Nazariah Nasir
Kakinya melecet dan ada kesan bengkak. Lengannya luka dan ada bekas lebam-lebam. Sudah banyak kali dia terjatuh dan sudah banyak kali juga dia tersembam ke lantai. Dia masih tidak serik-serik lagi! Minggu lepas, hampir berlaku kemalangan di jalan raya. Nasib masih menyebelahi dirinya! Allah masih sayangkan dia.
Di luar koridor kelihatan sunyi sekali. Lampu di luar koridor malap. Cahaya yang menerangi lorong koridor itu berkelip-kelip. Sunyi dan sepi. Di situlah, dia tinggal dengan beberapa warga emas lain. Mereka tinggal bersendirian.
Bukan anak-anak tidak mahu menjaga mereka dan bukan juga anak-anak tidak mampu membiayai keperluan mereka. Sebenarnya, mereka yang membuat pilihan untuk tinggal bersendirian. Kata mereka tidak mahu menyusahkan anak-anak yang telah mempunyai keluarga mereka sendiri.
Warga emas di sini lebih betah tinggal bersendirian dan meluangkan masa bersama rakan-rakan sebaya mereka. Mungkin ini juga cara terbaik untuk mereka belajar hidup berdikari!
Itu kalau mereka sihat tetapi kalau tidak sihat dan mereka jatuh sakit, siapa yang akan menolong mereka nanti. Itulah sebabnya aku sebagai seorang relawan cuba memujuk Nek Timah agar mendapatkan bantuan seorang pembantu rumah. Usia Nek Timah kini menginjak 86 tahun dan dia kelihatan agak uzur.
“Tidak perlu pembantu rumah. Aku tidak perlu pembantu rumah! Kalau aku hendak ke mana-mana pun, aku kan ada skuter mobiliti yang canggih ini!” katanya dengan nada yang agak serius dan marah.
“Tetapi skuter mobiliti ini sudah tidak sesuai lagi untuk Nek Timah! Dalam keadaan Nek Timah yang kurang sihat, alat ini sudah tidak sesuai untuk Nek Timah gunakannya lagi. Tengok keadaan Nek Timah sekarang yang sering sakit-sakit dan hampir kemalangan tempoh hari!” terjahku.
“Apa??? Kurang ajar punya budak. Kau doakan aku yang bukan-bukan, ya!” tingkat kesabaran Nek Timah semakin memuncak.
“Maafkan saya, Nek Timah. Emm… bukan maksud saya begitu. Kalau Nek Timah menggunakan skuter mobiliti ini laju-laju dan tidak berhati-hati, Nek Timah akan terjatuh lagi apabila hendak mengelakkan orang lain!” tukasku lagi.
“Aku tidak mahu pembantu rumah! Aku kata tidak mahu, tidak mahulah! Kau ini tidak reti bahasa ke?” nada Nek Timah semakin kuat berdesing di kededua gendang telingaku!
“Nek Timah, sabarlah saya terangkan lagi ya!” pujukku lagi.
“Sudah! Aku tidak mahu mendengar alasan kau lagi. Kau boleh keluar dari rumahku. Aku tidak perlu bantuan sesiapa pun!” jerit Nek Timah dengan kuatnya.
Aku pun bergegas keluar dari rumah Nek Timah.
“Hari ini, aku gagal memujuk Nek Timah. Tidak mengapa. Esok masih ada!” aku bermonolog.
Saban hari, aku memikirkan tentang Nek Timah. Mungkin juga jika aku membelikannya kerusi roda baru untuk dia, pasti dia akan menerimanya dengan tangan terbuka. Itulah harapanku.
Suatu hari, aku mendapati skuter mobiliti Nek Timah hilang! Merata aku dan Nek Timah mencarinya namun tidak kami temuinya. Di tepi koridor tidak ada. Di hujung blok pun tidak ada. Di hadapan bloknya pun tidak ada. Di belakang blok pun tidak ada.
“Di mana harus aku mencarinya?” aku bermonolog.
Rupa-rupanya, skuter mobiliti Nek Timah dirampas oleh pihak berkuasa untuk meneliti had kelajuannya. Apa yang aku faham ialah had kelajuan bagi PMA akan dikurangkan kepada enam kilometer/jam kerana ia sepadan dengan kelajuan jalan pantas.
Malah, seseorang individu kurang upaya yang menggunakan skuter mobiliti bersubsidi di bawah Dana Teknologi Bantuan, atau ATF, dan warga emas menggunakan skuter mobiliti bersubsidi di bawah Dana Mobiliti dan Pengupayaan Warga Emas akan diiktiraf sebagai pengguna tulen.
Sedih juga apabila aku melihat raut wajah Nek Timah yang sugul dan tidak bermaya lagi. Dia merindui skuter mobilitinya itu.
Disebabkan had kelajuan yang berlebihan skuter mobiliti Nek Timah, dia tidak dibenarkan menggunakan skuter mobilitinya lagi. Dia amat sedih sekali sehingga menjejaskan kesihatannya. Selang seminggu, aku menziarahinya lagi.
