Sri Warisan kembalikan wayang kulit, perkenal adiwira moden seperti Thor
Sri Warisan kembalikan wayang kulit, perkenal adiwira moden seperti Thor
Terap watak seperti Superman dan Iron Man agar dekat dengan imaginasi generasi hari ini, dan kekal relevan
Berusia lebih 1,000 tahun, wayang kulit mungkin kelihatan seperti seni tradisi yang semakin tenggelam dalam dunia digital dan serba pantas.
Namun, di bawah pimpinan Pengarah Urusan Sri Warisan, Adel Ahmad, seni itu bukan sahaja terus hidup, bahkan kian subur dan menarik ribuan penonton muda setiap tahun.
Bagi Adel, menjadikan wayang kulit relevan tidak bermaksud meninggalkan asal usulnya.
Sebaliknya, ia perlu disampaikan mengikut cara yang dekat dengan imaginasi generasi hari ini.
Ini termasuk mengangkat kisah yang dekat dengan masyarakat kita serta menyelitkan watak wira moden seperti Thor dalam persembahan.
“Zaman sekarang juga semuanya cepat. Cara kita bercerita pun mesti cepat. Kalau berpanjangan dan lama, nanti penonton hilang fokus,” katanya.
Adel mengimbau bagaimana wayang kulit pernah ‘hilang’ dari Singapura sejak lewat 1980-an hingga 1990-an.
Ketika itu, dalang – pengendali utama wayang kulit yang menggerakkan patung, menyuarakan watak dan menyampaikan cerita – hampir tidak wujud.
Bahan asas seperti kulit kerbau tidak dapat ditemui, dan hanya beberapa kumpulan gamelan masih bertahan.
Keadaan berubah pada 2000 apabila Sri Warisan mengundang tenaga pengajar dari Indonesia untuk mengendalikan kelas pakar atau masterclass wayang kulit dan gamelan.
Dari situ bermulalah usaha menghidupkan kembali tradisi yang pernah lenyap seketika itu.
Pada awal pengenalannya semula, Sri Warisan menggunakan cerita klasik seperti Ramayana dan Mahabharata.
Namun Adel menyedari naratif tersebut kurang dekat dengan kanak-kanak tempatan.
“Bila kita bawa ke Singapura, ramai tak kenal. Jadi macam tak relevan,” ujarnya.
Lalu tercetuslah idea untuk menghasilkan apa yang kini disebut sebagai ‘wayang kulit Singapura’.
Ia menggunakan kisah yang berakar daripada sejarah dan legenda Nusantara – Sang Nila Utama, Singapura dilanggar todak, Badang dan Radin Mas.
Bagi memperkenalkan seni itu kepada generasi yang langsung tidak mengenal tradisi, Sri Warisan mengambil pendekatan lebih berani dan kreatif.
Watak wira seperti Superman, Iron Man dan Thor dijadikan tokoh dalam persembahan, digabungkan pula dengan aspek pelbagai media, visual latar ombak, kampung, kapal dan pulau.
Semua itu dilakukan tanpa mengorbankan unsur asal wayang kulit.
“Kita tunjuk watak klasik dulu – Putera Rama, Sita, Hanuman – kemudian baru tunjukkan evolusinya,” jelas beliau.
Meskipun format berubah, nilai dan falsafah wayang kulit tetap dijaga, termasuk konsep cahaya dan bayang yang menonjolkan kebaikan.
Usaha yang bermula kecil itu kini berkembang pesat.
“Dulu apabila mereka bermula pada mungkin lima persembahan setahun, sekarang hampir setiap minggu ada satu atau dua bengkel atau persembahan,” kata Adel.
Kini program wayang kulit boleh mencecah 300 hingga 350 sesi setahun, hasil sokongan berterusan daripada institusi pendidikan dan budaya seperti Kementerian Pendidikan (MOE), Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan Lembaga Warisan Negara (NHB).
Malah, Sri Warisan turut membawa wayang kulit Singapura ke Russia, Sepanyol, Perancis, Jerman dan Indonesia.
Perjalanan memartabatkan seni itu bukan tanpa cabaran.
Melahirkan dalang pelapis memerlukan masa dan pekerjaan teknikal yang mendalam.
Setiap peringkat umur pula memerlukan pendekatan berbeza, terutama dari segi saiz, keselamatan dan bentuk penceritaan.
Untuk kanak-kanak prasekolah, wayang kulit direka lebih kecil dan ringan dengan cerita yang lebih ceria seperti ‘jalan-jalan ke zoo’ sambil memanfaatkan permainan bayang untuk mengajar konsep besar-kecil dan cepat-perlahan.
Melihat perkembangan pesat itu, Adel berharap generasi muda dapat melihat wayang kulit sebagai jambatan budaya yang terus relevan.
“Ini bukan hanya untuk masyarakat Melayu atau Jawa. Wayang kulit ini universal. Tentang bayang dan cahaya, tentang kebaikan lawan kejahatan dan sebagainya,” ujar Adel.

