Ramai mengenali Allahyarham Dr Muhammad Ariff Ahmad, yang juga dikenali sabagai MAS, sebagai seorang ikon bahasa dan sastera Melayu.
Namun, sumbangan Allahyarham kepada masyarakat sebenarnya lebih luas dan merentasi pelbagai bidang, termasuk media, perundangan, pendidikan dan agama, menurut sahabat seperjuangannya, Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan.
Profesor Awang seorang ahli Dewan Negara Malaysia dan penulis serta ahli akademik yang memperjuangkan bahasa dan persuratan Melayu.
Beliau pernah menyandang pelbagai jawatan dalam bidang bahasa dan budaya Melayu, seperti Penyandang Kursi Pengajian Melayu kerajaan Malaysia di China dan Profesor Tamu di Universiti Goethe di Frankfurt, Jerman.
Beliau menyoroti keilmuan dan sumbangan Allahyarham Dr Ariff semasa menyampaikan ‘Syarahan Perdana Memperingati MAS’ anjuran bersama Institut Pendidikan Nasional (NIE) dan Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) pada 30 November.
“Penguasaan ilmu dan pengetahuan Dr Ariff merentasi pelbagai bidang, kerana beliau aktif dalam beberapa bidang sekali gus, iaitu bahasa, persuratan, kebudayaan, pendidikan dan keagamaan,” kata Profesor Awang dalam ceramah di Auditorium Masjid Sultan itu.
Sesi selama sejam itu dihadiri lebih 100 individu, termasuk tokoh bahasa, pendidik, dan penulis.
Allahyarham Dr Ariff menyandang jawatan dalam pelbagai bidang, selain daripada menjadi guru dan editor bersama Kementerian Pendidikan (MOE) dadn Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Selain itu, beliau menjadi penulis skrip dan ahli lembaga Perbadanan Penyiaran Singapura (SBC), yang sekarang adalah Mediacorp.
Menurut Profesor Awang, keilmuan Allahyarham yang tinggi dan holistik dilihat apabila beliau menjadi anggota Lembaga Rayuan Mahkamah Syariah dan anggota kehormat Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS).
Beliau turut dikenali sebagai seorang tokoh yang berusaha keras untuk memajukan masyarakat Melayu melalui pelbagai saluran.
Pelibatannya dalam bidang kebudayaan dan keagamaan turut memberi kesan mendalam, termasuk dalam memartabatkan pendidikan agama di Singapura.
Dalam satu temu bual bersama Berita Harian, Profesor Awang menjelaskan sumbangan penting Allahyarham dan cabaran yang dihadapinya.
Allahyarham antara pengasas Angkatan Sasterawan ‘50 (Asas ‘50).
Apabila Allahyarham ingin menubuhkan sebuah pertubuhan bagi merubah masyarakat Melayu dan memperjuangkan kemerdekaan, beliau disambut dengan komen sesetengah penulis yang mengatakan beliau akan menemui kegagalan.
Profesor Awang berkata ada penulis yang tidak mudah menerima konsep yang dikembangkan oleh Asas ‘50.
Ada yang mengatakan penulis muda tidak akan berjaya mengubah masyarakat.
“Walaupun menghadapi pelbagai halangan, beliau tetap komited untuk memperjuangkan nasib bangsa Melayu melalui penulisan, pendidikan, dan aktivisme sosial.
“Keperibadiannya yang penuh dedikasi dan berwawasan tinggi terus diingati oleh generasi kini dan akan datang,” kata Profesor Awang.
Menurutnya, kejayaan Allahyarham dalam bidang bahasa dan kesusasteraan dilihat apabila Allahyarham menjadi penerima pertama Anugerah Persuratan Tun Seri Lanang dan penerima kedua anugerah ‘Pendeta’ oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura.
Beliau turut diberi Anugerah Doktor Kehormat (Sastera) oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris di Perak.
Profesor Awang berkata legasi Allahyarham Dr Ariff menjadi satu inspirasi yang dapat dijadikan contoh kepada semua, terutama generasi muda.
Beliau menyarankan agar perjuangan dan dedikasi Allahyarham diteruskan, bukan sahaja dalam bidang bahasa dan sastera, malah dalam usaha membangunkan masyarakat yang lebih maju dan berdaya saing.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg