Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

BAHASA, BUDAYA & WARISAN KITA

Tahun... dari sudut bahasa

BERSAMA
Mar 10, 2024 | 05:30 AM



Februari tahun ini (2024) ada keistimewaan... sama dengan Februari yang berselang setiap empat tahun: iaitu ada satu hari tambahan menjadi 29 hari.


Tahun yang mengandungi Februari 29 hari disebut sebagai tahun lompat, atau kabisat.


Ini kerana perkiraan hari dalam setahun adalah 365 dan suku hari. Empat suku dalam empat tahun menjadi sehari, lantas Februari yang biasanya mempunyai 28 hari, ada 29 hari pada setiap empat tahun.


Maknanya, tarikh 29 Februari akan berulang pada 2028, dan setiap empat tahun selanjutnya.


Ia juga bermakna mereka yang lahir pada 29 Februari hanya benar-benar menyambut hari lahir setiap empat tahun.
Februari juga menampakkan beberapa keistimewaan lain berkaitan tahun – antaranya, Tahun baru Cina 2024 disambut pada 10 Februari.


Beberapa hari kemudian, anggaran perbelanjaan negara bagi Tahun Kewangan 2024, disebut sebagai Belanjawan 2024, dibentangkan Menteri Kewangan merangkap Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Tahun adalah perkiraan masa yang penting dalam kehidupan.


Lantaran penting dalam kehidupan, tahun juga ada tempat istimewa dalam bentuk ungkapan dalam khazanah bahasa Melayu.


ASPEK KEHIDUPAN DAN BAHASA

Dari segi kehidupan individu, ia adalah mengenai jangka hayat – berdasarkan kiraan 12 bulan dalam setahun, sehingga hayat manusia dikira ikut tahun – berusia 10 tahun, 24 tahun, 40 tahun dan sebagainya. Usia manusia beranjak tahun ke tahun mulai tahun kelahiran, tahun kanak-kanak, remaja, dewasa tua (dengan ada yang sambut hari ulang tahun kelahiran setiap tahun), dan akhirnya tahun kematian.


Tahun juga menjadi perkiraan waktu – sudah 10 tahun bekerja, 17 tahun tinggal di flat, 23 tahun tinggal di luar negara dan sebagainya.


Perkiraan usia mengikut tahun penting kerana ada titik tertentu.


Misalnya, ungkapan ‘life begins at 40’ (hidup bermula pada usia 40 tahun) kerana ia adalah usia kematangan penuh; 63 tahun adalah usia persaraan; 68 tahun adalah usia seseorang masih boleh terus bekerja.

Dari segi pekerjaan, beberapa hari lalu pemerintah mengumumkan bahawa mulai 1 Julai 2026, usia persaraan dinaikkan kepada 64 tahun dan umur bekerja semula dinaikkan sehingga 69 tahun (sekarang hingga 68 tahun). Ia kelak akan dinaikkan lagi sehingga 65 bagi usia persaraan dan sehingga 70 tahun bagi umur bekerja semula menjelang 2030.

Dari segi perkiraan tahun kehidupan, ada beberapa jenis perkiraan tahun.


Kalendar Tahun Masihi (yang dikira mulai dari tarikh lahirnya Nabi Isa as) yang umum dipakai seluruh dunia 12 bulan dalam setahun bermula Januari dan berakhir Disember; Tahun Hijriah adalah tahun perkiraan umat Islam (yang dikira mulai tahun penghijrahan Nabi dari Makkah ke Madinah), juga 12 bulan dalam setahun bermula dengan Muharam dan berakhir dengan Zulhijah; dan Tahun Baru Cina dengan setiap tahun dipadankan dengan satu daripada 12 jenis binatang, seperti naga bagi 2024.


Dari segi pekerjaan, tempoh kerjaya juga berteraskan tahun; dan dalam kerjaya antara lain ada yang dinamakan cuti hujung tahun, cuti tahunan.


Dari segi pendidikan, bilangan tahun tertentu di peruntukkan bagi pengajian di peringkat berlainan: dua atau tiga tahun bagi tahun prasekolah, sekitar enam tahun di sekolah rendah, sekitar empat tahun di sekolah menengah, dan beberapa tahun bagi pengajian di institut selepas menengah dan pengajian tinggi.


Dan di peringkat pengajian tinggi, ada pula istilah tahun akademi, merujuk kepada tahun pengajian.


Perkiraan tahun juga menjadi detik yang dirakamkan dan menjadi sejarah. Misalnya tahun negara jatuh di tangan Jepun (1942), tahun Jepun menyerah kalah (1945), tahun Singapura merdeka (1965), perkembangan negara pada tahun-tahun awal selepas merdeka dan banyak lagi peristiwa setempat, serantau dan antarabangsa yang dirakam dalam pelbagai detik dan peristiwa.


Daripada tadbir urus perniagaan dan negara, tahun menjadi perkiraan bertempoh. Misalnya ada tahun perhitungan kewangan (bagi syarikat dan negara, disebut juga sebagai tahun fiskal bagi jangka 12 bulan belanjawan negara); tahun taksiran atau tahun kiraan cukai pendapatan (perkiraan cukai pendapatan dari April hingga Mac), rancangan lima tahun pembangunan negara;


Tahun juga penting dalam soal pinjaman daripada institusi kewangan, untuk pelbagai keperluan seerti membeli rumah, membeli kereta, modal syarikat dan sebagainya; atau agihan dividen kepada pelabur atau pemegang saham.


Di Singapura, pemilikan kenderaan umumnya ada takat tertentu – 10 tahun mengikut Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE), dan boleh diperbaharui mengikut peraturan tertentu.

Dari segi penginapan misalnya, rumah juga mempunyai tempoh pegangan – 99 tahun, 199 tahun, 999 tahun dan pegangan bebas.

Kemudian ada ungkapan tertentu berkaitan dengan tahun. Antaranya, tahun pilihan raya (tahun pilihan raya akan diadakan); tahun melawat negara atau negeri tertentu; tahun persaraan; tahun ledakan bayi (baby boomer years – ramainya bilangan bayi yang dilahirkan); atau peristiwa besar seperti tahun Covid-19 (wabak Covid-19 bermula pada 2019).


Satu dekad bererti 10 tahun, satu abad bererti 100 tahun.

Jubli perak bermakna perayaan 25 tahun meraikan sesuatu; jubli emas ialah perayaan 50 tahun.

Suku abad ialah 25 tahun, setengah abad ialah 50 tahun, dan satu abad ialah 100 tahun.

Dalam ekonomi, ada istilah suku tahun (kiraan setiap tiga bulan – suku pertama, suku kedua, ketiga dan suku keempat); perbandingan kelakonan syarikat tahun-ke-tahun; audit tahunan.


Dalam persekolahan, ada peperiksaan tengah tahun dan akhir tahun; ada cuti pertengahan tahun dan hujung tahun.
Bagi kesalahan undang-undang dan jenayah, hukuman dijatuhkan beberapa bulan atau atau tahun bergantung pada kesalahan, dan malah ada hukuman penjara seumur hidup (tempoh hukuman maksimumnya umumnya berjalan selama 20 tahun).

Dari segi kependudukan, profil rakyat biasanya ditinjau setiap 10 tahun.

Audit hujung tahun audit yang tertumpu pada penentuan tepat tidaknya baki akaun yang terdapat dalam kunci kira-kira.

Sukan besar antarabangsa diadakan beberapa tahun sekali; misalnya pertandingan bola sepak sedunia diadakan setiap empat tahun, begitu juga dengan sukan Olimpik.

KHUSUS BAHASA

Setengah umur bermakna separuh umur, iaitu antara usia 35 dengan 40 tahun.
Ada juga istilah tahun lalu, tahun ini, tahun hadapan.

Tahun baru adalah hari pertama permulaan tahun.


Tahun belakang atau tahun lepas ialah tahun yang sudah berlalu.


Tahun ini adalah tahun yang sedang dilalui, tahun depan ialah tahun yang akan datang.


Sepanjang tahun ialah setahun penuh.


Tahun cahaya adalah istilah dalam ilmu fizik mengenai unit jarak yang bersamaan dengan jarak yang dilalui cahaya dalam satu tahun.


Tahun Syamsiah adalah tahun yang dikira mengikut perjalanan matahari; sementara tahun Qamariah adalah mengikut perkiraan bulan.


Istilah bertahun atau bertahun-tahun menggambarkan lama (sudah lama benar tinggal di satu tempat atau sudah lama bekerja di satu tempat).


Tahunan bermakna setiap tahun. Misalnya ibadah haji adalah ibadah tahunan yang berlangsung di Tanah Suci.
Tokoh tahun ini (misalnya tokoh maal hijrah).


Setahun jagung bermakna masih muda.


Gadis kecil adalah anak perempuan berumur kira-kira 13 tahun; gadis besar ialah anak perempuan kira-kira 18 tahun; anak dara sunti (gadis baru baligh antara sembilan dengan 13 tahun).

TAHUN DARI SUDUT AGAMA

Tahun baru Islam bermakna permulaan tahun baru dengan berakhirnya Zulhijah dan masuk bulan baru, Muharam. Ramai umat Islam menutup tahun dengan doa akhir tahun dan memulakan tahun baru dengan doa awal tahun.
Ia disebut Tahun Hijrah, iaitu tarikh dikira mulai hijrah Nabi Muhammad saw dari Makkah ke Madinah.


Tahun Hijriah berdasarkan Qamariah, iaitu dikira mengikut perjalanan bulan.


Tahun Gajah tahun berlakunya peristiwa tentera bergajah pimpinan Abrahah (dari Yaman) yang mahu menghancurkan Kaabah, bersamaan dengan tahun kelahiran Nabi Muhammad saw.


Ada satu dalam sejarah Islam disebut tahun kesedihan – tahun isterinya Khadijah, dan pak ciknya Abu Talib meninggal.


Kemudian berlaku peristiwa Israk Mikraj – perjalanan Nabi Muhammad saw pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, seterusnya naik ke langit, lalu kembali ke Makkah pada malam yang sama, pada 27 Rejab tahun ke-11 selepas Baginda dilantik menjadi Rasul (tiga tahun sebelum hijrah).


Dalam perkiraan zakat, tahun penting.


Zakat fitrah dibayar hanya dalam Ramadan setiap tahun. Zakat harta pula dibayar setelah cukup haul (genap satu tahun untuk membayar zakat).

Hukum Islam ada istilah akil baligh – iaitu seseorang sudah mencapai akil baligh atau cukup umur atau dewasa (biasanya mencapai umur antara sembilan dengan 12 tahun bagi perempuan dan 12 hingga 15 tahun bagi lelaki) – sudah dapat berfikir dengan waras, berakal, sudah matang sifat kewanitaan dan kelelakian.

Dalam Al-Quran ada ayat mengenai perbandingan tahun. Antaranya: 

“Dan sesungguhnya satu hari (menurut perhitungan) Tuhanmu adalah seperti 1,000 tahun menurut perkiraan mu.” (Surah Al-Haj: Ayat 47)
“Dia mengatur urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan) itu naik kepada-Nya dalam satu hari yang kadarnya adalah 1,000 tahun menurut perhitunganmu”. (Surah As-Sajadah: Ayat 5)

“Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya 50,000 tahun”. (Surah Al-Ma’arij: Ayat 5)

Al-Quran juga menjelaskan tentang penciptaan matahari dan bulan yang beredar pada orbitnya supaya membolehkan manusia menghitung masa, sebagaimana dijelaskan dalam ayat ini:

“Dialah Allah yang telah menjadikan matahari sebagai (sistem) penerangan dan (menjadikan) rembulan sebagai (cahaya), serta menetapkan sistem tersebut pada tempat-tempat orbitnya supaya kalian mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu).” (Surah Yunus: Ayat 5)

PERIBAHASA, PANTUN

Terdapat peribahasa dan beberapa pantun klasik berkaitan tahun.
Antaranya:
Ungkapan ‘berbuat di alang tahun, belayar di luar musim’ bermakna mengerjakan sesuatu bukan pada waktunya. (alang ialah tengah; berbuat bermakna turun ke sawah atau ladang.)
‘Ibarat negeri berubah rasam; ibarat tahun berubah musim’ bermakna orang yang tidak tetap kedudukannya.

Antara pantun klasik ialah:

Pagi hari mandi di perigi,
Mandi di sana banyak juga;
Kalau tidak dapat tahun ini,
Tahun depan kuambil juga.

Pokok sena dahan sena,
Sulur-menyulur di tepi perigi;
Tahun mana musim yang mana,
Haraplah kita jumpa lagi.

Pulau Daik banyak kelapa,
Pulau Karimon banyak pegaga;
Budi baik payah dilupa,
Beribu tahun dikenang juga.

Kalau ada padi di ladang,
Boleh abang menumpang mandi;
Kalau ada umur panjang,
Tahun hadapan berjumpa lagi.

Cik Putih menanam cempedak,
Lebat daun bunga tiada;
Bercerai kasih bertalak tidak,
Seribu tahun dikenang jua.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >