setiap peringkat dalam iklim sosiopolitik sejagat, serta ketegangan yang terkandung di dalamnya: individu, masyarakat dan negara.
Lukisan ‘Order & Chaos 1 dan 2 (2025)’ merupakan dua daripada tiga karya yang diperoleh Artery.
Kededua karya itu menampilkan figura manusia dengan kepala singa berwarna biru dan merah masing-masing, disertai papan amaran ‘cecair mudah terbakar’ dan ‘bahan letupan’, papan bahaya berjalur merah putih, serta papan tanda ‘berhenti’.
Sama ada pilihan raya umum 2011 wajar digelar ‘Pilihan Raya Internet Singapura’ boleh dipertikaikan.
Namun, media baharu telah memainkan peranan penting dalam cara parti politik dan calon politik berkomunikasi dengan pengundi, serta cara rakyat berhubung antara satu sama lain.
Susulan pilihan raya itu, fenomena pahlawan papan kekunci dalam alam maya mula berleluasa hingga sekarang.
Natijahnya, karya tersebut terinspirasi daripada fenomena itu dan implikasinya terhadap pilihan raya umum 2015.
Menurut Rofi, perbalahan antara pahlawan papan kekunci propemerintah dan antipemerintah ketika itu sangat gamat dan kekadang dinista dengan kata-kata keji, dan berbaur menghasut, dek dinamik kuasa antara pihak yang bersikap pasif-agresif dengan pihak yang menekan secara agresif.
“Ada seniman yang sentiasa ambil pendirian terhadap suatu isu, tapi saya cuba tidak berbuat demikian, walaupun saya mempunyai perspektif dan pandangan sendiri.
“Saya cuba mengemukakan sesuatu isu dari perspektif kedua-dua belah pihak.
“Apa yang saya mahu lakukan bukanlah semestinya mengulas secara langsung tentang isu tertentu.
“Saya hanya rasa kita perlu memikirkan isu itu secara konseptual, cakna kepadanya dan sekurang-kurang bertindak balas terhadapnya,” ujarnya, yang pernah mempamerkan karyanya bersama Muzium Seni Singapura, Maya Gallery dan The Substation (Singapura), Agora Gallery (New York), Galeri Chandan (Kuala Lumpur), serta di Belanda, Belgium dan China.
Walaupun matlamat Rofi menghasilkan satu koleksi baharu telah ditetapkan pada penghujung tahun pertama program itu, matlamat tersebut tidaklah muktamad.
Ketua Kurasi dan Pembangunan Industri Artery, Cik Joyce Toh, memberitahu Berita Harian (BH) beliau maklum sifat para seniman yang berprestasi tinggi dan berorientasikan matlamat.
Walau bagaimanapun, beliau sering menasihati mereka agar memperlahankan rentak diri.
“Singapura bergerak sangat pantas, dan kita sangat terikat dengan menepati tarikh akhir.
“Tapi tanpa memperlahankan langkah diri untuk membuat penyelidikan, saya rasa mereka tidak benar-benar membina asas yang akhirnya akan menopang mereka,” kata Cik Toh yang pernah berkhidmat sebagai kurator kanan di Muzium Seni Singapura.
Inilah jurang yang Artery harap dapat diisi.
Kurator Muda dan Pengurus Program Seni Artery, Cik Gwyneth Poh, menambah bahawa Artery bukan sahaja menyediakan bimbingan berstruktur, malah ruang untuk seniman menerima kritikan dan maklum balas terbuka.
Hal itu dapat menolong Rofi yang sedang beralih kepada kerjaya seni sepenuh masa, kerana ia “membantu proses menjana idea dan mengembangkan amalan seni mereka masing-masing”.
Dalam satu temu bual, sedekad yang lalu, Rofi pernah menzahirkan rasa seperti orang luar dalam dunia seni.
“Kadangkala, saya masih berasa begitu (seperti orang luar),” jawabnya, ketika ditanya jika masih rasa demikian.
Walau bagaimanapun, program ini telah menghubungkannya dengan seniman dan penggiat seni lain, seperti Alya Rahmat (juga peserta program Artery), yang pendekatannya Rofi ingin cuba mengolah dalam karyanya sendiri, khususnya penggunaan asas warisan Melayu yang diterjemahkan secara kontemporari.
“Ini hampir kali pertama saya bekerja dengan seorang kurator. Sebelum ini, saya hanya bekerja bersendirian. Tapi sekarang saya dapat berbincang dan bertukar idea dengan kurator dan seniman lain.
“Jadi, secara perlahan-lahan, peluang dan pandangan saya lebih terbuka… dibimbing untuk mendalami dunia seni,” tambahnya.
Permohonan untuk kohort kedua program AAA akan dibuka dari 13 Oktober hingga 24 November.
Ini merupakan kohort pertama yang dipilih menerusi panggilan terbuka, selepas program perintis khusus jemputan yang membentuk kohort sulung Artery.