Selama sekitar lima tahun, dinding flat lima bilik Cik Nurul Qursyiah Ismail, penuh dengan kertas lukisan anaknya yang berkeperluan khas, Naufal Mohammad Farhan, yang mempunyai bakat luar biasa dalam bidang seni.

Kanak-kanak berumur 10 tahun itu, yang didiagnosis mengalami autisme teruk atau severe dan tidak boleh bercakap, belajar melukis sendiri, dengan benda-benda di sekeliling sebagai ilham.

Sejak bakatnya dikenal pasti ketika berumur empat tahun, Naufal telah menghasilkan pelbagai versi lukisan yang ibu bapanya gelarkan ‘tribal mask’ dan ‘the lady’, iaitu yang menunjukkan gambar topeng puak dan potret wanita.

Lukisan itu menarik perhatian ramai pengikut Naufal di laman Instagram @naufalcandraw2, dengan ada di antara mereka memintanya dicetak pada barangan seperti beg jinjing, kemeja-T dan beg kantung.

Ini membolehkan Naufal meraih pendapatan daripada karya lukisannya itu, dengan beberapa ribu dolar telah dikumpul sejauh ini.

Kebelakangan ini, anak kedua dalam keluarga tiga beradik itu lebih suka melukis burung hantu dan menghasilkan origami.

Lukisannya juga tidak lagi memenuhi dinding serata flat di Yishun itu.

Sebaliknya ia sekadar mengisi ruang kecil di tepi almari baju dalam bilik tidur kanak-kanak itu yang dikongsi bersama kakaknya, 11 tahun, yang mengalami autisme ringan, dan adik lelakinya, tujuh tahun.

“Dahulu, Naufal suka menampal lukisannya di dinding, seperti di galeri.

“Ada satu kali itu, dia menampal cebisan kertas kecil di dinding seperti mozek, dengan setiap kertas kecil mengandungi lukisan,” kata Cik Nurul Qursyiah, 40 tahun.

“Tapi sejak kebelakangan ini, dia lebih meminati origami yang dia belajar melalui YouTube.

“Dia akan luangkan berjam-jam lama, menggunakan banyak kertas, untuk menghasilkan origami yang rumit,” tambahnya.

Naufal Mohammad Farhan kini suka melukis burung hantu dan akan menampal lukisannya di sebelah almari pakaian dalam bilik tidurnya.
Naufal Mohammad Farhan kini suka melukis burung hantu dan akan menampal lukisannya di sebelah almari pakaian dalam bilik tidurnya. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Suri rumah yang mengendalikan perniagaan dari rumah (HBB) itu berkata beliau dan suami pada mulanya tidak tahu pun yang anak mereka itu mahir melukis hingga diberitahu guru tajaka.

Antara karya awalnya adalah menyalin keseluruhan buku cerita dalam bahasa Mandarin di sekolah termasuk semua tulisan dan gambar di dalamnya.

Menyedari minat anaknya itu, Cik Nurul Qursyiah pun menyediakan keperluan melukis, seperti krayon, pen penanda dan cat air, untuk digunakan di rumah.

Beliau mendapati Naufal banyak menggunakan teknik melukis yang diajar guru prasekolahnya dengan ilham bagi subjek lukisan diraih daripada barangan yang dilihat dalam bilik darjahnya.

“Pada satu masa itu, Naufal asyik melukis gambar muka dengan mata besar. Dia menghasilkan ratusan lukisan serupa, dalam gabungan warna dan gaya yang berbeza.

“Adakala muka yang dihasilkan berbentuk lonjong, adakala bulat.

“Saya cuba tanya apa yang dilukisnya itu, tetapi dia tidak dapat memberitahu kami.

“Dua tahun kemudian, apabila kami ke sekolahnya untuk sesi pertemuan dengan guru, barulah kami lihat ada topeng puak di dalam kelas yang menjadi sumber ilham bagi lukisan Naufal,” cerita Cik Nurul Qursyiah.

Suaminya, Encik Mohammad Farhan Tahar, 40 tahun, telah memuat naik gambar lukisan itu ke laman media sosialnya sekadar untuk berkongsi dan bertanya apakah yang mungkin dilukis anaknya itu.

Namun tanpa disangka, gambar itu telah menarik perhatian ramai orang dengan ada di antara mereka yang menawarkan untuk membeli karya-karya itu.

“Pada mulanya kami sekadar memberi lukisan asal yang dihasilkan Naufal secara percuma kepada sesiapa yang mahu kerana kami ada terlalu banyak. Ada yang menawarkan untuk membayar, dan kami terima.