Aku bertanya: “Nek Timah kenal saya lagi tak?” Dia mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Ha, hadiah ini untuk Nek Timah ya,” kataku dengan sayu sambil menghulurkan sebuah barang dalam bungkusan beg plastik hitam yang besar kepada Nek Timah.
“Ini apa? Benda apa yang dibungkus macam ini?” tanyanya berminat ingin tahu.
“Inilah hadiah dari saya. Saya harap Nek Timah terima, ya!” gumamku dengan mengukirkan sekuntum senyuman kepadanya.
“Nek Timah, bukalah plastik berwarna hitam ini,” kataku lagi.
“Inikan plastik sampah? Kau ingat aku ini hina sangat, ke?” Nek Timah melontarkan kata-kata kesat kepadaku dengan nada yang marah sekali.
“Emm… bukan macam itu. Niat saya baik. Cubalah Nek Timah buka dahulu bungkusan ini,” pujuk ku lagi.
“Ah, malas aku hendak layan budak hingusan seperti kau. Kau ini, asyik-asyik datang ke rumahku untuk menyakitkan hatiku sahaja. Berambus dari sini!” pekik Nek Timah dengan sekuat hatinya. Kali ini, kemarahan Nek Timah semakin membara. Hormon adrenalinnya memuncak hingga ke tahap maksimum!
“Sabar, Nek Timah! Sabar dan bertenanglah!” pujukku lagi.
Akhirnya, aku menyuruh Nek Timah bertenang dan beristighfar buat seketika. Selepas itu, aku pun mengajarkan Nek Timah cara pernafasan yang betul setiap kali aku melihatnya di rumah.
Aku sudah menganggap Nek Timah itu seperti nenekku sendiri kerana nenekku telah lama meninggalkanku buat selama-lamanya. Aku ke dapur lalu mengambilkan Nek Timah segelas air suam.
“Nek Timah, minumlah air ini, ya,” ujarku lagi.
Setelah itu, apabila Nek Timah kelihatan tenang, aku pun menyuruh dia membuka beg plastik hitam itu. Alangkah terperanjatnya, Nek Timah.
“Apa??? Kerusi roda! Aku tak mahu! Aku tak mahu! Aku hendak skuter mobilitiku kembali!” jerit Nek Timah dengan terbuntang matanya memandang tubir mataku.
“Sabar Nek Timah, ini sesuai dengan Nek Timah untuk bergerak dari suatu tempat ke tempat yang lain,” terangku lagi.
“Ha, siapa kata aku hendakkan kerusi roda ini? Kau yang pandai-pandai belikan untuk aku buat apa? Buang sahaja atau kasi je kepada orang lain!” gumam Nek Timah naik berang.
“Nek Timah, cuba Nek Timah duduk dahulu, saya akan tolak Nek Timah dengan perlahan-lahan ya,” pujukku lagi sambil membantu Nek Timah untuk duduk di kerusi roda yang baharu kubeli itu.
Akhirnya, api kemarahan Nek Timah semakin reda. Nek Timah bersetuju dengan cadanganku, Kini, aku juga telah mendapatkan seorang pembantu rumah untuk menemani Nek Timah apabila dia hendak ke klinik untuk membuat pemeriksaan kesihatan bulanannya. Walaupun aku sibuk dengan tugasan seharianku, namun aku tetap meluangkan masa untuk Nek Timah pada hujung minggu.
Aku telah membawa Nek Timah bersiar-siar ke Marina Bay Sands dan ke Taman Orkid Singapura. Alangkah gembiranya apabila aku dapat melihat raut wajah Nek Timah yang ceria sekali.
Sekilas, aku teringatkan tentang membahagiakan orang lain memiliki keutamaan yang tinggi dalam Islam, sebagaimana diajarkan oleh Nabi Muhammad saw. Dalam hadits riwayat Ibnu Abbas ra, Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya amal yang paling disukai Allah swt setelah melaksanakan pelbagai hal yang wajib ialah menggembirakan Muslim yang lain.”
Senyuman Nek Timah jelas terukir di bibirnya yang semakin dimamah usia. Kini, tiada lagi skuter mobiliti yang membahayakan Nek Timah tetapi yang ada sekarang hanya sebuah kerusi roda buat Nek Timah!
BIODATA PENULIS
Nazariah Nasir minat menulis sejak di bangku sekolah. Beliau memenangi hadiah merit bagi puisi ‘Siapa Diri Ini?’ dalam peraduan ‘Noktah Putih’.
Nazariah juga telah menghasilkan dua novel bertajuk, ‘Cinta Facebook Cinta Tanpa Suara’ dan ‘Tin’.
Lima puisinya pula dimuatkan dalam kumpulan buku ‘Puisi Bebas Melata Menekat Sayang’. Puisi dan cerpen Nazariah juga telah dimuatkan dalam buku ‘Hempedu Di Tasik Madu’ terbitan Asas ‘50.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg