Pernahkah kita menikmati secawan kopi sambil berbual tentang asal usul keluarga, atau berjalan di Kampong Gelam tanpa menyedari di kawasan yang kita jejaki tersimpan lapisan sejarah berusia ratusan tahun?

Apabila masyarakat berbicara tentang warisan, ramai masih membayangkan artifak lama yang dipamerkan di dalam kotak kaca atau bangunan bersejarah yang kekal membisu dalam arus pembangunan kota.

Namun hari ini, warisan semakin berubah bentuk.

Ia bukan lagi sekadar sesuatu untuk dilihat, sebaliknya untuk dialami, dirasai dan disertai bersama.

Di Singapura, pendekatan terhadap warisan kini semakin menekankan pengalaman awam, penglibatan masyarakat dan hubungan emosi dengan sejarah.

Melalui ruang seperti ArCH Square, sebuah ruang masyarakat yang menghubungkan arkeologi dan warisan budaya tidak ketara yang baru ditubuhkan pada November 2025, serta festival seperti Pesta Warisan Singapura (SHF), warisan sedang dihidupkan semula untuk generasi kontemporari dengan cara lebih terbuka, interaktif dan dekat dengan kehidupan harian masyarakat.

Penulis, Zinnurain Nasir, kurator di HeritageSG.
Penulis, Zinnurain Nasir, kurator di HeritageSG. - Foto ihsan ZINNURAIN NASIR

Warisan hari ini semakin bergerak daripada pendekatan yang berpusat pada institusi semata-mata kepada bentuk yang lebih terbuka, tersebar dan berasaskan penyertaan masyarakat.

Dalam bidang arkeologi misalnya, pengetahuan tidak lagi terhad kepada pakar akademik atau muzium, malah semakin dibawa ke ruang awam melalui pameran, program masyarakat dan pengalaman interaktif.

Pendekatan itu mengingatkan kepada gagasan, “heritage from below” yang dibincangkan oleh sarjana seperti Laurajane Smith (2006) dalam ‘Uses of Heritage’; dan juga Hamzah Muzaini (2018) dalam karyanya, ‘After Heritage: Critical Perspectives on Heritage from Below’ yang menekankan identiti dan memori masyarakat tidak bersifat statik, tetapi sentiasa dibentuk melalui pengalaman harian dan suara masyarakat biasa.

Oleh itu, warisan hari ini bukan sekadar tentang memelihara objek masa lalu, sebaliknya tentang bagaimana masyarakat terus menghidupkan, mentafsir dan mengalami warisan tersebut dalam kehidupan semasa.

Selama ini, arkeologi di Singapura sering dilihat sebagai bidang khusus dan terhad kepada penyelidik atau pakar akademik.

Namun, pendekatan ini semakin berubah dengan kemunculan ruang seperti ArCH Square yang menjadikan arkeologi lebih dekat dengan masyarakat umum.

Arkeologi bukan lagi sekadar usaha menggali dan mengkatalogkan artifak, malah menjadi satu cara untuk memahami bagaimana manusia membina hubungan dengan ruang, tempat dan memori.

Ahli sejarah memori Pierre Nora (1984) memperkenalkan konsep lieux de mémoire atau “tapak memori”, iaitu lokasi, objek dan simbol yang menyimpan serta menghidupkan ingatan kolektif sesebuah masyarakat.

Dalam konteks ini, penemuan arkeologi di Kampong Gelam menunjukkan bagaimana sesuatu ruang boleh dibaca melalui lapisan kehidupan yang pernah wujud di atasnya.

Penemuan batu nisan Islam dan Cina di sekitar kawasan Sultan Gate, misalnya, mencerminkan kepelbagaian masyarakat yang pernah berinteraksi di kawasan tersebut, sekali gus memperlihatkan peranan Kampong Gelam sebagai pusat perdagangan dan pertemuan budaya.

Pada masa yang sama, penemuan bekas penanaman uri memberi gambaran tentang amalan kepercayaan dan adat kehidupan seharian yang memperlihatkan sifat sinkretik masyarakat setempat.

Semua ini berlaku dalam lingkungan bekas pusat pemerintahan Sultan Singapura, berhampiran Masjid Sultan yang terus menjadi mercu tanda penting masyarakat Melayu-Islam hingga hari ini.

Melalui demonstrasi, persembahan, bengkel dan pengalaman berasaskan deria, pengunjung berpeluang mengalami sendiri warisan yang sebelum ini sering difahami melalui teks atau artifak semata-mata., kata penulis. Dalam bengkel, ‘Cerita Laut: Tales & Crafts of the Sea’, peserta belajar membuat kraf haiwan laut menggunakan daun mengkuang.
Melalui demonstrasi, persembahan, bengkel dan pengalaman berasaskan deria, pengunjung berpeluang mengalami sendiri warisan yang sebelum ini sering difahami melalui teks atau artifak semata-mata., kata penulis. Dalam bengkel, ‘Cerita Laut: Tales & Crafts of the Sea’, peserta belajar membuat kraf haiwan laut menggunakan daun mengkuang. - Foto PESTA WARISAN SINGAPURA

Melalui pameran dan program awam, pengunjung bukan sahaja melihat objek itu sebagai artifak sejarah, malah turut memahami bagaimana ruang yang mereka kenali hari ini sebenarnya terbina daripada pelbagai lapisan pengalaman manusia, memori dan hubungan sosial yang terus membentuk identiti masyarakat Singapura.

Jika arkeologi membantu kita memahami lapisan kehidupan yang membentuk sesuatu tempat, maka program warisan pula membantu menghidupkan semula hubungan antara masyarakat dengan kisah tersebut.

Hari ini, warisan tidak lagi disampaikan melalui label pameran atau artifak semata-mata, tetapi melalui pengalaman yang menggalakkan penyertaan aktif.

Pendekatan itu mengiktiraf bahawa pembelajaran tentang warisan berlaku bukan sahaja melalui pembacaan, bahkan juga melalui interaksi dan pengalaman deria.

Di ArCH Square misalnya, program ‘Coffee Cultures’ menggunakan secawan kopi sebagai titik permulaan untuk membincangkan sejarah perdagangan maritim yang pernah menghubungkan Singapura dengan dunia Arab, India, Cina dan Nusantara.

Melalui pengalaman merasa, menghidu dan berkongsi cerita, peserta dapat memahami warisan maritim bukan sekadar tentang kapal atau artifak yang ditemui di dasar laut, malah tentang amalan budaya yang masih menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.

Pendekatan yang sama turut diterapkan melalui projek, Sirih Junjung bersama artis warisan kontemporari Jabir Amin, yang disertai dengan bengkel awam bagi menggalakkan peserta meneroka semula makna warisan melalui luahan kreatif dan pengalaman peribadi.

Melalui kerjasama seperti itu, warisan tidak lagi dilihat sebagai hanya milik masa lalu, malah, sebagai sesuatu yang dirasai, ditafsir dan dihidupkan semula oleh masyarakat pada masa kini.

Dengan kata lain, warisan kekal relevan apabila ia menjadi sebahagian daripada kehidupan yang terus diamalkan dan dikongsi, bukannya sekadar sesuatu yang dipelihara untuk dilihat dari jauh.

Festival warisan hari ini memainkan peranan penting dalam membawa warisan keluar dari ruang institusi dan mendekatkannya kepada masyarakat.

Untuk edisi Pesta Warisan Singapura 2026, pendekatan tersebut dapat dilihat melalui pelbagai program yang berlangsung di ACM Green.

Pengamal budaya, penyelidik, artisan dan masyarakat diundang berkongsi pengetahuan serta pengalaman mereka secara langsung dengan pengunjung.

Berteraskan tema maritim, program itu tidak hanya menumpukan pada sejarah pelayaran atau perdagangan, malah, turut meneroka bagaimana laut membentuk budaya, makanan, kepercayaan dan hubungan sosial masyarakat kepulauan di rantau ini.

Melalui demonstrasi, persembahan, bengkel dan pengalaman berasaskan deria, pengunjung berpeluang mengalami sendiri warisan yang sebelum ini sering difahami melalui teks atau artifak semata-mata.

Pendekatan itu sejajar dengan wacana, Laurajane Smith dan Hamzah Muzaini, yang melihat warisan sebagai satu proses budaya yang hidup dan sentiasa dirundingkan oleh masyarakat, dan bukannya sekadar himpunan objek atau monumen.

Ia juga mengingatkan kepada perbincangan oleh Hamzah Muzaini mengenai konsep, “heritage from below”, yang menekankan bahawa pengalaman, amalan dan memori masyarakat sama pentingnya dengan naratif rasmi dalam memahami warisan.

Dalam konteks ini, warisan maritim tidak hanya diceritakan, tetapi dialami dan dihayati sebagai sebahagian daripada kehidupan yang terus menghubungkan Singapura dengan dunia yang lebih luas.

Warisan adalah satu proses budaya yang hidup dan sentiasa dirundingkan oleh masyarakat, dan bukannya sekadar himpunan objek atau monumen. Gambar ini diambil semasa jejak ‘Masjid Hajjah Fatimah @ Kampong Rochor: Nusantara and Singapore Muslim heritage sites with lost maritime connections’.
Warisan adalah satu proses budaya yang hidup dan sentiasa dirundingkan oleh masyarakat, dan bukannya sekadar himpunan objek atau monumen. Gambar ini diambil semasa jejak ‘Masjid Hajjah Fatimah @ Kampong Rochor: Nusantara and Singapore Muslim heritage sites with lost maritime connections’. - Foto PESTA WARISAN SINGAPURA

Akhirnya, warisan bukanlah sesuatu yang beku atau terhenti pada masa lalu.

Sebaliknya, ia sentiasa berkembang, ditafsir semula dan diberikan makna baharu oleh setiap generasi.

Sama seperti seorang ahli arkeologi yang meneliti lapisan tanah untuk memahami kehidupan yang pernah wujud, warisan membantu kita menyingkap jejak masa lalu yang masih membentuk Singapura hari ini.

Persoalannya bukan sama ada kita mempunyai warisan untuk diwarisi, tetapi sama ada kita bersedia mengenali, menghargai dan menghidupkannya bersama.

Setiap lawatan ke tapak warisan, setiap cerita yang dikongsi dan setiap tradisi yang diteruskan adalah sebahagian daripada usaha itu.

Penulis ialah kurator di HeritageSG dan bertanggungjawab membangunkan pameran, program serta inisiatif penglibatan awam merentasi pelbagai tapak warisan, termasuk ArCH Square, Renungan di Bukit Chandu dan Muzium & Gereja Changi.