“Kemudian ada yang minta ia dicetak pada kemeja-T dan beg jinjing, jadi kami cuba lakukannya.

“Ada juga yang minta lukisannya pada beg kantung untuk dijadikan berkat majlis perkahwinan,” kata Encik Mohammad Farhan yang bertugas sebagai teknisyen dan ejen hartanah.

Keuntungan daripada penjualan itu disalurkan kepada simpanan Naufal untuk digunakan bagi membiayai terapi yang diperlukan dan bagi membeli peralatan melukis.

Bagi menjimatkan kos pengeluaran, Encik Mohammad Farhan dan Cik Nurul Qursyiah belajar menghasilkan barangan yang ditempah itu sendiri di rumah.

Selepas Naufal melukis, Encik Mohammad Farhan akan mengambil gambar lukisan itu dan menggunakan aplikasi Procreate untuk menjadikan warna dan garisan lebih terang.

Setelah mendapat ‘lampu hijau’ daripada Naufal, yang agak cerewet tentang karyanya, barulah lukisan itu dicetak menggunakan kertas khas.

Cik Nurul Qursyiah kemudian menggunakan mesin penekap suhu panas (heat press) untuk memindahkan gambar itu ke fabrik.

Naufal Mohammad Farhan belajar melipat origami melalui video panduan di YouTube.
Naufal Mohammad Farhan belajar melipat origami melalui video panduan di YouTube. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Menariknya, Naufal tidak boleh disuruh melukis subjek tertentu, kata Encik Mohammad Farhan.

“Seorang saudara saya yang bekerja di taman burung pernah meminta Naufal melukis gambar burung untuk dijadikan berkat majlis perkahwinannya.

“Beliau telah memberi contoh gambar pelbagai burung tetapi Naufal tidak menunjukkan minat langsung.

“Dua bulan selepas majlis perkahwinan itu, barulah Naufal mula melukis burung hantu dalam pelbagai warna dan bentuk,” kongsi Encik Mohammad Farhan.

Naufal, yang mengikuti kelas di Pusat Rainbow, boleh meluangkan sehari suntuk melukis, meninggalkan meja lukisnya hanya untuk ke tandas dan makan.

Namun, walaupun dia hanya berkomunikasi dengan berbisik sekali-kala, dia tidak menggunakan lukisannya untuk berkomunikasi atau meluahkan perasaan dan keinginannya.

Cik Nurul Qursyiah berkata kegiatan melukis atau menghasilkan origami didapati menenangkan Naufal, tetapi jika dia mengalami masalah dengan lukisan atau lipatan kertasnya, dia akan menjadi marah dan mula memukul.

“Apabila ini berlaku, kami akan cuba menyelesaikan masalah yang dihadapinya dan membantunya menenangkan diri,” kata Cik Nurul Qursyiah.

Cik Nurul Qursyiah Ismail menyertakan kad yang memaparkan lukisan anaknya dalam bungkusan kuih-muih yang ditempah pelanggan.
Cik Nurul Qursyiah Ismail menyertakan kad yang memaparkan lukisan anaknya dalam bungkusan kuih-muih yang ditempah pelanggan. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Buat masa ini, pasangan itu tidak menghantar Naufal ke kelas seni atau melukis kerana kanak-kanak itu didapati belum bersedia mengikuti arahan berkaitan lukisan.

Jadi mereka menyediakan apa sahaja keperluan melukis dan origami yang diperlukan, serta menunjukkan video panduan di YouTube.

Anggota keluarga dan rakan-rakan juga menyokong dengan membelikan peralatan melukis dan kertas.

“Kami melihat banyak potensi pada diri Naufal. Gaya lukisan serta warna terang yang dia suka gunakan sangat menarik.

“Kami berharap bakatnya dapat digilap dan dia akhirnya dapat menghasilkan gaya tersendiri,” kata Cik Nurul Qursyiah.

Encik Mohammad Farhan meluahkan harapan anaknya itu satu hari akan dapat menghasilkan watak unik yang dapat dijadikan jenama bagi pakaian, beg atau barangan lain.

“Kami selalu fikirkan apabila kami tidak ada nanti, siapa yang akan membantunya.

“Harapan kami adalah untuk Naufal dan kakaknya mempunyai kemahiran kehidupan yang dapat menghasilkan pendapatan bagi mereka, yang dapat menampung kehidupan tanpa perlu bergantung kepada adik bongsu mereka,” ujarnya.